Saturday 21 July 2012

Sabah catat pelaburan RM10.2b



KOTA KINABALU 16 Julai - Sabah menjadi negeri paling banyak menerima pelaburan dalam suku pertama tahun ini apabila merekodkan jumlah pelaburan sebanyak RM10.2 bilion.

Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah (gambar)berkata, kejayaan tersebut menjadi petunjuk bahawa Sabah merupakan destinasi pelaburan berpotensi seterusnya menarik minat pelabur asing dan tempatan.

"Kini pelabur menjadi lebih ghairah untuk datang ke Sabah dan kerajaan akan terus meningkatkan kemudahan infrastruktur, tadbir urus dan mengekalkan keamanan serta kestabilan negeri.

"Jadi mana-mana pihak yang cuba untuk mengganggu kestabilan politik dan ekonomi negeri, mereka adalah tidak bertanggungjawab dan mengecewakan pelabur serta rakyat negeri ini," katanya menjawab soalan Melanie Chia Chui Ket (SAPP-Luyang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Jelas Shu Kiah, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama pelaburan dengan merekodkan pelaburan RM5.3 bilion diikuti sektor perkilangan sebanyak RM4.8 bilion.

Beliau berkata, selebihnya iaitu sebanyak RM170 juta disumbangkan oleh pelaburan dalam sektor-sektor utama.

"Bagi sektor perkhidmatan sebanyak RM4.9 bilion merupakan pelaburan asing manakala, RM370 juta merupakan pelaburan tempatan dalam aktiviti perumahan dan perhotelan.

"Bagi sektor perkilangan pula sebanyak RM4.6 bilion adalah pelaburan tempatan sementara pelaburan asing berjumlah RM175 juta," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...