Wednesday 30 May 2012

Kedai henti jual rokok


BANDAR SERI BEGAWAN: Sejak minggu lalu perokok di Brunei tidak dapat merokok kerana peruncit utama kehabisan bekalan rokok, disebabkan polisi kesihatan awam yang ketat dan sebab lain.
Akhbar Borneo Bulletin melawat beberapa kedai runcit utama dan kedai serbaneka di kawasan komersial di Gadong, Kiulap, Kiarong dan pusat bandar dan mereka berkata akan berhenti menjual rokok bermula awal bulan depan kerana “lesen menjual rokok tidak akan diperbaharui”. 
Beberapa peruncit berkata, penjualan rokok sudah tidak menguntungkan kerana kos lesen yang tinggi dan margin keuntungan yang sedikit.

Seorang pemilik kedai serbaneka di Gadong, berkata, “Kami sekarang menghabiskan stok yang ada dan tidak akan mengambil stok baru... bermula bulan depan kami tidak akan menjual rokok.”

Seorang peruncit di Kiulap berkata, sejak kos lesen dinaikkan, mereka hanya menjual rokok untuk “kemudahan pelanggan di kedai mereka” dan tidak mendapat untung dari hasil jualan rokok.

Pengurus di sebuah kedai terkemuka di Gadong berkata, mereka tidak mendapat lesen menjual rokok kerana mereka berada dalam satu kilometer radius dari sekolah dan beberapa peruncit di Kiulap dan Kiarong mendakwa, ia mungkin sebab mengapa lesen mereka tidak diperbaharui.

Pengurus itu berkata, “Sekiranya dilihat dari suduh positif, polisi itu harus dipuji kerana kita tidak mahu murid sekolah mudah membeli rokok dan ini menunjukkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan komited untuk mewujudkan zon awam bebas rokok.”

Thursday 24 May 2012

Google muktamad ambil alih Motorola


GOOGLE memuktamadkan janji niaga bernilai AS$12.5 bilion bagi mengambil alih Motorola Mobility, iaitu pengeluar utama telefon pintar dan peralatan berkaitannya.

Ini sekali gus meletakkan gergasi Internet itu pada kedudukan yang sama tinggi untuk bersaing dengan Apple.
“Pengambilalihan membolehkan Google merancakkan ekosistem Android, selain meningkatkan persaingan pengkomputeran mudah alih,” kata gergasi Internet berpangkalan di California itu dalam satu kenyataan.
Ketua Eksekutifnya, Larry Page, berkata Google mengambil alih “sebuah syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) yang terunggul, dengan rekod pencapaian inovasi lebih 80 tahun.”

Janji niaga itu digelar “Googorola” susulan kelulusan diberikan pihak kawal selia di China, AS dan Eropah, sungguhpun berhadapan kebimbangan sekatan bagi Android, sistem operasi percuma ciptaan Google untuk peranti mudah alih.

Syarat yang dikenakan Kementerian Perdagangan China, termasuk Google menggunakan perisian Androidnya untuk telefon pintar dan komputer tablet dengan percuma dan terbuka untuk tempoh lima tahun.

Badan kawal selia di AS dan di negara lain menekankan bahawa mereka akan membuat pemantauan bagi memastikan Mountain View yang berpangkalan di California itu tidak menggunakan Motorola Mobility untuk mendapatkan kelebihan secara tidak adil dalam pasaran.
Google mengambil alih 17,000 paten menerusi pengambilalihan Motorola Mobility dan mengukuhkan portfolio patennya dalam usaha menguasai pasaran telefon pintar dan tablet yang sedang berkembang pesat.

Sistem Android itu menguasai 51 peratus pasaran sistem operasi telefon mudah alih di AS dalam tempoh tiga bulan berakhir Mac.

Bagaimanapun, dalam pasaran tablet global, iPad telah menguasai lebih perkongsian pasaran berbanding pesaing yang digerakkan Android pada awal 2012, demikian menurut firma penyelidikan IDC.

Penganalisis berkata, Google berkemungkinan berpuas hati dengan portfolio patennya serta operasi jualan telefon pintar dan peralatan lain.

Tuesday 22 May 2012

Yahoo jual pegangan saham Alibaba



YAHOO Inc akan menjual kembali sehingga separuh daripada pegangan saham yang dimilikinya dalam Alibaba Group, syarikat milik usahawan Internet Jack Ma, kepada syarikat China itu pada harga AS$7.1 bilion.
Susulan langkah itu, sebahagian daripada hasil jualan itu akan diagihkan kepada pemegang sahamnya.

Idea itu memerlukan tempoh perbincangan beberapa tahun antara kedua-dua syarikat itu dalam pemilikan Alibaba membabitkan sebahagian atau seluruh 40 peratus saham firma e-commerce China yang dibeli Yahoo pada 2005 dengan kos AS$1 bilion.

Di bawah perjanjian itu, Yahoo akan menjual separuh sahamnya dalam Alibaba bagi sekurang-kurangnya AS$6.3 bilion secara tunai dan sehingga AS$800 juta bagi saham terpilih baru Alibaba.

Kepentingan Yahoo dalam Alibaba, yang mana dimilikinya secara bersama Softbank Corp, dianggap aset berharga bagi syarikat internet di Amerika Syarikat (AS).

Sesetengah pelabur menyarankan supaya Yahoo mencairkan aset pegangannya itu dan memulangkan hasilnya kepada pemegang sahamnya. 
Yahoo dalam kenyataannya berkata, ia akan memulangkan ‘sebahagian besar daripada semuanya’ hasil tunai selepas cukai yang diraihnya itu kepada pemegang sahamnya.


Yahoo berkata, ia akan meningkatkan rancangannya membeli balik sahamnya kepada AS$5 bilion.

Penganalisis berkata, kebanyakan daripada nilai Yahoo ‘terkunci’ dalam asetnya di Asia, justeru dengan menjualnya akan memudahkan penstrukturan pemilikannya dan menyenangkan pelabur untuk membuat penilaian mengenai operasi teras Yahoo di AS.

Sumber rapat dengan perjanjian itu berkata, Yahoo sudah menyediakan insentif kepada Alibaba Group, pemilik ruang pasaran dalam talian popular China iaitu Taobao, untuk mengadakan tawaran awam permulaan menjelang akhir 2015.

Ia menyenaraikan unit Alibaba.com Ltd pada 2007.

Yahoo, yang merosot pendapatannya lebih 20 peratus tahun lalu, membawa masuk bekas Presiden PayPal, Scott Thompson sebagai Ketua Eksekutifnya pada Januari, lima bulan selepas Carol Bartz dipecat. 

Namun begitu, Thompson meletak jawatan awal bulan ini selepas beliau menokok tambah biografi miliknya dengan menyatakan beliau memiliki Ijazah Sains Komputer. Ross Levinsohn kini pemangku Ketua Eksekutifnya.

Yahoo dikritik kerana kegagalannya mengambil tindakan agresif sejak beberapa tahun lalu untuk mengembalikan keuntungan dalam pendapatan pengiklanannya bagi menghadapi saingan Google Inc dan Facebook.

Ma sebelum ini mencuba beberapa kali untuk membeli semula 40 peratus kepentingan dalam syarikat miliknya itu daripada Yahoo namun ditolak.

Hubungan yang rapuh di antara kedua-dua syarikat itu mencapai kemuncaknya tahun lalu apabila timbul laporan Alibaba menyerahkan Alipay, antara set berharga Alibaba kepada syarikat yang dikawal Ma, tanpa pengetahuan Yahoo

Friday 18 May 2012

Malaysia sekali lagi pilihan Kaspersky


PENERAJU utama pembangunan perisian keselamatan kandungan dunia, Kaspersky Lab membuka Pusat Pengetahuan Serta Keselamatan Sistem Maya pertama di Asia Pasifik di Petaling Jaya, Selangor.
Ia dibuka di ibu pejabat Kaspersky Malaysia di Petaling Jaya yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai kepentingan pemeliharaan persekitaran teknologi maklumat (IT) mereka.

Pengarah Rangkaian Jualan Asia Tenggara Kaspersky Lab, Jimmy Fong berkata, pemilihan Malaysia sebagai lokasi utama di rantau ini dilakukan berikutan kehadiran kukuh syarikat itu di negara ini yang bertapak sekian lama.
“Malaysia sesuai bagi pembangunan pusat pengetahuan kerana industri IKS di negara ini juga mampu pergi jauh,” katanya ketika melancarkan pusat terbabit di Petaling Jaya. Ia turut dihadiri Pengarah Jualan Korporat APAC Kaspersky Lab, Gun Suk Ling.

Sementara itu, Gun berkata, pusat itu menawarkan pengetahuan berkaitan perlindungan komprehensif menerusi pendekatan strategik bagi memastikan keselamatan IT untuk semua pelanggan korporatnya.

“Syarikat sudah melakukan penyelidikan menyeluruh terhadap keperluan perlindungan anti malware terutama kepada perniagaan PKS yang menyediakan rangkaian produk keselamatan khusus untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata, pusat terbabit juga mampu memberi pemahaman kepada PKS mengenai produk yang mudah diguna dan diurus, infrastruktur dan perlindungan IT bertaraf dunia yang hanya menggunakan sumber operasi minimum.

Saturday 12 May 2012

Gabung mohon lesen perkhidmatan 4G



PERSAINGAN sembilan pengendali perkhidmatan telekomunikasi tempatan mendapatkan lesen perkhidmatan 4G dijangka berakhir apabila buat pertama kalinya mereka bakal bekerjasama bagi mewujudkan antara tiga hingga empat pakatan untuk membangunkan ekosistem teknologi itu di negara ini.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata pihaknya mengenalpasti syarikat terbabit dan meminta mereka mengemaskinikan pelan perniagaan akhir bagi menentukan kerjasama strategik yang bakal dilaksanakan kelak.
Katanya, model baru dilaksanakannya bagi pembangunan infrastruktur rangkaian 4G itu dilihat menarik dengan menggalakkan konsep satu rangkaian telekomunikasi dikongsikan antara dua hingga tiga syarikat telekomunikasi. 

“Menerusi galakan ini, kita tidak semestinya memiliki sehingga sembilan rangkaian 4G untuk setiap penyedia perkhidmatan di negara ini, tetapi memadai dengan hanya ada dua atau tiga rangkaian saja. 

“Kita boleh melaksanakan model baru seperti ini kerana rangka kerja perundangan membenarkannya dan keupayaan teknologi yang industri miliki pada masa kini. 

“Daripada gambaran awal, kami melihat sekitar tiga hingga empat pakatan berpotensi diwujudkan dan ini perkembangan baik dalam industri kerana mereka hanya perlu bersaing dari segi penyediaan perkhidmatan bukannya infrastruktur,” katanya selepas pelancaran Ekspo GoMobile di Kuala Lumpur, semalam. 
Mohamed Sharil berkata, menerusi model itu beliau berharap dapat menyelesaikan isu lesen spektrum 4G dalam tempoh dua bulan, bergantung kepada kesediaan peserta industri terbabit memuktamadkan kerjasamanya. 

Katanya, tiada tempoh jangkaan perkhidmatan 4G akan diperkenalkan kepada pengguna kerana sebaik saja lesen dikeluarkan, syarikat telekomunikasi masih memerlukan masa mengenal pasti lokasi pemancar, menempah perkakasan dan menetapkan lokasi liputan perkhidmatan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama dalam pakatan itu mungkin akan membabitkan beberapa kaedah perkongsian strategik khususnya membabitkan aset pemancar 4G di kalangan syarikat telekomunikasi. 

Katanya, antara yang dipertimbangkan konsep perkongsian aktif bagi rangkaian akses radio (RAN), meliputi langkah syarikat telekomunikasi bersama-sama berkongsi kos keseluruhan pembinaan infrastruktur pemancar, tapak dan teknologinya. 

“Maka, kos pembangunan infrastruktur kini berkurangan dan ia meningkatkan liputan rangkaian serta membolehkan mereka mengoptimumkan sumber aset yang dimilikinya itu,” katanya.

Tuesday 1 May 2012

Pengasas Facebook terus bekerja



PENGASAS bersama Facebook dan bekas rakan sebilik Mark Zuckerberg, Dustin Moskovitz adalah hartawan termuda di dunia.
Bagaimanapun, pemuda berusia 27 tahun itu, tidak pergi melancong atau menikmati kemewahan itu, sebaliknya terus bekerja di San Francisco meskipun menerusi tawaran awam permulaan (IPO) Facebook adalah mudah untuknya menggandakan kekayaan yang dimilikinya.
Moskovitz dan rakannya, Justin Rosenstein yang juga pengasas Facebook memiliki kekayaan Facebook bernilai AS$150 juta (RM453.98 juta) serta mengetuai syarikat dikenali Asana yang baru-baru ini melancarkan versi pertama pembayaran menerusi projek pengurusan perkhidmatan dalam talian.

Ketika ditemubual di pejabat Mission District, San Francisco, kedua-duanya berkata, mereka perlu bekerja setiap hari disebabkan nasib dan masih perlu melakukan sesuatu dengan kehidupan mereka. 

“Apabila kami berfikir untuk bekerja, kami memikirkan untuk bekerja seperti mana perkhidmatan dan kecintaan kami terhadap kemanusiaan,” kata Rosenstein, 28.

Moskovitz menambah: “Jika kami bersara, kami tidak mampu memberi perkhidmatan kepada sesiapa. 
Walaupun sentimen idealistik yang disuarakan adalah sesuatu yang mudah keluar daripada mulut dua pemuda yang tidak perlu gusar mengenai duit, namun begitu mereka berdua perlu terus bekerja meskipun ia adalah sesuatu yang tidak diperlukan. 

Seperti Zuckerberg sendiri, mereka seolah-olah tidak berminat dalam mengumumkan status kekayaan yang diperoleh. 

Selaras dengan trend permulaan menjauhi hiraki tugas, kedua-duanya tidak memiliki pejabat berasingan, sebaliknya duduk di antara pekerja lain di Asana yang memiliki 24 tenaga kerja. Mereka tidak memiliki pengiring, malah gemar berbasikal.

Sama seperti Zuckerberg, mereka berpakaian tidak kemas dengan Moskovitz memakai baju biasa, manakala Rosenstein memakai baju sejuk dengan kasut berjenama Chuck Taylor.

Kedua-duanya mengakui bahawa kebebasan mutlak mereka adalah untuk meneruskan wawasan tertentu iaitu bagaimana untuk mengubah dunia dan ia seolah-olah tidak mempunyai keraguan bahawa perisian mereka akan berbuat demikian.

Sama seperti mana jurutera terawal Facebook, mereka dilihat mampu mengubah dunia.

Asana akan mempercepatkan kemajuan manusia dengan mengubah cara bekerjasama, kata Rosenstein. 

Terlalu banyak masa di tempat kerja membolehkan masa diperuntukkan untuk ‘mengenai kerja’, kata Moskovitz. Mereka berkata, Asana membolehkan orang ramai bebas melakukan lebih banyak kerja penting.

“Kami boleh bekerja walaupun mengidap kanser. Kami boleh bekerja di atas bangunan kapal angkasa. Kami boleh bekerja dalam projek seni.

“Apa yang menggembirakan bekerja di Asana adalah kami bekerja dalam satu kumpulan pada masa sama,” kata Rosenstein.

Sama ada Asana mampu mengubah dunia tercapai atau sebaliknya, pesaing dalam projek yang banyak dan pasaran perisian pengurusan masih belum dapat dilihat.

Seperti produk sama yang lain, perisian mereka membolehkan pengguna membina pangkalan Web untuk menyenaraikan kumpulan fokus untuk matlamat sama yang boleh digunakan bagi menetapkan pekerjaan dan memantau apa yang akan dilakukan.

Kedua-duanya percaya Asana akan berjaya menerusi kepantasan, kecekapan dan keupayaan untuk mengekalkan aliran yang dimaksudkan dalam namanya, merujuk kepada yoga yang bertujuan untuk membantu aliran tenaga rohani dalam badan.

Menurut fail pra-IPO Facebook oleh Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti, Moskovitz memegang hampir 134 juta saham Facebook yang membolehkannya menguasai 7.6 peratus pegangan dalam syarikat itu.

Berdasarkan nilai yang diletakkan ke atas Facebook dalam perjanjian tunai dan saham bernilai AS$1 bilion (RM3.03 bilion) untuk Instagram, kekayaan bersih pra-IPO Moskovitz melebihi AS$4 bilion (RM12.1 bilion)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...