Friday 1 July 2011

Prestasi kewangan Tradewinds bertambah baik



TRADEWINDS (M) Bhd, syarikat berkaitan perladangan yang menguasai 60 peratus bekalan beras dan 50 peratus bekalan gula negara, dijangka merekodkan prestasi kewangan lebih baik tahun ini. 

Pengerusinya, Datuk Syed Abdul Jabbar Shahabudin, berkata jangkaan itu berdasarkan pelbagai faktor termasuk peningkatan produktiviti dan harga tinggi minyak sawit mentah, pembelian hadapan beras pada harga kompetitif dan unjuran peningkatan eksport gula.

“Tradewinds akan menambah tiga lagi kilang memproses minyak sawit membabitkan pelaburan RM120 juta, dengan pembinaan pertama di Kuala Suai, Miri, Sarawak tahun ini.
“Selain menaik taraf kilang beras, kami juga akan menambah dua gudang penyimpanan gula tahun ini, yang mana secara keseluruhannya mencadangkan 2011 sebagai satu lagi tahun yang baik kepada Kumpulan Tradewinds,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan kumpulan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusannya, Bakry Hamzah dan Ketua Eksekutif Tradewinds Plantation Bhd, Chan Seng Fatt.

Kumpulan itu mencatat keuntungan sebelum cukai tertingginya berjumlah RM825.546 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010, berbanding RM349.225 juta tahun tahun sebelumnya berdasarkan pendapatan RM5.575 bilion.

Syed Abdul Jabbar, berkata cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan dalam Mardec Bhd oleh Prisma Spektra Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tradewinds Plantation, daripada Semi Bayu Sdn Bhd, dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini dan akan mula menyumbang kepada keuntungan bersih kumpulan seawal suku keempat tahun ini.
Beliau berkata, buat permulaan Mardec dijangka menyumbang antara RM20 juta hingga RM30 juta kepada keuntungan bersih Tradewinds Plantations setahun.

Sementara itu, Bakry berkata pihaknya akan memberi tumpuan memperbaiki tuaian padi lebih baik tahun ini selain mendapatkan jaminan bekalan mencukupi dari luar negara, khususnya dari Vietnam dan Thailand.

Bekalan beras negara, katanya mencukupi.

Malaysia, katanya menaikkan simpanan beras negara kepada 292,000 tan daripada 92,000 tan sewaktu krisis kewangan Asia sebelum ini. Jumlah itu mencukupi untuk menampung bekalan kecemasan selama enam bulan.

Disember tahun lalu Tradewinds mengambil alih 54 peratus kepentingan dalam Padiberas Nasional Bhd (BERNAS).

Jumlah beras dijual BERNAS berkembang 1.6 peratus kepada 1.33 juta tan tahun lalu, berbanding 1.31 tan tahun sebelumnya.

Tradewinds yang dikuasai Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mencatat keuntungan sebelum cukai RM183.949 juta pada suku kewangan pertama berakhir 31 Mac 2011, peningkatan 34.7 peratus berbanding RM136.537 juta suku sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat kepada RM1.461 bilion daripada RM1.299 bilion.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...