Friday 30 September 2011

Kereta mampu baca fikiran manusia



GENEVA, Switzerland - Gergasi automobil Jepun, Nissan dan sebuah universiti di Switzerland sedang membangunkan kereta yang mampu mengimbas fikiran manusia dan membuatkan kenderaan tersebut bersedia untuk langkah seterusnya.
"Ideanya adalah untuk menggabungkan kepintaran kenderaan dan pemandu bagi menghasilkan persekitaran pemanduan yang selamat," kata profesor daripada Swiss Teknologi Universiti EPFL, R. Millan.
Projek itu menggunakan penilaian aktiviti otak, corak pergerakan mata dan pengimbas di sekeliling kenderaan menggunakan alat pengesan untuk meramalkan tindakan pemandu.
Kenderaan itu kemudian akan bersedia membelok dengan memperlahankan pergerakan jika perlu, atau berada sedikit ke kiri atau kanan.
Jurucakap EPFL berkata, penyelidikan itu mengambil masa selama empat tahun. "Kami harap prototaip akan siap apabila tiba penghujung tempoh itu," katanya.

Sunday 25 September 2011

Debaran Palestin tunggu jadi ahli PBB



RAMALLAH: Penduduk Palestin tidak dapat menyembunyikan kegembiraan menyaksikan usaha bersejarah mereka memohon keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, walaupun persoalan mengenai hasil yang bakal diperoleh daripada usaha itu dan masa depan negara merdeka Palestin belum dapat dipastikan.

Malam kelmarin, berpuluh-puluh ribu penduduk memenuhi pusat bandar di seluruh Tebing Barat untuk bersama menyokong Presiden Mahmoud Abbas ketika pemimpin Palestin itu menggesa Perhimpunan Agung PBB (UNGA) meluluskan permohonan berkenaan.

Ketika Abbas mengibarkan salinan permohonan rasmi dari podium PBB, beribu-ribu penduduk melaungkan Allah Maha Besar dan Dengan jiwa serta darah, kami akan mempertahankan Palestin!
Keseronokan, keraian dan sikap optimis, jelas bertentangan dengan masalah yang membelenggu wilayah Palestin sejak sekian lama, dengan rundingan damai masih tergantung manakala wilayah itu sendiri terbahagi antara Parti Fatah yang lebih sekular pimpinan Abbas dan Hamas.

Di wilayah Gaza yang ditadbir Hamas, suasana berjalan seperti biasa sedangkan di bandar utama Tebing Barat, keriangan penduduknya dipaparkan dalam tiga akhbar utama wilayah itu di bawah tajuk besar.

Presiden Abbas: Saat kemerdekaan Palestin, kata tajuk utama akhbar Al-Quds di atas gambar Abbas menunjukkan permohonan rasmi itu. Akhbar Al-Ayyam pula gah dengan tajuk Presiden: Palestin Bangkit Semula disertakan dengan gambar kartun helang dengan dada diwarnakan bendera Palestin di atas logo Palestin.

Dalam akhbar Al-Hayat al-Jadida, pengulas Adel Abdul Rahman memuji Abbas berhubung ucapannya di PBB, menggariskan peningkatan populariti presiden itu di Tebing Barat.
Ucapan Presiden Abu Mazen (nama gelaran Abbas) hebat dan berani, sebagai pemimpin pergerakan pembebasan dan sebagai presiden penduduk Arab Palestin dan sebagai negarawan, tulisnya.

Dalam Al-Ayyam, pengulas Hassan al-Batan berkata, Abbas sudah boleh ketawa kepada pengkritiknya dan menggoyahkan reputasi bersubahat dengan Israel dan Amerika Syarikat. Malah ruangan lidah pengarang Al-Quds menyifatkan Abbas menunjukkan kesetiaannya bersama penduduk Palestin.

Dengan menentang tekanan hebat untuk menggugurkan permohonan, Abbas menunjukkan beliau lebih mengutamakan kepentingan penduduk Palestin dan tiada tolak ansur dalam mendapatkan hak mereka, tidak kira apa bentuk tekanan atau daripada siapa ia datang.

Berbeza dengan suasana di Tebing Barat, keadaan di Semenanjung Gaza tidak banyak berubah, dengan wilayah ditadbir Hamas itu menentang keras tindakan itu.

Di kalangan penduduk Palestin sendiri, keterujaan dicemari ramalan Amerika akan menghalang permohonan itu daripada diluluskan, sama ada dengan memujuk negara anggota Majlis Keselamatan supaya mengambil sikap berkecuali atau mengundi menentangnya, atau cuma menggunakan kuasa veto ke atas permohonan itu.

Hollywood bagaikan tong sampah



LOS ANGELES: Agak pelik di sebalik kemasyhuran Hollywood yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia, papan tanda besar lokasi glamor itu bertentangan kota Los Angeles mencetuskan kemarahan penduduk.

Pelancong sudah lama datang ke situ untuk mengambil gambar berlatar belakang papan tanda berkenaan. Masalahnya, mereka memasuki kawasan Bukit Hollywood itu sesuka hati pada masa ini menggunakan peralatan canggih satelit dan enjian carian Google Earth.

Keadaan itu memaksa penduduk tempatan membuat aduan selepas pelancong membuang sampah dan puntung rokok yang boleh mengakibatkan kebakaran pada musim panas dan kering di kaki bukit itu selain menyebabkan kesesakan jalan.
Ada di kalangan penduduk yang menunjukkan kemarahan atas kehadiran pelancong di kawasan itu, lapor agensi berita AFP yang dipetik Sydney Morning Herald.

Malah, ada papan tanda memberi peringatan Amaran: Kawasan ini bukan untuk pelancong. Semua pelancong sila beredar yang dipasang penduduk di kaki Gunung Lee menempatkan papan tanda setinggi 13 meter itu.

Papan tanda besar mulanya dipasang sebagai papan iklan hartanah Hollywoodland sebelum empat huruf belakangnya hilang dan menjadi ikon industri perfileman. Ia boleh dilihat sehingga beberapa kilometer jauhnya dari Los Angeles.

Bagi pelancong, lokasi yang paling hampir untuk mendapatkan sudut rakaman gambar terbaik ialah di bawah Hollywood Boulevard, satu atau dua kilometer dari Hollywood dan Highland Center bersebelahan Teater China Graumann dan Walk of Fame.
Tetapi, keadaan berubah selepas wujudnya sistem pengesanan global (GPS), membolehkan orang ramai dengan mudah mencari laluan ke bukit itu.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kemarahan mula mencetuskan ketegangan antara kejiranan di kawasan jalan menuju ke bukit itu, di sekeliling Tasik Hollywood dan Taman Griffith di lingkaran utara Los Angeles.

Tiada siapa dalam bilik ini menentang pelancong, kata ahli majlis perbandaran, Tom LaBonge dalam mesyuarat penuh emosi berikutan kebanjiran pelancong.
Sesetengah pelancong turut mengadu mengenai sikap penduduk tempatan di kawasan mewah itu dengan menyatakan papan tanda Hollywood menyebabkan hartanah di kawasan itu bernilai tinggi

Friday 16 September 2011

Penyanyi miliki kuku paling panjang di dunia



NEW YORK - Seorang penyanyi rock, Chris 'The Dutchess Walton' disenaraikan dalam Guinness Book of World Records buat kali pertama sebagai individu yang memiliki kuku paling panjang di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang berusia 45 tahun memiliki kuku sepanjang 609.6 sentimeter (sm) di kedua-dua tangannya.
Walton yang merupakan ibu enam anak dan nenek kepada tiga cucu menyatakan dia mula menyimpan kuku tersebut 18 tahun lalu.
"Saya pasti pada satu hari nanti, saya akan memotongnya tetapi saya tidak terfikir mengenainya (untuk memotong kuku) kerana saya mahu memilikinya," kata wanita tersebut.
Walton menjalani rawatan kuku sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Dia memiliki kuku paling panjang di dunia selepas pemegang rekod itu sebelum ini, Lee Redmond yang juga seorang nenek kehilangan kukunya dalam kemalangan jalan raya pada 2009.
Redmond memiliki kuku lebih 853.44sm.

Tuesday 13 September 2011

Yuan dijangka ganti dolar AS sebagai mata wang dagangan utama



KUALA LUMPUR: Seorang ahli akademik meramal mata wang yuan China akan menggantikan dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai mata wang dagangan utama dalam masa 10 hingga 15 tahun depan.

Dekan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Eropah China, Dr John Quelch, berkata kemunculan China sebagai satu daripada ekonomi utama dunia semasa kelembapan di ekonomi barat akan mengukuhkan peranan mata wang negara itu sebagai dagangan perantara dagangan utama di masa depan.

Quelch berkata demikian pada sesi bertajuk "Membentuk Halatuju Global" pada Persidangan ke-11 CEO Global Forbes di sini, hari ini.
Beliau adalah seorang daripada ahli panel pada sesi berkenaan.

Sementara itu, dekan dan Presiden Universiti Globis, Yoshito Hori menjangka AS akan pulih daripada keadaan semasa dalam masa lima tahun tetapi berbanding dengan zon Euro yang mungkin mengambil masa 10 tahun untuk keluar daripada situasi krisis sekarang ini.

Dengan memberi alasan faktor demografi, beliau berkata, keadaan di Eropah serupa dengan di Jepun di mana mereka berdepan dengan penduduk yang berumur dengan kurang kuasa membeli.

Berbanding dengan Eropah, AS mempunyai kelebihan daripada penghijrahan orang dari luar negara ke negara itu, membantu mengekalkan jumlah penduduk muda dengan itu mengekalkan tahap kuasa membeli

Monday 12 September 2011

Buaya gergasi baham antelop



TAMAN NEGARA MAASAI MARA, Kenya - Seekor buaya gergasi sepanjang 6.4 meter membaham seekor antelop seberat 136 kilogram di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Aksi buaya itu membaham haiwan tersebut sempat dirakamkan oleh jurugambar terkenal, Paolo Torchio dari Itali di sebatang sungai di sini.
Menurut Torchio, kejadian tersebut menyebabkan seseorang itu berfikir bahawa betapa kecilnya diri kita dalam dunia haiwan.
Sungai itu dipenuhi dengan bangkai haiwan yang mati semasa ia cuba untuk berhijrah dari Tanzania ke Kenya.
Dua minggu lalu, sekumpulan penduduk di bandar Bunawan, Filipina berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 6.1 meter hidup-hidup.
Buaya itu kini ditempatkan di sebuah kurungan dan ia dipercayai buaya paling besar pernah ditangkap hidup-hidup di dunia.

Gas Malaysia bakal bayar dividen besar



PEMEGANG saham Gas Malaysia Bhd bakal menikmati pulangan lumayan kerana pengedar dan peruncit gas asli terbesar Malaysia itu bakal mengagihkan 100 peratus keuntungan bersihnya sebagai dividen pada tahun pertama penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadualkan Disember ini.

Syarikat induknya, MMC Corp Bhd, turut memberi jaminan bahawa pada tahun kedua pula, dividen yang bakal diagihkan GAS Malaysia kepada pemegang sahamnya ialah 75 peratus daripada keuntungan bersihnya.

Pengarah Urusan MMC Corp, Datuk Hasni Harun, berkata penetapan kadar dividen dalam tempoh dua tahun itu bertujuan memberi ganjaran terhadap kesetiaan pemegang saham syarikat ituPenetapan kadar dividen untuk tempoh dua tahun pertama itu adalah bagi memberikan ganjaran pemegang saham yang setia selama bertahun-tahun dengan Gas Malaysia.
Insya-Allah, ia akan diteruskan selepas tahun berikutnya (bergantung kepada prestasi syarikat), katanya kepada Berita Harian dan Business Times dalam temu bual bersempena dengan 100 tahun penubuhan MMC Corp di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MMC Corp Bhd, syarikat yang dikuasai usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pada 16 Ogos lalu, mengumumkan penyenaraian Gas Malaysia itu bakal membabitkan tawaran awal permulaan (IPO) 333.84 juta saham atau 26 peratus daripada modal saham berbayar dan terbitannya.

Daripada 333.84 juta saham itu, 303.498 juta akan diperuntukkan untuk langganan pelabur institusi, dengan 147.678 juta untuk institusi terpilih Bumiputera dan pelabur terpilih yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); dan 155.820 juta untuk pelabur institusi terpilih tempatan.
Sebanyak 30.342 juta saham pula akan ditawarkan kepada pelabur runcit, dengan 12.84 juta adalah untuk langganan awam Bumiputera, manakala 12.84 juta lagi untuk bukan Bumiputera.

Baki 4.662 juta lagi dikhususkan untuk langganan kakitangan dan pengarah syarikat itu yang layak.

Berikutan Gas Malaysia tidak akan menerbitkan saham baru bagi IPO itu, MMC dan rakan kongsinya dalam syarikat itu akan menawarkan saham dalam beberapa bahagian bersandarkan kepada jumlah kepentingan masing-masing.

Ketika ini, MMC menguasai 41.8 peratus kepentingan dalam Gas Malaysia dengan bakinya dipegang Petronas Gas Bhd (20 peratus), Tokyo Gas-Mitsui & Co (25 peratus) dan selebihnya oleh Shapadu Holdings.

Mengenai kemajuan penyenaraian Gas Malaysia, Hasni berkata, kumpulan itu sudah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Sekuriti bagi cadangan IPO itu, dan ia sedang menunggu kelulusan.

Gas Malaysia kini berada dalam landasan untuk disenaraikan dan jika tiada masalah, ia akan dilakukan Disember ini.

Penyenaraiannya adalah sebagai sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan lagi nilai, selain membantu mengurangkan paras hutang kumpulan.

Bersandarkan kepada kedudukan kewangan yang kukuh serta dengan kadar hutang sifar, selain prospek peningkatan penggunaan komoditi itu di kalangan pelbagai peringkat pengguna, khususnya pelanggan industri, MMC yakin IPO Gas Malaysia kelak akan mendapat sambutan baik, katanya.

Difahamkan, Gas Malaysia, kini mempunyai 400 pelanggan industri baru dalam senarai menunggu untuk mengguna produknya.

Penganalisis ketika dihubungi yakin, apabila disenaraikan kelak, saham Gas Malaysia mudah menarik minat pelabur institusi tempatan dan asing bersandarkan prospek kestabilan perniagaan syarikat itu, selain turut memiliki aliran tunai positif dan margin kukuh sentiasa terpelihara.

"Boleh disifatkan permintaan terhadap gas tidak terjejas walaupun dalam persekitaran ekonomi tidak menentu atau kemelesetan," katanya.

Komputer mega ramal konflik



ILLINOIS: Satu kajian di Amerika Syarikat mendapati komputer mega atau super computer, mampu membantu meramal kejadian besar dunia, jika ia terus menerus dibekalkan dengan maklumat baru.

Ketika analisis dijalankan berasingan, saintis berkata, proses sama boleh digunakan untuk meramal konflik akan datang. Sistem berkenaan turut memperoleh petanda awal mengenai lokasi bekas pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.

Kajian itu dibentangkan Kalev Leetaru dari Institut Sains Sosial dan Seni Universiti Illinois dalam jurnal First Monday.
Maklumat kajian diperoleh daripada pelbagai sumber, termasuk Pusat Sumber Terbuka yang dikendalikan Kerajaan Amerika dan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), yang mengawasi kandungan media tempatan di seluruh dunia.

Komputer mega merujuk kepada sistem komputer yang melakukan tugas berat dan pengiraan tepat termasuk ramalan cuaca, penyelidikan iklim, pembinaan model molekular dan simulasi pengaktifan senjata nuklear.

Rangkaian media yang menerbitkan versi online turut dianalisis. Secara keseluruhan, Leetaru menghimpun lebih 100 juta artikel.

Laporan dianalisis untuk dua jenis maklumat utama, iaitu keadaan sama ada artikel memaparkan berita baik atau buruk dan lokasi, iaitu di mana kejadian berlaku dan lokasi pihak lain yang terbabit dalam berita itu.
Pengesanan keadaan ditetapkan untuk mencari perkataan dahsyat, ngeri atau baik sementara lokasi menyebut tempat tertentu, seperti Kaherah dan memasukkan ia ke dalam koordinat bagi diletakkan dalam peta.

Data dimasukkan ke dalam kepada komputer mega SGI Altix, dikenali sebagai Nautilus, beribu pejabat di Universiti Tennessee. Berdasarkan pertanyaan tertentu, Nautilus menghasilkan graf untuk negara berbeza yang berdepan masalah pemberontakan Arab.

Dalam setiap kes, hasil beribu-ribu berita baru menunjukkan petanda dalam sentimen sebelum kejadian, di dalam negara dan seperti dilaporkan dari luar.

Petunjuk sebelum ini berkebetulan dengan pengeboman oleh Amerika ke atas tentera Iraq di Kuwait pada 1991 dan pencerobohan Amerika di Iraq pada 2003.
Leetaru berkata, sistem itu kelihatan menghasilkan perisikan lebih baik berbanding apa yang dilakukan Kerajaan Amerika ketika itu.

Hakikat bahawa Presiden Amerika menyokong Mubarak menunjukkan dengan kuat analisis paling tinggi pun cenderung memberi petunjuk Mubarak akan kekal. Ia memang berkemungkinan kerana anda mempunyai pakar bidang itu yang mengkaji Mesir selama 30 tahun dan dalam masa 30 tahun tiada apa berlaku kepada Mubarak, katanya. Agensi

Thursday 8 September 2011

Lapangan terbang angkasa lepas hampir siap



LAS CRUCES, Amerika Syarikat – Fasa pertama sebuah lapangan terbang angkasa lepas komersial yang pertama di dunia untuk syarikat penerbangan Virgin kini 90 peratus lengkap, lapor sebuah akhbar semalam.
Tapak lapangan kapal angkasa Amerika seluas 728.43 hektar itu di Las Cruces, New Mexico, merupakan milik pemilik syarikat penerbangan Virgin, Richard Branson yang turut memiliki syarikat penerbangan angkasa lepas Virgin Galactic.
Lapangan tersebut mempunyai landasan yang menjangkau hampir 3.21 kilometer dan bangunan hangar yang bercirikan futuristik.
Kerja-kerja pembinaan bakal berakhir menjelang akhir tahun ini dan ia akan digunakan pada 2013.

47 peratus guna perisian haram



SINGAPURA – Hampir separuh daripada pengguna komputer peribadi dunia (PC) atau 47 peratus memiliki perisian menerusi cara haram dan di negara-negara membangun, angka-angka itu lebih tinggi.
Peneraju global utama untuk industri perisian, Business Software Alliance (BSA), semalam mengumumkan penemuan kajian yang dikendalikan oleh Hal Ehwal Awam Ipsos ke atas kira-kira 15,000 pengguna PC di 32 buah negara.
Kajian itu mendapati sebahagian besar pengguna komputer di dunia membangun biasanya memiliki perisian menerusi cara yang tidak sah, seperti membeli lesen tunggal untuk satu program dan kemudiannya memasangnya kepada pelbagai mesin atau memuat turun daripada rangkaian negara-ke-negara.
Daripada 32 negara yang dikaji selidik, sembilan di rantau Asia Pasifik dan antaranya ialah China, Vietnam, Malaysia, Thailand, Indonesia dan Korea Selatan didapati berada pada 10 kedudukan teratas kadar cetak rompak individu di kalangan negara yang dikaji selidik.


Malaysia sebaris negara maju utama



KEDUDUKAN daya saing Malaysia melonjak ke tempat ke-21 daripada ke-26 sebelum ini, sekali gus meletakkannya sebaris negara maju utama dalam senarai 25 negara paling berdaya saing di dunia.

Di kalangan negara di Asia Pasifik, Malaysia adalah yang keenam paling berdaya saing selepas Singapura, Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Australia, manakala di kalangan negara ASEAN pula di tempat kedua selepas Singapura.

Di tempat ke-21 itu, Malaysia mengatasi lima negara yang sebelum ini berada di kedudukan lebih baik iaitu Israel (ke-22), Luxembourg (ke-23), Korea (ke-24), New Zealand (ke-25) dan Emiriah Arab Bersatu (ke-27).
Dua puluh negara yang berada di atas Malaysia kebanyakannya adalah negara maju dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita tinggi serta berada dalam kategori pembangunan di tahap inovasi.

Sepuluh negara teratas adalah Switzerland, Singapura, Sweden, Finland, Amerika Syarikat, Jerman, Belanda, Denmark, Jepun dan United Kingdom dengan kebanyakannya telah berada pada tahap menghasilkan barangan dan perkhidmatan inovatif bertaraf global menggunakan kaedah dan teknologi terkini.

Mengikut Laporan Daya Saing Global (GCR) 2011-2012 yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Geneva, Switzerland, semalam, peningkatan kedudukan daya saing Malaysia itu adalah hasil daripada penambahbaikan menyeluruh yang dicapainya.

Kedudukan daya saing 142 negara yang dikaji WEF itu adalah berdasarkan kepada Indeks Daya Saing Global (GCI yang diukur menggunakan 12 teras utama.
Teras itu Institusi, Infrastruktur, Persekitaran Ekonomi Makro, Kesihatan dan Pendidikan Sekolah Rendah, Pendidikan Tinggi dan Latihan, Kecekapan Pasaran Barangan, Kecekapan Pasaran Buruh, Pembangunan Pasaran Kewangan, Kesediaan Teknologi, Saiz Pasaran, Kecanggihan Perniagaan serta Inovasi.

Dalam kajian terbaru WEF itu, Malaysia mencatatkan penambahbaikan dalam sembilan daripada 12 teras indeks berkenaan dengan teras yang menunjukkan peningkatan ketara termasuk Kecekapan Pasaran Buruh, Persekitaran Ekonomi Makro, Institusi, Kecekapan Pasaran Barangan serta Pendidikan Tinggi dan Latihan.

Mengulas pencapaian itu, bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Malaysia menunjukkan prestasi membanggakan apabila kedudukannya meningkat lima anak tangga berbanding tahun lalu dengan mencatatkan skor 5.08 daripada maksimum tujuh mata berbanding 4.88 tahun lalu.

Beliau berkata, skor lebih tinggi itu menggambarkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan perubahan positif dalam persepsi responden.

Wednesday 7 September 2011

KWSP sembilan terbesar



KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disenaraikan sebagai pengurus dana pencen kesembilan terbesar dunia dari segi aset pada 2010 oleh syarikat perkhidmatan profesional global yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Kajian tahunan oleh syarikat Towers Watson itu mendapati KWSP dengan jumlah aset keseluruhan bernilai AS$145.570 bilion atau RM433.79 bilion, mengatasi pengurus dana pencen Singapura, Central Provident Fund (CPF) yang menduduki tangga ke-10 dengan jumlah aset keseluruhan AS$144.844 bilion (RM431.63 bilion).
Pada 2009, KWSP menduduki tangga ke-19 dengan jumlah aset AS$109.002 bilion (RM324.82 bilion), manakala CPF di tangga ke-11 dengan aset berjumlah AS$122.497 bilion (RM365.04 bilion).

Tiga pengurus dana pencen dari Asia lain yang berada pada kedudukan 10 teratas adalah Government Pension Investment dari Jepun, di tempat pertama, diikuti National Pension dari Korea (keempat) dan Local Government Officials dari Jepun (ketujuh).

Difahamkan pengukuhan mata wang tempatan berbanding dolar AS melonjak kedudukan KWSP dalam senarai membabitkan 300 pengurus dana pencen terkemuka seluruh dunia.

Kajian juga menunjukkan jumlah aset keseluruhan 300 pengurus dana terbesar dunia meningkat 10.9 peratus kepada AS$12.5 trilion (RM37.25 trilion) pada 2010, iaitu paras tertinggi dalam sejarah. Pada masa ini, 300 pengurus dana pencen terkenal di dunia itu mewakili lebih daripada 47 peratus aset dana pencen dunia.
Ketua Pelaburan bagi rantau Asia Pasifik Towers Watson, Naomi Denning, berkata walaupun pengurus dana di seluruh dunia secara umumnya mencatatkan pertumbuhan dalam mata wang AS pada 2010, pengurus dana rantau Asia Pasifik memperoleh manfaat lebih daripada pengukuhan mata wang masing-masing berbanding dolar AS, khususnya yen dan dolar Australia.

Beliau berkata, penguasaan dana Asia Pasifik dalam kedudukan 20 terbaik kekal secara konsisten sejak 2005 dengan menguasai hampir 50 peratus aset yang diuruskan, manakala kadar pertumbuhan bagi negara seperti Malaysia, Korea dan Singapura adalah antara yang tertinggi pada tahun lalu.

“Dana pencen terbesar dunia telah mengubah campuran aset mereka dalam tempoh lima tahun lalu bagi mempertahankan aset masing-masing berikutan ketidaktentuan dalam pasaran global dengan 20 dana pencen secara purata kini mempunyai jumlah yang seimbang dalam ekuiti dan bon, iaitu 40 peratus masing-masing, manakala yang lain dalam bentuk tunai dan alternatif,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...