Wednesday 26 October 2011

Lelaki miliki tindikan paling banyak di dunia



DORTMUND, Jerman - Rolf Bucholz yang merupakan seorang pakar komputer berusia 52 tahun mempunyai tindikan sebanyak 453 di tubuhnya.
Dia merupakan pemilik rekod Guinness World of Records lelaki yang paling banyak bertindik di dunia.
Muka lelaki tersebut juga mempunyai banyak tindikan seperti di kening, bibir dan hidung.
Dia juga mempunyai 278 tindikan di bahagian kemaluannya. 

Tuesday 25 October 2011

Penghuni dunia cecah 15 bilion



NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penduduk dunia akan mencecah 15 bilion orang menjelang akhir abad ini, menyebabkan tekanan berat kepada sumber planet Bumi, kecuali tindakan segera diambil untuk mengawal kadar pertumbuhan.
Perangkaan itu berkemungkinan mengejutkan ramai pakar kerana ia jauh lebih tinggi berbanding yang dianggarkan.
Terdahulu, PBB menganggarkan dunia akan memiliki 10 bilion penduduk menjelang akhir abad ini, manakala ketika ini hampir tujuh bilion orang menghuni dunia.

Perangkaan baru itu dinyatakan dalam kajian oleh Dana Kependudukan PBB (UNFPA) yang akan disiarkan minggu ini. Laporan bertajuk ‘Kedudukan Penduduk Dunia 2011,’ dihimpun untuk menandakan bahawa di mana-mana saja di muka Bumi, bayi yang dilahirkan akan menjadikan penduduk dunia melebihi tujuh bilion.

Sebahagian pakar memberi reaksi terkejut dengan perangkaan itu. Pengerusi Population Matters, Roger Martin, yang berkempen untuk mengawal penduduk, berkata Bumi memasuki fasa baru yang bahaya.

“Planet kita menghadapi masalah dari semua aspek termasuki pertumbuhan penduduk dan perubahan suhu. Planet sebenarnya tidak menampung tujuh bilion penduduk,” katanya.
Bumi mempunyai dua kali ganda penduduk sejak tahun 1960-an, disebabkan kadar kelahiran tinggi di Afrika, Asia dan Amerika Latin.

Sebahagian lagi masih ragu-ragu dengan fakta bahawa penduduk dunia akan mencecah 15 bilion dengan kadar segera. Penulis Population Bomb, Profesor Jack Goldstone, dari Universiti George Mason, berkata beliau yakin pemimpin dunia akan mengambil tindakan tertentu untuk memastikan penduduk dunia dapat dikurangkan.

“Cara mengurangkan bilangan kanak-kanak dalam keluarga tersebar ke seluruh dunia,” katanya sambil menambah 10 hingga 12 bilion penduduk menjelang 2100.

Ramai pakar dasar percaya kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai cara mengehad dan mengawal penduduk dunia. Kunci utama, kata mereka ialah memastikan perancangan keluarga yang berkesan disampaikan ke seluruh negara membangun.

“Apa yang amat kritikal ialah komitmen kerajaan. Perancangan keluarga sebenarnya tidak mahal,” kata Naib Presiden Majlis Kependudukan beribu pejabat di New York, John Bongaarts.

Bagaimanapun, aktivis isu perancangan keluarga berdepan faktor budaya dan agama yang menjadikan usaha mendidik wanita dan mengurangkan saiz keluarga sukar

Tuesday 11 October 2011

Kereta tertua di dunia dilelong AS$4.6 juta



WASHINGTON: Kereta yang dianggap tertua di dunia yang menggunakan kuasa stim dan masih boleh digunakan, dijual dengan harga AS$4.6 juta (RM14.2 juta) dalam satu lelongan.

Kereta buatan De Dion-Bouton et Trepardoux Dos-a-Dos Steam Runabout atau lebih dikenali sebagai “La Marquise,” yang dikeluarkan di Perancis pada 1884, dijual dua kali ganda daripada harga anggarannya dalam lelongan di Hershey, Pennsylvania, Jumaat lalu.

Syarikat lelongan, RM Auctions memaklumkan kereta yang mempunyai kelajuan maksimum 61 kilometer sejam dan sejak 127 tahun usianya kereta itu hanya mempunyai empat pemilik saja.
Pemilik terakhirnya ialah seorang pengumpul antik, dari Texas, John O’Quinn yang membeli kereta klasik yang pertama kali menyertai satu perlumbaan kereta pada 1887 dengan harga AS$3.5 juta pada 2007.

Kereta itu juga pernah menyertai perlumbaan antara London ke Brighton.

Bagaimanapun, pemilik terbaru kereta itu tidak didedahkan kali ini.

Media Amerika bagaimanapun mendakwa ada sebuah lagi kereta yang kini terletak dalam Muzium Kereta Nasional Britain, yang turut didakwa sebagak kereta tertua di dunia.
Kereta buatan British itu dikeluarkan pada 1875 oleh Robert Neville Grenville yang hanya mempunyai tiga roda.

Monday 10 October 2011

PCG keluar baja urea terbesar



PETRONAS Chemical Group Bhd (PCG), pengeluar terbesar produk petrokimia di negara ini, bakal muncul sebagai pengeluar baja urea kedua terbesar di Asia Tenggara apabila Projek Baja Urea Ammonia Sabah (SAMUR) bernilai RM4.77 bilion, beroperasi pada 2015.
Projek yang akan dimajukan di Sipitang, Sabah bermula pada suku kedua tahun depan itu mampu melonjakkan pengeluaran baja urea PCG kepada 2.6 juta tan setahun berbanding 1.4 juta tan setahun sekarang.
Pengerusinya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata pembinaan kilang dengan kapasiti 2,100 tan sehari atau 1.2 juta tan setahun itu bertepatan pertumbuhan permintaan bagi baja urea di Asia Pasifik yang diunjur meningkat antara dua hingga tiga peratus setahun.

"Peningkatan disebabkan permintaan untuk keperluan pertanian yang semakin tinggi berikutan pertumbuhan pesat penduduk, perubahan corak pemakanan dan persaingan penggunaan tanah untuk tanaman komersial yang semakin besar.

"Ia menyediakan peluang baik kepada PCG mengembangkan perniagaan baja urea di pasaran penting seperti Asia Pasifik, khususnya di Asia Tenggara. Kesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya menerusi projek SAMUR.

"Apabila projek itu siap, PCG berpotensi menjadi pengeluar kedua terbesar baja urea di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan kedudukan PCG sebagai pelaksana utama perniagaan baja urea di rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas memeterai perjanjian Kerjasama Kejuruteraan Terperinci dan Asas, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (BEPCC) antara PCG dengan konsortium kontraktor projek SAMUR di Kota Kinabalu.

Konsortium kontraktor projek itu dianggotai Mitsubishi Heavy Industries Ltd dari Jepun, Apex Energy Sdn Bhd dan Pt Rekayasa Industri dari Indonesia.

Ia disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Turut hadir, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Ketua Eksekutif PCG, Dr Abdul Hapiz Abdullah dan Naib Presiden Kanan Mitsubishi Heavy Industries Ltd, Naohito Hoshino.

Pada majlis itu, PCG turut menyerahkan surat pelantikan kepada Sabah Energy Corporation sebagai syarikat sekutu konsortium kontraktor SAMUR yang mewakili kerajaan Sabah bagi mengagihkan projek termasuk pembinaan jalan raya, jeti, landskap, keselamatan kepada syarikat tempatan.

Sementara itu, Musa berkata, projek SAMUR akan menjadi pemangkin pertumbuhan sektor petrokimia di Sabah yang turut membantu pembukaan industri lain termasuk industri sokongan dan hiliran berkaitan minyak dan gas, selain berkaitan perkhidmatan.

“Projek ini juga dapat menyediakan peluang lebih luas kepada generasi di Sabah menceburi bidang teknikal profesional sekali gus membantu membina kemampuan dan kekuatan ekonomi negeri ini,” katanya.

PETRONAS katanya, turut melatih juruteknik tempatan di beberapa kilang petrokimia seluruh negara untuk mengendalikan kilang PETRONAS Chemical Fertilizer Sabah Sdn Bhd apabila projek SAMUR siap.

Virus serang Predator, Reaper



WASHINGTON: Virus komputer menyerang pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat, Predator dan Reaper yang digunakan tentera negara itu untuk menyasarkan militan dengan mengganggu sistem juruterbang ketika di berada udara, lapor majalah komputer, Wired.
Virus itu kali pertama dikesan dua minggu lalu oleh Sistem Keselamatan Berdasarkan Hos tentera tetapi belum lagi menyebabkan mana-mana misi penerbangan yang dikawal dari Pangkalan Tentera Udara Creech, Nevada. daripada melakukan misi di Afghanistan dan kawasan zon perang lain.
Tiada maklumat sulit dipercayai hilang atau dihantar ke luar daripada rangkaian sistem komputer tetapi virus itu didapati berdaya tahan terhadap beberapa cubaan membuangnya.

“Kami sentiasa membuangnya, tetapi ia tetap muncul semula. Kami fikir ia tidak berbahaya. Tetapi, kami masih belum boleh yakin sepenuhnya,” kata sumber yang arif dengan gangguan komputer kepada majalah berkenaan.

Pakar rangkaian keselamatan tentera Amerika berkata, masih belum jelas sama ada virus itu dihantar secara sengaja dan bagaimana ia disebarkan tetapi mereka yakin ia menjangkiti mesin operasi sulit dan tidak sulit pangkalan udara Creech.

Oleh sebab itu, data rahsia mungkin sudah bocor dan jatuh ke tangan pihak luar yang bukan anggota tentera.
Tentera Amerika tidak menyembunyikan pesawat kawalan jauhnya apabila melancarkan operasi di Libya atau di medan perang Afghanistan, berbeza dengan misi rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) bertujuan membunuh militan al Qaeda di Pakistan, Yaman dan di tempat lain.

Sunday 9 October 2011

Pusat Latihan Petroleum Kimanis buka peluang rakyat Sabah



MEMBAKUT (Sabah): Pusat Latihan Petroleum Kimanis di sini membuka peluang kepada penduduk Sabah, terutama mereka yang tinggal di kawasan pantai barat negeri, membabitkan diri dalam kerjaya industri minyak dan gas.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pusat latihan yang dikendalikan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan boleh menampung 50 pelatih itu juga meyakinkan masyarakat tempatan bahawa pembabitan mereka penting dalam membangunkan industri minyak dan gas di Sabah, terutama apabila Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis dekat sini, beroperasi sepenuhnya pada 2013.

"Pembangunan pesat sektor minyak dan gas di Sabah hanya mampu dijayakan sekiranya ia disokong oleh tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
"Justeru, program latihan melalui pusat latihan ini adalah suatu wadah membimbing generasi muda untuk memenuhi keperluan modal insan industri ini," katanya pada majlis perasmian kampus sementara pusat latihan itu di sini, hari ini.

Teks ucapan Anifah dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Norhaidi Che Dan.

Anifah, yang juga anggota Parlimen kawasan Kimanis, berkata rakyat Sabah perlu menyedari bahawa peluang yang ditawarkan oleh Petronas itu adalah peluang untuk membangunkan negeri kelahiran mereka sendiri, sekali gus meningkatkan tahap sosio ekonomi masing-masing.

Menurutnya, lebih 4,000 pekerja dalam pelbagai bahagian diperlukan di SOGT kelak, yang juga bakal memberi kesan positif terhadap ekonomi masyarakat sekitar.
Sementara itu, Naib Presiden Pengurusan Petroleum Petronas, Ramlan A. Malek, berkata PETRONAS mengambil kesempatan memberi latihan kepada belia Sabah dalam bidang minyak dan gas terlebih dulu sambil menunggu kampus kekal di Kimanis siap pada 2013.

"Pusat latihan ini adalah satu langkah oleh Petronas dalam usaha membangunkan potensi dan mewujudkan kumpulan pekerja mahir dalam kalangan rakyat Sabah yang bakal menyertai dan menyumbang ke arah pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini," katanya.

Seramai 25 belia, 24 daripadanya dari Kimanis dan seorang dari Sipitang, menjadi kumpulan pertama mengikuti Program Instrumentasi dan Kawalan Industri selama dua tahun di pusat latihan itu sejak Julai lalu

Thursday 6 October 2011

Pemergian Steve Jobs tinggalkan kesan berzaman: Bill Gates



SAN FRANCISCO: Kematian pengasas Apple, Steve Jobs akan memberi kesan kepada dunia untuk tempoh yang lama, kata pengasas Microsoft, Bill Gates.

Beliau menyifatkan kematian Jobs hari ini sebagai satu kehilangan yang menyedihkan dan menyifatkan persahabatan antara mereka sebagai penghormatan yang tiada ternilai.

“Steve dan saya kali pertama bertemu hampir 3 lalu dan sehingga itu menjadi sahabat baik, rakan pesaing hampir separuh daripada hidup kami," katanya.
“Dunia jarang mempunyai seseorang yang mempunyai kesan yang besar seperti yang dimilik Steve, kesan yang akan dirasai berzaman lamanya," katanya dalam satu kenyataan

Saturday 1 October 2011

Sabah belanja RM1.641b untuk pembangunan rakyat






KOTA KINABALU, 1 Okt (Bernama) — Sehingga 6 Sept lepas, RM 1.641 bilion di bawah pelan pusingan pertama Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dibelanjakan untuk program pembangunan di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman hari ini.
Katanya, memandangkan RMK-10 masih berada pada fasa awal pelaksanaannya, kerajaan negeri akan berusaha memastikan peruntukan di bawah pelan pusingan pertama dibelanjakan sepenuhnya, khususnya bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.
“Kerajaan negeri juga akan terus melipatgandakan usaha membasmi kemiskinan, khususnya di luar bandar memandangkan ia turut menjadi agenda utama kerajaan.
“Kita bersyukur kerana pelbagai program kerajaan yang dijalankan telah berjaya mencapai sasaran mensifarkan jumlah ketua isi rumah miskin tegar (KIRMT) pada penghujung tahun lepas,” katanya berucap pada istiadat pengurniaan darjah dan pingat kebesaran negeri sempena hari jadi ke-58 Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini hari ini.
Musa berkata, sejumlah RM792.96 juta dibelanjakan di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan jumlah pelaburan swasta yang diterima dianggarkan berjumlah RM10 bilion, sementara jumlah pelaburan yang akan diterima pada tahun depan dijangka meningkat 10 peratus berbanding tahun ini.
“Kita yakin bahawa jumlah komitmen pelaburan yang terus menunjukkan trend peningkatan positif pada setiap tahun ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap kekukuhan asas dan prospek ekonomi, kestabilan politik dan tahap keselamatan di negeri ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...