Thursday 30 June 2011

IAEA sahkan kilang nadir bumi Lynas selamat




KUALA LUMPUR: Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) merumuskan kilang nadir bumi Lynas Corporation Ltd di Gebeng, Pahang, selamat tetapi syarikat Australia itu perlu melakukan penambahbaikan terhadap beberapa aspek teknikal sebelum meneruskan operasi ke peringkat seterusnya.



Laporan hasil kajian pakar agensi pemantauan nuklear itu menyatakan ia tidak menemui sebarang "ketidakpatuhan piawaian keselamatan radiasi antarabangsa" dalam projek itu.
Bagaimanapun, pasukan pakar IAEA itu mengenal pasti 10 perkara yang perlu diperbaiki sebelum fasa pelesenan seterusnya projek itu.
Laporan itu juga menyatakan undang-undang dan peraturan Malaysia berhubung soal radiasi adalah menyeluruh dan menepati piawaian IAEA.


Pembinaan kilang bernilai RM700 juta oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation Ltd, di kawasan perindustrian Gebeng itu menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.


Susulan kontroversi itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengumumkan satu panel pakar akan menjalankan kajian secara menyeluruh mengenai projek itu.


Beliau berkata, panel pakar itu terdiri daripada empat pakar dari IAEA dan lima pakar dunia dalam bidang berkenaan.
Skop kajian panel pakar itu meliputi pengangkutan, radiasi, perlindungan (pekerjaan, awam dan alam sekitar), penilaian keselamatan, sisa buangan dan menutup kilang dan memulihkan alam sekitar.

Najib umum lebih RM5 juta bagi projek di Kemabong, Tenom



TENOM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan peruntukan serta-merta sebanyak RM2.8 juta untuk menaik taraf jalan raya di kawasan daerah kecil Kemabong, dekat sini. 

Beliau turut meluluskan peruntukan RM3 juta untuk pembinaan rumah panjang suku kaum Murut di daerah Tenom untuk tujuan mempromosi kraftangan dan mengekalkan tradisi suku kaum tersebut.

Berucap dalam program Juara Rakyat-1Malaysia Kemabong, Tenom 2011 di sini, Najib berkata peruntukan itu akan disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berikutan permohonan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang.
"Permohonan lain yang sudah dikemukakan Datuk Rubin tadi, saya akan semak terlebih dahulu," katanya di tapak program tersebut di Padang Pekan Kemabong.

Terdahulu, Rubin yang juga pengerusi penganjur program Juara Rakyat-1Malaysia Kemabong, berterima kasih kepada kerajaan kerana usaha pembangunan yang dilakukan di kawasan itu, termasuk pemberian geran komunal kepada rakyat luar bandar.

Beliau turut mengetengahkan beberapa masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh penduduk di daerah kecil itu dan daerah Tenom secara amnya.

Rubin berkata, jalan raya di Kemabong perlu dinaik taraf dan diturap secara berperingkat memandangkan pada masa ini hanya 30 peratus sahaja yang diturap.
"Rakyat sudah lama menanti. Kami juga merayu kerajaan persekutuan luluskan permohonan lebuh raya (menghubungkan) daerah Tenom dan daerah Beaufort, atas sebab kedudukan jalan raya yang strategik," katanya.

Beliau berkata, permohonan lain termasuk pewujudan kampus cawangan mana-mana universiti, kolej mahupun institut untuk daerah Tenom sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan dan merangsang semangat pelajar luar bandar di situ.

"Selain itu, pemimpin keagamaan di sini juga meminta Perdana Menteri menyalurkan dana seberapa yang boleh bagi tujuan pembangunan semua agama di daerah Tenom ini," katanya.

Daerah kecil Kemabong terletak di kawasan pedalaman daerah Tenom, kira-kira 208 kilometer atau tiga setengah jam perjalanan dari Kota Kinabalu.

Mengikut Banci Penduduk 2010, daerah kecil ini didiami kira-kira 35,000 orang dengan 70 peratus daripadanya terdiri daripada kaum Murut. - BERNAMA

Wednesday 29 June 2011

Jalan Jempangah - Montenior batu 60 dinaik taraf



BEAUFORT 28 Jun - Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan sebanyak RM18 juta untuk menaik taraf jalan raya sepanjang lapan kilometer di antara Jimpagah-Montenior Batu 60 dekat sini.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, projek itu akan dapat mempertingkatkan lagi sistem perhubungan jalan raya di kedua-dua kawasan tersebut.
''Usaha menaik taraf jalan ini bukan sahaja bakal memberi manfaat kepada pengguna jalan di situ tetapi juga kepada lebih 2,000 penduduk di Jimpagan dan Montenior," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat dan melancarkan majlis pecah tanah bagi melaksanakan projek tersebut di sini semalam.
Hadir sama, Pegawai Daerah Beaufort Wong Foo Then; Naib Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Kimjus Duim dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Beaufort, Mohd. Ishak Ibrahim.
Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, jalan raya itu merupakan antara projek yang telah lama diperjuangkan, justeru tidak timbul soal siapa yang menyuarakan tuntutan bagi melaksanakannya.
"Tidak timbul soal pemimpin mana yang memperjuangkan tuntutan ini, apa lagi parti pembangkang yang hanya tahu bercakap namun tidak berupaya melaksanakannya.
"Apa yang penting bagi rakyat di kawasan ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengotakan janjinya untuk melaksanakan projek ini yang dijangka siap pada pertengahan Disember pada 2012," katanya.
Menurut Lajim, pembinaan jalan itu akan membantu mempercepatkan tempoh perjalanan penduduk yang sebelum ini hanya bergantung kepada sistem perhubungan kereta api.
Jelas beliau, ia juga akan memudahkan penduduk di kampung tersebut dan sekitarnya bagi memasarkan hasil pertanian mereka ke kawasan luar.
''Projek ini menyaksikan satu lagi mercu tanda pembangunan yang diperjuangkan sekian lama oleh kerajaan dan pemimpin BN," katanya.

Pemain utama 4G


PACKET One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) penyedia jalur lebar 4G pertama berasaskan teknologi WiMAX di Malaysia dan Asia Tenggara memperluaskan lagi rangkaiannya apabila menjalin kerjasama dengan China Mobile bagi membangunkan keseluruhan ekosistem teknologi Evolusi Jangka Panjang (TD-LTE) di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Lai berkata, bagi menjayakan TD-LTE dan 4G mudah alih, ia memerlukan pelaksanaan teknologi yang menyeluruh kepada orang ramai dan P1 berusaha untuk memastikan syarikat melepasi evolusi teknologi 4G.

Katanya, menerusi kerjasama itu juga ia akan memberi manfaat kepada pengendali bukan saja di negara ini, malah di peringkat global, selain membawa kelebihan kepada P1 dan Malaysia dalam bidang komersial dan teknologi.
“Kerajaan Malaysia memberi sokongan penuh kepada jalur lebar 4G dan hari ini negara terus menerajui rantau ini menerusi evolusi 4G dan kami akan terus berusaha untuk mengekalkan kedudukan sebagai pemain utama dalam 4G.

“Malah, kerjasama dua syarikat ini iaitu P1 dan China Mobile, kami yakin TD-LTE adalah masa depan untuk jalur lebar mudah alih dan P1 merancang peralihan rangkaian WiMAX kepada WiMAX/TD-LTE menjelang pertengahan tahun 2012,” katanya di majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan China Mobile di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, Duta China, Chen Dehai.
Lai berkata, kerjasama itu akan berterusan sehingga dan P1 komited menyediakan platform yang dibentuk untuk mencipta nilai bagi syarikat yang terbabit dalam perkhidmatan 4G melalui ekosistem TD-LTE dan menggalakkan penggunaan awal teknologi LTE sebagai gelombang berikutnya untuk keseluruhan teknologi 4G di Malaysia dan Asia Tenggara.

Beliau berkata, LTE berpotensi memberikan kelajuan tanpa wayar sehingga satu gigabit sesaat dan pihaknya akan mengadakan promosi bergerak mengenai TD-LTE yang akan dibangunkan.

Friday 24 June 2011

KL Gangster menuju RM11j


KEJAYAAN filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof mencatat kutipan tertinggi mencecah lebih RM10 juta membuktikan filem Melayu masih ada pasaran besar di negara sendiri jika digarap dengan baik.
KL Gangster yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 9 Jun lalu mencatat kutipan kasar RM10.6 juta untuk tempoh 14 hari sehingga kelmarin.
Dengan sambutan hangat daripada orang ramai yang terus ghairah untuk melihat karya kelima arahan Syamsul itu, menyakinkan pihak panggung yang ia mampu mencatat angka RM11 juta sehingga Ahad ini.

Malah, filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd dan dijayakan Aaron Aziz, Adi Putra, Syamsul dan Sheera Iskandar ini dijangka terus bertahan selama sebulan di pawagam walaupun satu demi satu filem baru ditayangkan seperti 3,2,1 Cinta pada 16 Jun dan semalam 23 Jun filem seram Rasuk mula menghantui pawagam dan Sekali Lagi pada 30 Jun.

Produsernya, Datuk Yusof Haslam memanjatkan kesyukuran dan rasa bangga dengan kejayaan buah tangan terbaru anaknya yang mula menunjukkan kejayaan pada hari pertama tayangan dengan angka RM1.5 juta.
Katanya, pihak panggung meramalkan KL Gangster mampu mencecah RM11 juta pada Ahad ini, bahkan menunjukkan minat untuk terus menayangkan filem ini selama sebulan berdasarkan sambutan penonton.

“Sudah tentu kejayaan ini satu kebanggaan buat saya dan Syamsul, tetapi waktu sama memberi cabaran besar kepadanya apabila orang mula memberi harapan yang lebih besar untuk karya-karyanya akan datang.

“Bermula dengan Evolusi KL Drift kemudian Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2 dan Khurafat, ia menunjukkan peningkatan dari satu anak tangga buat Syamsul.

“Selepas ini filem Aku Bukan Tomboy akan ditayangkan pada 11 November manakala filem Jalan Kembali sudah selesai penggambaran dan sedang dalam proses suntingan.

“Syamsul kini dalam persiapan memulakan penggambaran KL Gangster 2 yang dijangka selepas hari raya nanti. Kali ini Syamsul hasilkan prekuel mengenai kisah Malik lakonan Aaron sebelum menjalani hukuman penjara dan mengapa dimasukkan ke penjara. Semuanya akan dikupas nanti,” katanya.

Jika Syamsul muncul dengan watak jahat sebagai Shark dalam KL Gangster, Yusof hanya ketawa apabila dicadangkan membuat penampilan khas sebagai ketua gangster dalam sambungannya nanti.

Katanya, ia satu idea menarik dan mungkin akan dipertimbangkan.

Mengenai rahsia kejayaan KL Gangster, Yusof mengatakan asas paling utama sudah tentu genre dihasilkan sememangnya menjadi tarikan penonton dan lebih penting lagi adalah kualitinya dan promosinya.

“Apa yang mengharukan saya adalah sambutan yang diberikan penonton sebaik saja cerita berakhir kerana mereka akan bertepuk tangan. Ini sesuatu yang jarang berlaku kepada filem Melayu.

“Lebih membanggakan saya ialah filem ini bukan saja diminati kalangan penonton Melayu, malah pelbagai kaum apabila ramai Cina dan India turut pergi menonton,” katanya.

Wednesday 22 June 2011

MAS beli 10 lagi Boeing 737-800



PENERBANGAN Malaysia (MAS) akan membeli 10 lagi pesawat Boeing Generasi Akan Datang 737-800 bernilai kira-kira RM2.4 bilion. 

Pembelian itu diumumkan Naib Presiden Jualan Pesawat Boeing, Marlin Dailey serta Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz pada Pameran Udara Paris ke-49 semalam.

Tengku Azmil berkata, keputusan MAS melaksanakan opsyen bagi membeli 10 pesawat tambahan itu adalah satu lagi langkah penting bagi mengukuh dan membangunkan nilai bagi perkhidmatan penerbangannya serta menyokong strategi transformasi perniagaannya.

“Pesawat Generasi Akan Datang 737-800 dengan kelebihan ekonomi, termasuk kecekapan penggunaan bahan api yang tidak tiada tandingannya itu adalah pilihan yang tepat untuk menyokong perniagaan dan pelanggan kami,” katanya.

Dengan pengesahan pembelian itu, MAS bakal memiliki 45 pesawat jenis itu dengan lima daripadanya sudah diserahkan Boeing dan kini digunakan untuk operasinya di sekitar Asia.

Bagi pengesahan pembelian sebelum ini, MAS bakal menerima 20 pesawat jenis itu hingga 2015, manakala 10 pesawat lagi pada 2016. Sepuluh pesawat yang disahkan pembeliannya semalam itu pula akan diterimanya selepas 2016.

Tengku Azmil berkata, pihaknya gembira dengan pemilikan pesawat Boeing 737-800 itu kerana ia mendapat maklum balas baik daripada penumpang yang berpuas hati dengan dalamannya termasuk ruang bagasi yang lebih luas dan kerusi kulit yang menarik.
Sementara itu, Dailey berkata, MAS kini menjadi sebagai pengendali penting keluarga Generasi Akan Datang Boeing 737-800.

“Pesawat Boeing 737-800 MAS, iaitu yang pertama di Asia, mampu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api sehingga empat peratus, menambah jarak penerbangan dan mengurangkan pengeluaran karbon dioksida pada tahap minimum serta bunyi bising ketika berlepas,” katanya.

Pesawat Generasi Akan Datang Boeing 737-800 adalah paling berteknologi tinggi dalam pasaran pesawat satu lorong.

Ia boleh membawa sehingga 189 penumpang, 771 kilogram lebih ringan dan boleh terbang lebih jauh sehingga 583 kilometer walaupun membawa lebih 12 penumpang daripada pesawat pesaingnya.

Toyota rancang upah pekerja kontrak



Usaha tingkatkan jumlah pengeluaran kenderaan terjejas akibat gempa bumi, tsunami

TOYOTA dan pengeluar kereta Jepun lain semalam telah merancang untuk mengupah beribu-ribu pekerja kontrak di negara itu untuk meningkatkan jumlah pengeluaran yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu.

Toyota berkata pihaknya akan mengupah sehingga 4,000 pekerja kontrak di kilangnya di Jepun.

“Bagi pengeluaran domestik, syarikat menjangkakan pengeluaran akan mula pulih sekitar Oktober, menggantikan kelewatan yang disebabkan gempa bumi besar di timur Jepun,” kata Toyota dalam satu kenyataan.

“Dalam usaha mengurangkan kesan akibat gempa bumi, syarikat merancang untuk mengupah 3,000 hingga 4,000 pekerja kontrak seluruh negara bermula pertengahan Julai.”

“Mereka akan menjadi pekerja kontrak baru pertama Toyota sejak Disember 2009,” kata jurucakap Kayo Doi.

Jawatan yang ditawarkan adalah untuk bahagian pembuatan dan pemasangan di beberapa kilang Toyota, katanya.

Honda merancang untuk mengupah kira-kira 1,000 pekerja kontrak baru dan pembaharuan kontrak dengan pekerja sedia ada kerana ia melihat untuk meningkatkan pengeluaran pada separuh kedua tahun ini, kata jurucakap itu.
Sementara itu, Nissan pula bercadang menambah jumlah kakitangan kontraknya sehingga 200 orang di lima kilangnya menjelang akhir Julai.

Di tengah-tengah ketidaktentuan jangkaan berkaitan pembekalan dan jualan, pengeluar kereta Jepun masih berhati-hati dalam mengupah pekerja secara sepenuh masa.

Pada minggu lalu, Honda berkata, pihaknya menjangkakan keuntungan bersihnya akan jatuh sebanyak 64 peratus pada tahun fiskal ini daripada tahun lalu berikutan kesan gempa bumi pada Mac lalu dan pengukuhan yen.

Awal bulan ini, Toyota berkata pihaknya menjangkakan keuntungan bersih bagi tahun fiskal ini jatuh sebanyak 31 peratus kepada AS$3.5 bilion kerana pengukuhan yen dan juga kesan kepada pengeluarannya berikutan bencana alam pada Mac lalu. Bagaimanapun, pihaknya melihat pemulihan pada separuh kedua.

Kejadian gempa bumi serta tsunami, yang menyebabkan 23,000 terkorban atau hilang, memusnahkan keseluruhan bandar dan melumpuhkan kemudahan penjanaan elektrik termasuk loji nuklear.

Berikutan kekurangan tenaga dan bahagian-bahagian tertentu, pengeluar kereta dan firma Jepun lain mengumumkan gangguan pengeluaran tempatan dan luar negara, sementara memperlahankan pengeluaran atau menutup kilang. Toyota menjangka pengeluaran dijangka akan pulih sepenuhnya menjelang November.

Ia berkata, bencana alam itu yang menyumbang kepada kejatuhan 77 peratus keuntungan bersih pada suku keempat akan mengurangkan pengeluaran globalnya sebanyak 450,000 unit dan memberi kesan kepada keuntungan operasinya sebanyak 360 bilion yen.

Saham Toyota tutup 0.94 peratus tinggi pada 3,205 yen di Tokyo, Honda pula 1.07 peratus tinggi pada 2,928 yen dan Nissan meningkat 3.14 peratus kepada 820 yen.

Tuesday 21 June 2011

Tenaga nuklear masih jadi pilihan



Sumber dilihat berdaya maju meskipun berlaku krisis di Jepun

KUASA nuklear kekal sebagai sumber tenaga yang berdaya maju pada peringkat global meskipun berlaku krisis di Jepun, kata Ketua Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Angel Gurria.

Beliau berkata, kuasa nuklear masih diperlukan untuk memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat tanpa menolak keperluan sumber tenaga alternatif yang lain seperti tenaga solar dan air.

“Ia bukan persoalan meninggalkan program (nuklear). Apa yang dibimbangi kini ialah isu keselamatannya, tetapi kami tetap percaya sumber tenaga nuklear akan terus menjadi penyelesaiannya,” katanya pada sidang media Persidangan Kemuncak Pertumbuhan Teknologi Hijau, di Seoul, Korea Selatan.

Gurria berkata kesilapan manusia, yang menjadi punca paling kerap mengakibatkan kemalangan nuklear, sebenarnya dapat diatasi.

“Kita boleh belajar daripada kesilapan kita sendiri, itulah kesimpulannya,” katanya yang menambah sebuah agensi tenaga nuklear dalam OECD ketika ini membantu Jepun mengkaji langkah keselamatan di loji nuklear milik mereka.

OECD, yang dianggotai 34 negara yang komited kepada demokrasi dan pasaran ekonomi, membentangkan strategi pertumbuhan hijau bulan lalu untuk menyelaraskan aplikasi tenaga boleh diperbaharui di kalangan anggotanya.

OECD akan menyediakan panduan yang khusus untuk negara dan industri, kata Gurria.
Ketua kepada Syarikat Telekom dan Internet Jepun, Softbank, Masayoshi Son, menggesa semua negara untuk memberi lebih tumpuan kepada pembangunan tenaga hijau.

Katanya, walaupun krisis loji nuklear Fukushima dicetuskan kejadian gempa bumi dan tsunami, namun kemalangan seperti itu boleh berlaku dalam zon bebas gempa bumi.

“Harus diingat, kebanyakan kemalangan yang teruk dalam kuasa nuklear disebabkan oleh kesilapan manusia, bukan kerana gempa bumi dan kesilapan manusia ini boleh berlaku di mana saja di dunia,” katanya.

Beliau berkata, 34 daripada 47 kerajaan tempatan di Jepun telah menyertai kempen beliau untuk membawa negara keluar daripada penggunaan kuasa atom dan beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan geoterma.

Biola dilelong £9 juta catat rekod dunia



LONDON: Sebuah biola jenis Stradivarius yang jarang ditemui mencatat rekod dunia selepas dijual melebihi £9 juta dalam lelongan di London dan hasil jualan akan disalurkan untuk membantu mangsa tsunami dan gempa bumi Jepun.

Seorang pembida yang enggan dinyatakan identiti membayar £9,808,000 (AS$15,894,000, 11,076,000 euro) untuk mendapatkan biola 1721 "Lady Blunt" Stradivarius, sekali gus empat kali mengatasi rekod lelongan untuk biola Stradivari.


Alat muzik itu adalah milik Lady Anne Blunt selama 30 tahun iaitu cucu kepada penyair Inggeris, Lord Byron dan dikatakan "dalam keadaan asal selepas diserahkan pemiliknya". 

Monday 20 June 2011

Bida rumah paling mahal di Amerika



LONDON: Ia hanya langkah kecil dalam bidang hartanah bagi pereka fesyen berusia 22 tahun, Petra Ecclestone, tetapi ia lonjakan besar bagi orang lain. 

Akhbar Telegraph melaporkan anak perempuan kepada hartawan pemilik Formula One, Bernie Ecclestone, dilaporkan membida kediaman paling mahal dalam senarai jualan di Amerika Syarikat.

Rumah agam dengan gaya istana Perancis berkeluasan 5,295 meter persegi di Los Angeles itu mempunyai 100 bilik termasuk 14 bilik tidur dan berada di pasaran sejak 2009 dengan harga AS$150 juta (RM454 juta).
Harga ditawarkan tidak didedahkan, menurut Wall Street Journal yang melaporkan cadangan jualan.

Laman web selebriti TMZ melaporkan jualan itu masih belum dimuktamadkan.

5 tuntutan CUEPACS



Prasyarat persetujui pelaksanaan PROSPEK

ALOR SETAR: CUEPACS yang baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula 1 Julai, mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.

Tuntutan utama adalah supaya pangkat pegawai dinaikkan secara automatik selepas menamatkan kursus kompetensi, memberi tiga kenaikan insentif bagi setiap kali kenaikan pangkat dan melantik dua wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK,

Dua tuntutan lagi adalah penubuhan jawatankuasa utama yang dianggotai |CUEPACS dan JPA bagi memantau pelaksanaan PROSPEK dan isu berkaitan serta memastikan setiap perkara dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini dipatuhi kedua-dua pihak sebelum pekeliling mengenai penilaian dikeluarkan.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata CUEPACS mengemukakan tuntutan baru kerana tidak bersetuju dengan beberapa terma dan syarat dalam MoU yang ditandatangani dengan JPA sebelum ini.

“Kita tidak puas hati dengan beberapa perkara dalam PROSPEK dan menuntut supaya lima perkara itu diberi perhatian oleh JPA sebelum kami bersetuju dengan pelaksanaan kaedah baru penilaian prestasi kakitangan awam yang akan dikuatkuasakan bulan depan.

“CUEPACS sudah bertemu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Khamis lalu dan beliau setuju supaya kita berbincang dengan JPA mengenai lima tuntutan itu sebelum pekeliling PROSPEK diedarkan.
“Jika pekeliling dikeluarkan tanpa perbincangan antara JPA dengan CUEPACS berhubung tuntutan itu, kita mungkin menolak pelaksanaan PROSPEK,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pekerja RISDA Kedah ke-24, di sini semalam.

Pada 19 Mei lalu, CUEPACS telah menyatakan persetujuan mengenai PROSPEK menerusi MoU yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah bersama Omar yang mewakili CUEPACS, bagi menggantikan PTK yang dimansuhkan pada Januari lalu.

Menerusi PROSPEK, kaedah penilaian kakitangan awam tidak lagi berasaskan peperiksaan, sebaliknya ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat. Panel penilai akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.

Pelaksanaannya akan membabitkan lapan prinsip penilaian baru, iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi. Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi, memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS berharap kerajaan memberikan dua bulan bonus kepada 1.2 juta kakitangan awam akhir tahun ini, selain Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak RM300 sebulan di seluruh negara dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.

“Permintaan kami untuk dua bulan bonus tahun lalu tidak dipenuhi dan berharap kali ini ia dipertimbangkan. COLA pula wajar diperluaskan ke seluruh negara kerana kos sara hidup semakin meningkat. Ini kerana dinaikkan pangkat pun, kenaikan gaji mereka hanya sedikit,” katanya.

Debu gunung berapi Chile kembali ke Australia



SYDNEY: Awan berdebu yang disebabkan letusan gunung berapi di Chile lebih dua minggu lalu dijangka mengganggu penerbangan di Australia selepas ia mengelilingi ruang udara dan kembali ke negara berkenaan, kata peramal kaji cuaca, hari ini. 


Aktiviti Gunung Puyehue yang semakin berkurangan, membolehkan orang ramai pulang ke rumah mereka di kawasan pergunungan Andes tetapi awan berdebu bersaiz besar masih berterbangan di Kutub Selatan.Pegawai Pusat


Penasihat Debu Gunung Berapi negara itu, Andrew Tupper berkata, debu itu semakin nipis ketika ia bergerak tetapi masih dijangka memberi kesan kepada ruang udara selatan Australia

Sunday 19 June 2011

Fukushima malapetaka terburuk dalam sejarah


Krisis nuklear 20 kali ganda teruk daripada Chernobyl


WASHINGTON: Pakar sains percaya bencana nuklear Jepun sebenarnya lebih teruk daripada apa yang didedahkan untuk pengetahuan umum dan lebih serius dibandingkan krisis loji Chernobyl, Ukraine, lebih dua dekad lalu.
Gempa bumi pada tahap magnitud 9 pada 11 Mac lalu disusuli tsunami melumpuhkan sistem penyejukan di loji nuklear Fukushima diikuti beberapa letupan hidrogen dan reaktornya lebur hingga memaksa penduduk yang tinggal dalam lingkungan 20 kilometer dari loji itu dipindahkan.


Ibu Pejabat Tindakan Kecemasan Nuklear Jepun mengakui awal bulan ini bahawa reaktor 1, 2 dan 3 loji Fukushima lebur sepenuhnya.

Syarikat Elektrik Tokyo (TEPCO) yang bertanggungjawab atas reaktor itu turut mengumumkan ‘kemalangan’ itu mungkin melepaskan lebih banyak bahan radioaktif ke alam sekitar berbanding Chernobyl sekali gus menjadikannya bencana terburuk nuklear dunia setakat ini.

Ketika diwawancara stesen Al Jazeera, seorang pakar nuklear, Arnold Gundersen, berkata: “Fukushima adalah bencana industri terbesar dalam sejarah manusia.”

Beliau percaya, lebih banyak teras reaktor di loji nuklear Fukushima melepaskan radiasi daripada apa yang diketahui umum.
Gundersen mempunyai pengalaman kejuruteraan kuasa nuklear selama 39 tahun dan pernah mengurus serta menyelaras projek di 70 loji kuasa nuklear seluruh Amerika Syarikat.

TEPCO menyembur air ke beberapa reaktor dan teras bahan api nuklear loji itu tetapi ia hanya membawa lebih banyak masalah termasuk radiasi dilepaskan ke udara dan air laut termasuk beribu-ribu tan air laut dicemari radioaktif yang perlu dibuang.

Baru-baru ini, TEPCO mendedahkan rancangan baru membersihkan air yang mengandungi radioaktif tetapi menangguhkannya kerana masalah teknikal yang bermakna proses menyejukkan reaktor Fukushima belum bermula.

“Masalahnya ialah bagaimana menyejukkannya. Mereka curah air tetapi bagaimanakah mereka dapat buang mendapan radioaktif yang dihasilkan serta mengandungi plutonium dan uranium? Di mana mereka boleh simpan air itu?

“Sebanyak 20 teras nuklear terdedah (dan melepaskan radiasi), itu bermakna ia berpotensi 20 kali ganda lebih buruk kesannya berbanding Chernobyl.

“Anda tidak mungkin dapat bersihkannya. Kita masih kesan radiasi pada babi hutan di Jerman, 30 tahun selepas Chernobyl berlaku,” kata Gundersen.

Di Tokyo, kebimbangan meningkat selepas penduduk diberi amaran supaya tidak memberi air paip kepada bayi mereka kerana kebocoran radiasi di Fukushima.

Meskipun amaran itu kemudian ditarik balik, kadar radiasi dalam produk ladang termasuk daun teh di kawasan lebih jauh dari Fukushima, melebihi had ditetapkan.

Tinjauan terbaru mengesan radiasi satu meter di atas tanah di sebuah taman di Tokyo mencapai 0.06 mikrosievert sejam.

Saintis lain yang memantau ‘kawasan panas’ radioaktif di sekitar Jepun dan tempat lain turut bimbang, lebih-lebih lagi selepas seorang penasihat kerajaan Jepun melaporkan kawasan seluas 966 kilometer persegi, 17 kali ganda saiz Manhattan, mungkin tidak sesuai untuk didiami.

Dua pakar perubatan kanan Amerika, Janette Sherman dan Joseph Mangano menyiarkan artikel mengenai peningkatan 35 peratus kematian bayi di lapan bandar di barat laut Amerika yang mungkin disebabkan radiasi Fukushima.

Bandar itu termasuk San Jose, Berkeley, San Francisco, Sacramento, Santa Cruz, Portland, Seattle dan Boise. Gundersen berkata, radiasi yang dilepaskan sebenarnya lebih banyak hingga sampai ke bandar di Amerika.

Paling bahaya ialah ‘partikel panas’ membabitkan pembebasan isotop caesium, strontium dan plutonium.

“Kami temui partikel panas di semua tempat di Jepun, termasuk Tokyo. Ramai menghidunya kerana ia memasuki penapis udara enjin kenderaan.

“Partikel itu akan melekat pada paru-paru dan akan sentiasa memberi masalah. Sebatang rokok yang dihisap tidak bahaya kerana memakan masa lama. Partikel panas itu boleh menyebabkan kanser dan ia tidak dapat diukur menggunakan alat Geiger,” katanya.

Saturday 18 June 2011

Penggodam sudah dikenal pasti



KUALA LUMPUR: CyberSecurity Malaysia sudah mengenalpasti pihak bertanggungjawab menggodam laman web kerajaan dan swasta, sejak beberapa hari lalu.
         Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri yang enggan mendedahkan maklumat lanjut berkata, ia hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).Beliau berkata, sehingga kini serangan penggodam masih lagi berlaku tetapi semakin berkurangan berbanding kelmarin.
        “Kebanyakan laman web yang digodam kembali beroperasi dan hanya segelintir yang masih belum pulih. Bagaimanapun, portal kerajaan www.malaysia.gov.my sudah beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

         Kelmarin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendedahkan sebanyak 61 laman web dengan domain gov.my diserang sejak 11.30 malam Rabu lalu, menyebabkan 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza.

        Serangan itu dikesan lebih awal daripada ancaman sekumpulan penggodam antarabangsa yang menggelar diri mereka ‘Anonymous’ untuk menyerang portal kerajaan www.malaysia.gov.my melalui ‘Operation Malaysia’ pada jam 3.30 pagi, kelmarin.
Mengulas lanjut Husin, berkata setakat ini, tiada maklumat atau data milik kerajaan hilang dan dirosakkan oleh penggodam.

        Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai serangan penggodam hanya boleh diperoleh selepas ia dihentikan dan siasatan serta ‘post mortem’ dilakukan pihaknya.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pemilik sistem berwaspada bagi memastikan keselamatan laman web mereka.

        Sementara itu, pada sidang media di Angkasapuri, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata siasatan awal mendapati 90 peratus serangan dilakukan penggodam tempatan.

        Beliau berkata, serangan itu menyusahkan rakyat dan seolah-olah mempunyai kaitan politik serta Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH). 

Beliau berkata, daripada 198 laman web di negara ini yang digodam sejak tengah malam Rabu lalu, 60 milik kerajaan dan agensinya.

“Sebahagian besar laman web itu sudah dipulihkan. Kerajaan mahu Jabatan Peguam Negara, SKMM dan agensi lain bekerjasama bagi memudahkan pengumpulan bukti mendakwa pihak bertanggungjawab,” katanya.

            Sementara itu, Exco Kerajaan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata rakyat tempatan yang dikenal pasti terbabit menggodam laman web kerajaan, dilabel sebagai penderhaka negara kerana tindakan mereka bermatlamat menghancurkan kerajaan.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap pihak terbabit termasuk melucutkan taraf kewarganegaraan jika terbukti mereka melakukan perbuatan yang boleh dianggap tindakan subversif.

           “Mereka yang melakukannya boleh dianggap menderhaka kerana berniat menghancurkan negara,” katanya selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir merasmikan Program Kecemerlangan Pelajar Sekolah Daerah Manjung, di Lumut, semalam. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...