Tuesday 14 January 2014

Timbalan Menteri ditumbuk

RAWANG - Kira-kira 20 orang yang berada di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Bukit Beruntung dekat sini kelmarin tergamam menyaksikan P. Kamalanathan (gambar kecil) ditumbuk oleh seorang cikgu yang berang selepas mengesyaki Timbalan Menteri Pendidikan itu bersikap tidak wajar terhadap bapanya.

Kejadian pada pukul 2.30 petang itu dikatakan berlaku sebelum Kamalanathan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC mengadakan mesyuarat bersama 20 anggota Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor.

Sebelum memulakan mesyuarat, Kamalanathan, 48, yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor bersalaman dengan semua yang hadir.

"Semasa bersalaman itu datang seorang lelaki yang dikenali berusia 30 tahun untuk berjabat tangan dengan Kamalanathan tetapi lelaki itu dikatakan menggenggam kuat tangan Kamalanathan," kata sumber itu.

Kamalanathan yang merasakan ada sesuatu yang tidak kena bertanya mengenai tindakan lelaki itu sebelum cikgu itu bertanya Kamalanathan kenapa dia bersikap tidak wajar terhadap bapanya.

Serentak pertanyaan itu, lelaki yang mengajar di sebuah sekolah di Batang Kali dikatakan terus melepaskan satu tumbukan kuat ke leher Kamalanathan sebelum meninggalkan pusat khidmat itu.

Sumber itu memberitahu, siasatan polis mengesyaki suspek naik berang selepas beranggapan Kamalanathan bertindak mengusir bapanya yang juga bekas seorang guru besar yang datang berjumpa dengan mangsa semasa program pemeriksaan mata di pusat khidmat itu antara pukul 8 pagi hingga 2 petang pada hari sama.

"Semasa pertemuan itu, bapa suspek dikatakan memohon supaya menantunya (isteri suspek) yang bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Batu Pahat, Johor ditukarkan ke Hulu Selangor.

"Bagaimanapun, Kamalanathan memberitahu, dia hanya boleh memberi surat sokongan dan tidak lebih daripada itu sambil menerangkan guru Bahasa Inggeris memang sukar untuk ditukarkan," kata sumber itu lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...