Thursday 25 August 2011

CEO Apple, Steve Jobs meletak jawatan



WASHINGTON: Pengasas Apple, Steve Jobs meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif (CEO) hari ini selepas sekian lama tercetus spekulasi dia akan berundur berikutan penyakit kanser yang dihidapinya.

Dalam satu kenyataan bertulis, Apple, yang kini muncul syarikat kedua paling bernilai di pasaran dunia, mengumumkan Ketua Bahagian Jualan dan Operasi, Tim Cook akan mengambil alih jawatan CEO.

Bagaimanapun, Jobs terus kekal sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Apple.
“Kepimpinan dan visi Steve yang mengagumkan menyelamatkan Apple sehingga memastikan syarikat berada dalam kedudukan kukuh dan inovatif sebagai syarikat berasaskan teknologi terunggul di dunia," kata ahli lembaga pengarah, Art Levinson dalam satu kenyataan.

“Lembaga Pengarah juga amat yakin dengan Tim sebagai orang paling tepat untuk menjadi CEO kami selepas ini,” katanya.

Tiada sebarang sebab diberikan mengapa Job meletakkan jawatannya tetapi ia berkaitan masalah kesihatan termasuk mengambil cuti sakit yang panjang bagi melakukan pemindahan hati pada 2009.

Malah, kebelakangan ini beliau jarang kelihatan di majlis umum sehingga timbul spekulasi dia bakal meninggalkan syarikat yang dipimpinnnya sejak 1976 itu

Had laju jalan persekutuan, negeri dikurangkan



KUALA LUMPUR: Had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara dikurangkan sebanyak 10km/j dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika perjalanan "balik kampung" untuk menyambut Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata had laju bagi jalan persekutuan kini diturunkan kepada 80km/j daripada 90km/j dan jalan negeri ialah 70km/j daripada 80km/j.

Beliau berkata, pengurangan kadar had laju itu bermula dua hari lalu sehingga 6 September.
"Walaupun kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak empat peratus sepanjang tempoh Januari-Jun tahun ini, namun langkah berjaga-jaga adalah penting diutamakan sebelum dan selepas perjalanan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan 2011 sempena perayaan Aidilfitri, di sini hari ini.

Mengenai tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang melanggar had laju itu, Kong berkata pelbagai badan penguatkuasa sudah mengambil langkah berhubung perkara itu.

Katanya, kementerian akan memantau keadaan sepanjang kempen itu bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian.

Friday 19 August 2011

Populasi dunia cecah 7 bilion




PARIS: Populasi dunia akan mencecah tujuh bilion hujung tahun ini dengan peningkatan penduduk di Afrika mengatasi kadar kematian di tempat lain.
Kajian terbaru yang dilakukan Institut Kebangsaan Bagi Kajian Demografi (INED) Perancis juga meramalkan peningkatan berterusan keseluruhan populasi sehingga jumlah itu stabil antara sembilan hingga 10 bilion menjelang akhir abad ini.

Daripada enam bilion penduduk, angka yang dianggarkan pada 1999, jurang antara kadar kelahiran dunia dengan kadar kematian meningkatkan jumlah populasi kepada tujuh bilion dalam masa 12 tahun saja.

INED menjangka jumlah penduduk akan bertambah kepada lapan bilion dalam masa 14 tahun lagi sebelum jumlah itu stabil, menurut kajian yang turut menggabungkan penyelidikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan beberapa institusi lain.

Dari sudut sejarah, peningkatan populasi global meningkat sejak abad ke-19.


Menurut INED, kini hanya populasi di tujuh negara membentuk separuh daripada jumlah penduduk dunia menyebabkan peralihan demografi mereka akan memberi kesan yang besar.

China berada di tempat teratas dengan 1.33 bilion penduduk sementara India di tempat kedua dengan 1.17 bilion.

Lima negara lain, mengikut turutan, ialah Amerika Syarikat, Indonesia, Brazil, Pakistan dan Nigeria.

Penduduk Jepun pulangkan semula RM246.41 juta



TOKYO – Beberapa penduduk Jepun menyerahkan kepada pihak berkuasa wang tunai yang ditemui mereka berjumlah £50 juta (RM246.41 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Wang itu ditemui oleh beberapa penduduk selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut negara itu pada 11 Mac lalu.
Sifat jujur rakyat Jepun itu didedahkan oleh media Britain.
Sebelum ini sejumlah golongan muda didakwa di mahkamah-mahkamah di Britain ekoran kes kecurian yang berleluasa semasa beberapa bandar utama di negara itu dilanda rusuhan baru- baru ini.
Lebih 5,700 peti simpanan yang terdampar di pesisiran pantai telah diserahkan ke balai-balai polis oleh sukarelawan dan petugas penyelamat.
Di dalam peti-peti berkenaan, polis menemui sekitar £20 juta (RM98.49 juta) dalam bentuk wang tunai.
Polis juga menemui wang tunai berjumlah £600,000 (RM2.95 juta) dalam sebuah peti simpanan tersebut.
Menurut polis, hampir semua wang tunai yang ditemui di kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas akibat tsunami itu telah dipulangkan kepada pemilknya.
Ramai yang menyimpan buku akaun dan dokumen hak tanah bersama nama serta alamat mereka dalam peti simpanan tersebut

Khidmat Yes ke Pantai Timur



YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) merancang untuk menjadikan perkhidmatan jalur lebar 4G yang disediakannya, Yes sebagai saluran internet mudah alih dengan suara yang lebih pantas, mudah didapati oleh lebih ramai lagi pengguna.
Ketua Eksekutifnya, Wing K Lee, berkata syarikat itu menjangka asas pelanggannya meningkat kepada lebih 400,000 menjelang akhir tahun daripada 300,000 kini.
Ia, katanya, akan didorong oleh rancangan kumpulan itu untuk memperluaskan rangkaian perkhidmatannya ke Pantai Timur semenanjung bulan depan.

“Kami juga sedang merancang untuk memperluas rangkaian kami di Sabah dan Sarawak dan kami sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan.

“Syarikat ini bercadang menambah lebih 2,500 stesen pangkalan menjelang akhir tahun daripada 2,000 sekarang,” katanya kepada media selepas majlis memeterai perjanjian perkongsian dengan Senheng Electric (KL) Sdn Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Lee berkata, melalui perkongsian dengan Senheng itu, YTL Comms kini mempunyai lebih 600 rakan kongsi runcit di seluruh negara manakala menjelang akhir tahun, ia bercadang meningkatkan bilangan itu kepada lebih 1,000.
“Syarikat ini akan memanfaatkan sokongan runcit dan jualan Senheng yang luas di negara ini dan mempermudah produk dan perkhidmatan Yes didapati dan diakses di lebih 100 kedai Senheng dan SenQ di Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, Heng berkata, perkongsian itu akan membantu syarikat itu menepati sasarannya untuk menjual lebih banyak peti televisyen pintar tahun ini dan setakat ini, Senheng sudah menjual lebih 1,000 unit.

Thursday 18 August 2011

PlayStation 3 turun harga


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Syarikat Sony Corp. menurunkan harga konsol permainan video PlayStation 3 keluarannya sebanyak AS$50 (RM148.80) dalam usaha untuk meningkatkan permintaan terhadap mesin permainan itu.

Konsol permainan tersebut kini dijual pada harga AS$249 (RM741), turun 17 peratus berbanding AS$299 (RM890).
Kali terakhir Sony merendahkan harga PlayStation 3 ialah pada 2009 apabila ia melancarkan konsol permainan video itu yang lebih ringan dan nipis.
Pengumuman penurunan harga di seluruh dunia itu dibuat kelmarin kurang sebulan selepas pesaing Sony, Nintendo Co. memotong harga konsol permainan video tangan, Nintendo 3DS.
Pemotongan harga itu diharapkan dapat meningkatkan jualan PlayStation 3 seperti yang berlaku pada 2009.
"Bukan lagi satu rahsia bahawa PlayStation 3 sukar menyaingi konsol permainan video Xbox 360 di rantau Amerika Utara walaupun jualannya lebih baik di Eropah," kata seorang penganalisis, Jesse Divnich.

Rusia mahu bina hotel angkasa lepas





MOSCOW 17 Ogos – Rusia kini mengorak langkah lebih jauh untuk menakluk Bima Sakti dan mendirikan hotel di angkasa lepas.
Sebuah syarikat Rusia, Orbital Technologies, mendedahkan perkara itu di Moscow minggu ini tentang rancangan untuk membawa pelancong kaya ke tempat yang mereka tidak pernah pergi sebelum ini.
Harga penginapan selama lima hari di hotel angkasa lepas itu dijangka antara 100,000 pound (RM489,618) dan 250,000 pound (RM1.2 juta), tidak termasuk kos pengangkutan yang dianggarkan 477,393 pound (RM2.3 juta).
Ketua Eksekutif Orbital Technologies, Sergei Kostenko berkata, hotel itu yang akan dikenali sebagai Stesen Angkasa Lepas Komersial (CSS) akan dibuka pada 2016 dan jauh lebih selesa berbanding Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Menurutnya, CSS yang mempunyai keluasan 215 meter persegi dengan empat kabin boleh menempatkan tujuh orang.
“CSS akan dibina 1,136 kilometer dari atas bumi dan pengunjung juga boleh melihat keajaiban angkasa lepas dan bumi melalui cermin besar yang disediakan.
“Akses untuk ke hotel itu akan menggunakan roket Soyuz Rusia,” ujarnya.
Kostenko berkata, pembinaan hotel itu disasarkan kepada individu kaya dan mereka yang bekerja dengan syarikat swasta yang mahu membuat penyelidikan di angkasa lepas

Wednesday 17 August 2011

DiGi lancar kad pembayaran prabayar




DIGI Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) mengumumkan pelancaran kad pembayaran prabayar jenama syarikat telekomunikasi pertama Malaysia menerusi usaha sama dengan Alliance Bank Malaysia dan MasterCard International.
Pengenalan DiGi Simple MasterCard memudahkan pembelian seperti kad kredit dengan proses langganan mudah tanpa yuran bersabit kad kredit atau kriteria pendapatan.

Ketua Perkhidmatan Kewangan DiGi, Galvin Yeo berkata, penawaran baru itu akan membolehkan pengguna yang sebelum ini tidak berjaya memperoleh kad kredit atau kad debit, membuat transaksi tanpa tunai dan kemudahan tambahan untuk membuat pengeluaran wang tunai.

“Kami sudah menggabungkan prinsip pembelian menggunakan kad kredit dan prinsip pembayaran perkhidmatan prabayar mudah alih bagi memudahkan pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Eksklusif untuk pelanggan prabayar, pasca bayar dan pelanggan perusahaan yang berusia lebih 18 tahun dan memiliki pengenalan diri yang sah dan alamat surat tempatan, kad itu boleh digunakan dengan menambah nilai pada jumlah yang tidak melebihi RM10,000 menerusi mesin deposit, mesin juruwang automatik (ATM) atau pemindahan dana secara dalam talian.


DiGi berkata, pemegang kad juga boleh membuat belian di mana-mana premis pedagang MasterCard tempatan dan antarabangsa.

Tuesday 16 August 2011

Tidur selama sebulan dibuai mimpi




LONDON: Seorang pelajar semalam menceritakan bagaimana dia terlepas menyambut hari jadinya dan peperiksaan universiti kerana tidur.
Lily Clarke, 21, menghidap sindrom Kleine-Levin yang menyebabkan dia boleh tertidur kira-kira sebulan dalam satu-satu masa.

Dia hanya jaga kira-kira sejam sehari untuk makan dan minum sebelum tidur semula.

Sepanjang tiga tahun lalu dia mendapat rawatan daripada tujuh pakar perubatyan dan menjalani pelbagai pemeriksaan.

Ibunya, Adele, 47, hanya menyedari penyakit yang dihidapi Lily selepas membaca satu kes serupa dalam akhbar Daily Mail pada Februari tahun lalu.


Menurut Adele, Lily mula berdepan dengan masalah itu selepas bermain luncur ais pada November 2007.

“Dia mengadu pening. Selepas bermain, kami ke restoran dan Lily tidur tanpa menyentuh makanan.

“Dia enggan meninggalkan katilnya selama sebulan dan tidak berminat untuk makan atau minum. Dia akan tidur 23 jam sehari dan tidak boleh mendengar bising atau cahaya. Dia bangkit sebelum Krismas tetapi tidak boleh mengingati apa yang berlaku pada dirinya.

Kira-kira sebulan kemudian, Lily yang sepatutnya menduduki peperiksaan, mengalami episod sama. Dia terlena selama tiga minggu lagi hingga ibu bapanya terpaksa membatalkan majlis sambutan hari jadinya.

Keadaan itu berulang beberapa kali dan meskipun berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, dia ketinggalan dalam pelajarannya dan pernah tidak menduduki peperiksaan kerana tertidur.

Genting beri ganjaran besar kepada pengarah pada 2010





KUALA LUMPUR 16 Ogos - Genting Bhd. menerajui senarai pembayaran besar sebanyak RM111.48 juta kepada lembaganya, naik 21 peratus daripada RM92.11 juta sebelumnya.
Syarikat itu juga mempunyai ganjaran tertinggi antara RM106.65 juta hingga RM106.70 juta bagi seorang pengarah tunggal, kata Malaysian Business dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak menamakan siapa pengarah tersebut.
Eksekutif atasan yang tersenarai ialah pengerusi eksekutif merangkap ketua eksekutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay.
Menurut kaji selidik tahunan “Pengarah Yang Dibayar Paling Tinggi” majalah perniagaan itu, syarikat tersenarai membayar ganjaran besar kepada pengarah mereka tahun lepas berbanding 2009 susulan keadaan persekitaran ekonomi yang bertambah baik.
Bagaimanapun, sesetengah syarikat mengurangkan ganjaran kepada lembaga pengarah mereka tahun lepas, termasuk CIMB Group Holdings Bhd.
Bank kedua terbesar itu membayar RM18.51 juta atau kurang 13 peratus kepada ahli lembaganya dan ganjaran rendah kepada pengarah urusan kumpulan merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Seri Mohd Nazir Razak.
Beliau menerima RM12 juta tahun lepas berbanding RM14.5 juta pada 2009.
IOI Corporation Bhd berada di tempat kedua dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.29 juta, kata Malaysian Business.
Sementara itu, dengan tiga syarikat — YTL Corp, YTL Power International dan YTL Cement — Tan Sri Yeoh Tiong Lay menerima gabungan ganjaran sebanyak RM13.10 juta.
Apa yang menarik, daripada 630 syarikat, 95 syarikat dengan kerugian besar masih memberi ganjaran kepada pengarah mereka dengan pembayaran yang tinggi.
Kaji selidik itu menyenaraikan sejumlah 630 syarikat dengan ganjaran sebanyak RM300,000 ke atas seperti yang dinyatakan dalam laporan tahunan syarikat.
Daripada jumlah ini, hanya sebilangan kecil syarikat yang telus dalam menyatakan ganjaran sebenar kepada eksekutif-eksekutif utama mereka

Tumpahan minyak Laut Utara terbesar dekad ini



LONDON: Kejadian tumpahan minyak pelantar minyak di Laut Utara adalah tumpahan minyak terbesar dekad ini di perairan British dengan syarikat pengendali, Shell sedang bertungkus-lumus untuk menghentikan kebocoran itu sepenuhnya.

Kira-kira 216 tan metrik (1,300 tong) minyak bocor dari pelantar carigali Gannet Alpha, 180 kilometer di timur Aberdeen di perairan Scotland, Rabu lalu.

Anggaran itu lebih besar daripada jumlah kebocoran minyak dalam sebarang tahun sejak 10 tahun lalu membabitkan perairan British, demikian angka yang dikeluarkan Jabatan Tenaga dan Perubahan Iklim (DECC).
Telaga minyak di perairan berkenaan ditutup sebaik kebocoran dikesan Rabu lalu dan kerja menutup saluran bocor sedang dilakukan.

Setiap hari tumpahan minyak yang bocor adalah kurang satu tan, manakala keluasan laut terjejas ialah 0.5 kilometer namun keluasan tompokan minyak semakin besar berikutan angin kencang dan ombak besar.

Monday 15 August 2011

Petronas dijangka bantu tingkat bekalan kuasa di Pantai Timur Sabah




LAHAD DATU: Selepas beberapa dekad mengalami banyak gangguan bekalan tenaga elektrik, akhirnya para penduduk di pantai timur Sabah dapat berharap masalah mereka akan diselesaikan di dalam tempoh empat tahun akan datang.
Ini berikutan komitmen syarikat pengelar minyak negara, Petronas untuk membina satu terminal pengisian semula gas gas asli cecair (LNG) dan membantu pembinaan loji kuasa berkapasiti 300MW di Lahad Datu.
Terminal Minyak dan Gas Sabah dan loji kuasa itu dijangka menelan kos RM2.2 bilion dan dijadualkan siap pada 2015.
Dengan siapnya projek itu, rakyat Sabah di kawasan pantai timur dijangka menikmati bekalan elektrik yang lebik baik dan pada waktu yang sama, memenuhi permintaan mendapatkan kuasa berikutan peningkatan aktiviti ekonomi di Sabah.
“Sejak beberapa dekad yang lepas, kami telah mengalami kehidupan yang sangat mencabar berikutan gangguan kuasa yang berulang kali. Saya tidak pernah terfikir kawasan itu, terutama sekali Lahad Datu akan menerima bekalan elektrik yang lebih baik.”
“Kami telah menunggu sejak berdekad yang lalu. Terima kasih kepada Petronas dan kepada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata Pengerusi Kelab Darvel Lahad Datu Ahmad Syawal kepada Bernama.
Katanya cadangan pembinaan terminal gas dan loji kuasa itu pastinya akan menjana limpahan ekonomi yang langsung dan tidak langsung yang signifikan, yang termasuk membuka peluang pekerjaan dan potensi bagi langkah mewujudkan perniagaan baharu.
“Ia tidak sahaja akan memanfaatkan rakyat di Lahad Datu, malah juga di daerah lain di pantai timur Sabah seperti Tawau, Semporna, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
“Lebih banyak peluang pekerjaan akan wujud bagi rakyat di sini sebaik sahaja pembinaan terminal itu bermula…sehingga projek ini siap beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Dalam hubungan ini, Ahmad berharap Petronas akan mempercepatkan pelaksanaan terminal gas itu – yang direka bentuk untuk menjadi penyedia bahan mentah loji kuasa di kawasan itu.
Dengan adanya bekalan tetap elektrik, katanya ia akan membantu merangsang projek Kluster Perindustrian Minyak Sawit (Sawit POIC) kerajaan di Lahad Datu, khususnya kilang biomas.
“Saya percaya, dengan adanya kemudahan infrastruktur yang baik seperti air dan elektrik, lebih ramai pelabur akan melabur di dalamPOIC, sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan,” katanya, sambil menyeru mereka tidak membazirkan peluang keemasan itu.
Sementara itu, Aslinda Kamba, 26, dari Taman Perdana Lahad Datu menyifatkan cadangan Petronas untuk membina terminal gas itu sebagai kena pada masanya dan perlu disokong oleh semua pihak.
Pada masa ini, katanya penduduk tempatan bergantung kepada banyak peluang pekerjaan yang terdapat di dalam perladangan kelapa sawit.
“Saya berharap, dengan tersedianya terminal gas itu, ia akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan di dalam industri minyak dan gas. Kita sememangnya menyambut baik penglibatan Petronas meningkatkan bekalan kuasa di sini dan sebagai satu syarikat minyak negara yang unggul, kita berkeyakinan Petronas akan melaksanakannya,” katanya.
Aslinda berkata projek itu juga akan berupaya menjana minat mengenai minyak dan gas di kalangan jenerasi muda, terutama sekali di pantai timur, yang sekaligus menggalakkan mereka untuk mempelajari lebih banyak mengenai minyak dan gas semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah kelak.

Saturday 13 August 2011

SESB rugi RM1 juta komponen pencawang dicuri





TUARAN 12 Ogos - Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) menganggarkan mengalami kerugian lebih sejuta ringgit akibat kecurian perkakas penyambungan elektrik di pencawang elektrik milik SESB seluruh negeri.
Pengurus Besar (Perkhidmatan Korporat) SESB, Wan Maria Othman Lee berkata, kes berkenaan direkodkan sejak Januari lalu di beberapa daerah seperti Tuaran, Sepanggar, Tawau dan Kota Kinabalu.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah mengakibatkan bekalan elektrik terputus selama berjam-jam dan menjejaskan aktiviti seharian penduduk di kawasan terbabit.
"Setakat ini, kita merekodkan tiga kejadian kecurian dengan anggaran kerugian berjumlah RM550,000. Kejadian pertama berlaku pada 19 Julai yang lalu di Tuaran dan Sepanggar.
"Berikutan itu, penduduk di situ bergelap hampir sejam selepas beberapa individu yang tidak dikenali membakar kabel bawah tanah 66 kilovolt (kV) milik SESB di Kampung Melawa, Sepanggar.
"Kali ini, kawasan Tuaran pula menjadi sasaran kegiatan tidak bertanggungjawab ini selepas kawasan Kota Kinabalu dan Tawau," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Wan Maria berkata, dalam kejadian pukul 2.57 petang pada 6 Ogos lalu, beberapa individu yang tidak dikenali telah mencuri hampir keseluruhan komponen penyambungan SESB di pencawang elektrik SESB Pantai Dalit, Tuaran.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan bekalan elektrik terputus, sekali gus menjejaskan lebih 1,200 pengguna di Kampung Raganan, Jalan Mengkabong, Laya-Laya dan Terayung.
Beliau memberitahu, SESB menganggarkan kerugian sebanyak RM110,000 akibat kerosakan pada pencawang berkenaan.
Katanya, individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 379 dan 380, Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara tujuh hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Hong Leong kena jual satu lesen bank



HONG Leong Bank Bhd yang mengambil alih aset dan liabiliti EON Capital Bhd (EONCap) membabitkan urus niaga bernilai RM5.06 bilion Mei lalu, kini mempunyai pilihan sama ada menjual lesen bank pelaburan milik MIMB Investment Bank Bhd, anak syarikat EONCap kepada Hong Leong Investment Bank atau pihak lain.
Penjualan itu perlu bagi memenuhi syarat perbankan di negara ini yang hanya membenarkan setiap institusi perbankan mempunyai satu lesen bank pelaburan. Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Yvonne Chia, berkata pihaknya kini mempunyai dua lesen bank pelaburan berikutan pengambilalihan EONCap itu.
“Ketika ini kami mempunyai pilihan menjualkannya kepada Hong Leong Investment. Pada masa sama kami juga mempunyai beberapa pihak yang berminat untuk membelinya. Bagaimanapun saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai hal ini,” katanya selepas majlis pelancaran penukaran cawangan EON Bank kepada Hong Leong Bank di Kuala Lumpur, semalam.

Penukaran cawangan itu menandakan selesainya proses integrasi 145 cawangan EON Bank kepada Hong Leong Bank, sekali gus menjadikan Hong Leong Bank sebagai bank kedua terbesar dari segi rangkaian di negara ini dengan mempunyai 329 cawangan dan lebih 1,400 terminal layan diri.

Pengambilalihan EONCap oleh Hong Leong menyaksikan MIMB Investment Bank. EON Bank Bhd dan EONCAP Islamic Bank Bhd menjadi sebahagian daripada Hong Leong Group, sekali gus meningkatkan kedudukan Hong Leong Bank sebagai kumpulan perbankan keempat terbesar di Malaysia dengan jumlah asetnya yang mencecah RM140 bilion.
Mengenai integrasi perniagaan perbankan Islamnya, Chia berkata, pihaknya bakal mengumumkan proses integrasi antara Hong Leong Islamic Bank dan EONCAP Islamic Bank dalam tempoh terdekat.

“Proses integrasi perniagaan bagi perbankan Islam itu tidak boleh dilakukan sama seperti yang dilaksanakan untuk bank konvensional kerana kedua-dua entiti itu mempunyai undang-undang dan lembaga pengarahnya yang berasingan,” jelasnya.

Sementara itu, Chia berkata, pihaknya mengambil masa tidak sampai 100 hari untuk menyelesaikan proses integrasi semua cawangan EON Bank kepada Hong Leong Bank.

Bersempena pencapaian itu, bank itu melancarkan kempen empat bulan bertemakan ‘Lebih Baik Bersama 329 Cawangan’ dengan menawarkan pelanggannya dari setiap cawangan peluang memenangi hadiah utama deposit akaun simpanan dengan kadar faedah 329 peratus setahun.

Kempen yang akan berakhir pada 30 November ini itu turut menawarkan hadiah lain termasuk 329 unit set televisyen paparan kristal cecair dan 32,900 baucar wayang bagi para pelanggan kad kredit.

Thursday 11 August 2011

PM tetapkan suhu pendingin hawa di bangunan kerajaan





PUTRAJAYA 11 Ogos – Semua bangunan kerajaan akan diarahkan untuk menetapkan suhu pendingin hawa dalam bangunan masing-masing tidak kurang daripada 24 darjah celsius sebagai langkah penjimatan tenaga, kata Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
Beliau berkata, langkah kecekapan penggunaan tenaga itu akan berkuat kuasa selepas surat pekeliling mengenai perkara itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
"Perdana Menteri mengarahkan sebagai satu langkah yang bijak kecekapan penggunaan tenaga, semua bangunan kerajaan diminta menetapkan suhu (pendingin hawa) bangunan tidak kurang daripada 24 darjah celsius.
"Kecuali bagi tempat-tempat khas seperti hospital yang memang memerlukan paras suhu yang rendah,” katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas di sini hari ini.
Terdahulu, kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat Majlis Teknologi Hijau Negara dan Perubahan Cuaca, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini.
Mengulas lanjut, Chin berkata, suhu yang ditetapkan itu adalah sesuai untuk persekitaran tempat kerja dan ia juga boleh menjimatkan keseluruhan bil elektrik sesebuah bangunan kerajaan itu.

Tuesday 9 August 2011

Harga minyak jatuh kepada RM253.38 setong



SINGAPURA - Harga minyak mentah jatuh dengan berada di bawah paras AS$84 setong (RM253.38) di Asia semalam selepas agensi kewangan Standard & Poor menurunkan penarafan hutang Amerika Syarikat (AS) daripada tahap cemerlang AAA kepada AA+.
Penurunan penarafan hutang itu menjejaskan pertumbuhan ekonomi global termasuk permintaan untuk minyak mentah.
Perkembangan tersebut menyebabkan harga minyak global merudum. Para pelabur kini bimbang keputusan Standard & Poor menurunkan nilai kredit AS itu akan turut melemahkan keyakinan pengguna.
Harga minyak mentah terus menurun daripada AS$100 (RM301) setong pada bulan lalu dan hampir AS$115 (RM346) pada Mei lepas.
"Sentimen lemah pelabur menyebabkan harga minyak menjunam diikuti kebimbangan hutang negara yang meningkat di AS dan Eropah," kata firma Barclays Capital dalam laporannya. 

Monday 8 August 2011

Penggodam bertindakbalas




LAS VEGAS 7 Ogos - Satu kumpulan penggodam semalam mendakwa menggodam dan memusnahkan sejumlah laman web milik agensi polis di Amerika Syarikat (AS) ekoran penahanan rakan-rakan mereka yang dituduh menggodam Agensi Perisikan Pusat (CIA), agensi jenayah Britain SOCA dan Sony,
Kumpulan dikenali AntiSec (bermaksuk antikeselamatan) berkata, ia akan mendedahkan maklumat yang dicuri dari lebih 70 agensi polis tempatan dalam serangan siber.
''Kami bakal menyiarkan maklumat rahsia yang akan memalukan dan menunjukkan kesalahan pegawai polis di seluruh AS.
''Kami lakukan ini bersama defendan Topiary dan Anonymous Paypal LOIC dan juga tahanan politik lain yang menghadapi tuduhan dalam sistem perundangan yang berat sebelah,'' kata kumpulan itu dalam mesej yang disiarkan secara talian.
Ia berkata, pihaknya akan mendedahkan data sebanyak 10 gigabite termasuk pertukaran e-mel peribadi, kata laluan, nombor kad kredit, alamat pegawai dan maklumat pemberi maklumat.
''Anda mungkin menangkap sejumlah kecil daripada kami, tetapi jumlah kami ramai dan anda tidak dapat menghalang kami memusnahkan sistem perundangan dan membocorkan data kamu,'' kata AntiSec.
Antisec berkata, mereka tidak peduli dengan keselamatan pegawai polis atau pemberi maklumat apabila maklumat peribadi itu didedahkan.
Pada awal minggu ini, seorang remaja Britain berumur 18 tahun, Jack Davis dipercayai seorang penggodam dengan nama Topiary, dibebaskan dengan jaminan oleh sebuah mahkamah di London.
Davis yang dipercayai menjadi jurucakap kepada kumpulan penggodam Lulz Security (LulzSec) dan Anonymous, didakwa menggodam pelbagai laman web termasuk SOCA.
LulzSec dan Anonymous mengaku bertanggungjawab melakukan serangan siber terhadap agensi kerajaan dan perniagaan antarabangsa termasuk CIA, Dewan Senat AS dan Sony, selama 50 hari pada awal tahun ini

Buka puasa, imsak berbeza di Burj Khalifa



DUBAI: Umat Islam yang menghuni di tingkat 80 dan tingkat lain yang lebih tinggi Burj Khalifa di Dubai dinasihatkan melewatkan waktu berbuka puasa mereka sepanjang Ramadan ini selama dua hingga tiga minit berikutan waktu terbenam matahari yang berbeza, kata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Dubai.

Waktu imsak mereka juga adalah dua minit lebih awal berbanding mereka yang tinggal di tingkat lebih rendah, kata jabatan yang sama dalam satu fatwa yang dikeluarkan.

“Penghuni di Burj Khalifa mempunyai waktu berbuka puasa, imsak dan solat Subuh yang berbeza bergantung kepada tingkat berapa mereka tinggal,” kata ketua bahagian fatwa jabatan itu, Ahmad Abdul Aziz Al Haddad.
Beliau berkata, penduduk Islam yang tinggal di tingkat 80 hingga 150 menara tertinggi di dunia itu, perlu menangguhkan waktu berbuka puasa mereka selama dua minit manakala mereka yang berada di tingkat 151 hingga 160 perlu berbuka kira-kira tiga minit lebih lewat.

“Penghuni di tingkat 80 hingga 150 perlu menunaikan solat Asar dan isyak dua minit lewat manakala solat subuh dua minit lebih awal.

“Mereka yang menghuni tingkat 150 ke atas perlu melambatkan solat Asar dan Isyak mereka tiga minit tetapi mempercepatkan waktu solat subuh tiga minit lebih awal berbanding waktu yang ditetapkan penduduk di tingkat lebih bawah,” katanya.

Al Haddad berkata, perbezaan waktu ini bagi bangunan setinggi 160 tingkat itu adalah kerana waktu matahari terbenam bagi penduduk di tingkat atas tetapi penduduk terbabit adalah mula-mula dapat melihat matahari terbit pada awal pagi.”

Bonus setengah bulan untuk penjawat awam, RM500 untuk pesara



KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajian penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga satu penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam," katanya.

Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas itu akan membabitkan 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion

Saturday 6 August 2011

Kediaman termahal di dunia



SUNGGUHPUN terdapat jutaan rakyat di India yang menderita akibat dihimpit kemiskinan teruk, kehebatan negara itu mampu melahirkan ramai jutawan dalam pelbagai bidang menjadi perhatian dunia.
Salah seorang jutawan tersebut adalah pemilik syarikat konglomerat Reliance Industries, Mukesh Ambani, 54, yang menggemparkan dunia apabila membina kediaman setinggi 27 tingkat dan termahal di dunia.
Rumah idaman Ambani setinggi 173.73 meter dan seluas 3,437 meter persegi itu dikenali sebagai Antilia. Menelan belanja kira-kira AS$1 bilion (RM3.2 bilion), ia yang dianggap Taj Mahal kurun ke-21, dilengkapi pelbagai kemudahan ultra mewah seperti spa kesihatan, gimnasium, panggung wayang berkapasiti 50 tempat duduk dan kolam renang.
Lebih menarik, menara yang terletak di Altamount Road, iaitu kawasan kelas atasan selatan Mumbai, dilaporkan mempunyai enam tingkat tempat letak kereta, kolam renang, dewan tarian, tiga tempat pendaratan helikopter, sembilan lif dan empat taman tergantung.
Ambani dikatakan telah menggaji 600 orang kakitangan untuk bekerja di rumah mewah tersebut yang hanya dihuni oleh ahli keluarganya.
Reka bentuk rumah mewah berkenaan adalah ilham sebuah firma terkenal dari Chicago, Amerika Syarikat (AS), Perkins & Will manakala kontraktor pembinaan utamanya adalah syarikat Leighton Holdings yang berpangkalan di Melbourne, Australia. Menara seumpama tindanan bongkah-bongkah berbeza saiz itu mengambil konsep Asia kontemporari.
“Ia merupakan sejumlah wang yang amat besar dibelanjakan bagi menunjuk kekayaan,” kata Hamish Mcdonald yang merupakan pengarang Ambani & Sons: A History of the Business.
“Secara tidak langsung, ia meletakkan hartawan perniagaan ini sebagai Maharaja India yang baharu,” petiknya dalam biografi itu.
Sementara itu, Shobhaa De yang merupakan seorang sosialit, penulis pojok dan pengarang memberitahu bahawa di Mumbai, penduduknya boleh menerima apa sahaja malah melakukan sesuatu perkara dalam nisbah yang besar.
“Bagaimanapun, ia merupakan satu kediaman menakjubkan,” akuinya.
Ambani meraih kekayaan melalui syarikat konglomerat Reliance Industries yang terlibat dalam perniagaan minyak, peruncitan dan bioteknologi. Keluarganya sudah lama dikenali ramai malah dianggap keluarga paling bertuah di India.
Sementara itu, Ahli Sosiologi Universiti Jawaharlal Nehru, New Delhi, Dipankar Gupta, berkata, meskipun terdapat banyak jutawan di negara itu, namun mereka tidak mencerminkan kebaikan ekonomi negara tersebut.
“Tidak semestinya ramai orang melihat mereka sebagai hero rakyat. Begitupun, ada yang beranggapan sedemikian,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ambani sebagai orang paling kaya di India berdepan dengan satu kemungkinan penyiasatan persekutuan terhadap pembinaan rumah agam 27 tingkat miliknya.
Pemerintah negeri Maharashtra sedang mempertimbangkan sama ada penyiasat pusat perlu mengkaji dakwaan bahawa terdapat perkara yang tidak menurut peraturan mengenai jualan tanah.
Antilia yang menjadi salah sebuah daripada kediaman paling mahal di dunia itu dilaporkan media sebagai menara yang terbina dengan menindas keutamaan dan juga hak pihak lain.
Di sebalik kekecohan tersebut, majalah Forbes melaporkan bahawa Pengerusi Reliance Industries itu yang juga orang kesembilan paling kaya di dunia telah berpindah ke menara 174 meter itu tahun lalu.
Tanah rizab
Menteri Hal Ehwal Minoriti dan Wakaf Maharashtra, Mohammed Arif Naseem Khan, memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri bahawa lot tanah seluas empat hektar tersebut pada asalnya merupakan tanah rizab untuk pendidikan kanak-kanak Muslim.
Wakaf dalam hukum syarak merupakan harta atau tanah rizab untuk tujuan kebajikan atau keagamaan.
Lot berkenaan telah dijual kepada Ambani oleh pihak Amanah Rumah Anak-Anak Yatim Currimbhoy Ebrahim Khoja dengan harga AS$4.77 juta (RM14 juta) pada tahun 2002 dengan perjanjian jual belinya diluluskan Pesuruhjaya Amal Mumbai.
Begitupun, Mohammed Arif mendedahkan bahawa jual beli itu secara asasnya tidak mendapat kebenaran daripada Lembaga Wakaf Negeri Maharashtra yang menyelia penyelenggaraan dan pentadbiran tanah dan harta wakaf.
“Kerajaan negeri boleh melanjutkan perkara ini kepada Biro Penyiasatan Pusat (CBI).
“Kerajaan akan meminta pandangan Jabatan Kehakiman dan Undang-Undang mengenai isu ini. Jabatan undang-undang sebagai balasan telah merujuk isu berkenaan kepada Jabatan Perumahan pada 25 Julai,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perumahan R R Patil memberitahu sebuah akhbar tempatan: “Saya akan bercakap mengenai isu ini selepas meneliti pendapat yang dipanjangkan kepada Jabatan Kehakiman dan Undang-Undang.”
Pertikaian atas jualan tersebut merupakan satu masalah lazim yang merentasi India terutamanya di bandar-bandar besar seperti Mumbai. Di kota padat itu, tapak tanah memang sukar didapati dan menjadi rebutan oleh golongan yang berkemampuan untuk membelinya pada harga tinggi.
Senario itu telah bertiup kencang sejak tahun 2004, apabila Lembaga Wakaf meminta Ambani memberi penjelasan mengenai alasannya tidak mengembalikan lot tanah itu kepada kebajikan.
Ketua pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri, Eknath Khadse, dari Parti Bharatiya Janata (BJP), pula mendakwa lot berkenaan bernilai lima bilion rupee (RM335.6 juta).
Dalam pada itu, jurucakap Reliance Industries memberitahu, perkara berkenaan adalah antara Lembaga Wakaf dan Rumah Anak-Anak Yatim. Kekeliruan itu tidak ada kena-mengena dengan syarikat tersebut. 

Friday 5 August 2011

DiGi lancar 3G turbo di Labuan




DIGI Telecommunications Sdn Bhd melancarkan perkhidmatan 3G di Labuan, meliputi 65 peratus kawasan berpenduduk tinggi di wilayah itu, menjadikannya pusat pasaran kelima di Sabah yang menikmati manfaat rangkaian Turbo 3G DiGi.
“Langkah itu tepat pada masanya memandangkan permintaan untuk pengguna data di Sabah semakin meningkat,” kata Ketua DiGi Wilayah Sabah, Ng Chak Khin dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Ng berkata, DiGi berhasrat meningkatkan trend itu dengan meluaskan perkhidmatan 3G kepada lebih banyak pusat pasaran di negeri itu seperti Papar, Tuaran dan Keningau menjelang akhir tahun.

“Dalam pada kami menumpukan kepada usaha menghubungkan masyarakat di Sabah, kami juga melakukan inovasi supaya sampai kepada pengguna yang tidak menggunakan telefon pintar supaya mereka juga boleh meneroka dan menikmati manfaat gaya hidup Internet mudah alih.

“Sebahagiannya termasuk memperkaya pengalaman pengguna mengenai peranti semasa, menerusi aplikasi media sosial seperti DiGi, Facebook, SMS, Twitter SMS dan browser DiGi-Opera Mini,” katanya.

Thursday 4 August 2011

Gentian optik hubung 2 negara




KUALA LUMPUR 3 Ogos - Symphonet Sdn. Bhd., (Symphonet), syarikat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menjalin kerjasama dengan PT Interkoneksi Internet Indonesia (3i) untuk membangun dan membina sistem kabel fiber optik lebih 20 terabit sesaat menghubungkan selatan Malaysia dengan Indonesia.
Di bawah usahasama itu, kedua-dua syarikat terbabit akan membangun, membina, memiliki, menjalankan operasi dan mengekalkan sistem kabel dasar laut dengan sambungan kepada lokasi-lokasi dan titik hubung antarabangsa seperti Los Angeles, London, Hong Kong dan Timur Tengah.
Kabel dasar laut itu akan dibina melalui laluan antara Johor dan Jakarta dengan cawangan ke Singapura, Batam, Jambi, Pulau Bangka dan India yang akan dikenali sebagai Sistem Kabel Johor-Jakarta (JJCS), selepas nama konsortium.
Ketua Pegawai Eksekutif Symphonet, Datuk Baharum Salleh (gambar) berkata, konsortium itu sudah bersedia untuk melaksanakan projek yang dijangka mengambil masa selama setahun.
''Kami berhasrat untuk mengambil potensi pertumbuhan data, suara dan pasaran jalur lebar di Indonesia dan negara-negara jiran,'' katanya.
Katanya, JJCS akan menyediakan keperluan akses terus dan laluan berbeza-beza antara Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Laluan berbeza itu akan mengelak beberapa kawasan-kawasan gangguan gempa bumi dan syarat-syarat berbahaya untuk kabel-kabel dasar laut.
Sistem kabel itu sepanjang 1,200 kilometer dan akan menggunakan teknologi Dense Wavelength Division Multiplexing dengan kapasiti rekaan 30Tbps.
Perkhidmatan itu dijadualkan bermula pada suku keempat 2012 dan direka untuk menyokong permintaan tinggi bagi internet, data, video dan trafik suara.
''Ia adalah masa terbaik memandangkan syarikat-syarikat telekomunikasi serantau menunjukkan permintaan untuk laluan alternatif tambahan ke Indonesia, Eropah, Timur Tengah, China dan Amerika Syarikat,'' tambah Baharum.
Menurut beliau, peruntukan sambungan terus ke Johor akan memberi peningkatan kepada Iskandar sebagai hab selatan kepada Malaysia dan menyediakan keupayaan laluan Indonesia untuk keluar dari negara itu tanpa terlalu bergantung kepada laluan sedia ada.
''Kami gembira dengan kerjasama ini untuk memenuhi pertumbuhan permintaan kualiti tinggi bagi infrastruktur telekomunikasi berkelajuan tinggi di rantau ini khususnya untuk jalur lebar berkelajuan tinggi, IPVPN, VOIP, Skype, Google dan aplikasi rangkaian sosial lain, selain penggunaan tinggi peranti mudah alih yang mendapat permintaan tinggi,'' menurut Ernest Rares, Pengarah Urusan PT Interkoneksi Internet Indonesia.

Jadi kebimbangan di Asia Pasifik




KUALA LUMPUR 3 Ogos - Ketidaktentuan ekonomi di zon Eropah menyebabkan lebih satu pertiga daripada eksekutif perniagaan rantau Asia Pasifik percaya ia akan menyebabkan risiko besar kepada ekonomi global dalam tempoh enam bulan lagi.
Tinjauan dilakukan oleh Economist Intelligence Unit membabitkan lebih 330 eksekutif perniagaan termasuk setiap 100 individu dari Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik yang terlibat dalam sektor perkhidmatan kewangan dan wakil syarikat-syarikat dengan pendapatan tahunan melebihi AS$500 juta (RM1.5 bilion).
Laporan tinjauan itu mendapati, ketidakstabilan di Eropah menjadi kebimbangan utama di kalangan eksekutif berbanding faktor-faktor risiko lain.
Manakala kemelesetan ekonomi lebih ketara menjadi kebimbangan kedua oleh 18 peratus responden diikuti oleh kenaikan harga aset di China sebanyak 11 peratus.
Sejumlah lapan peratus responden pula menyatakan rasa khuatir terhadap kenaikan harga komoditi, kenaikan kadar faedah tujuh peratus dan kenaikan harga minyak enam peratus.
''Semasa kami melakukan tinjauan ini setahun lalu, ketidakstabilan di zon euro hanya diberi penarafan risiko lapan peratus,'' kata Editor Economist Intelligent Unit, Iain Scott.
Namun, pada situasi semasa masalah di Eropah kini menjadi kebimbangan global.
''Ketidakstabilan zon euro menjadi kebimbangan besar kepada para eksekutif - bukan sahaja di Eropah tetapi di rantau Asia Pasifik dan juga di Amerika Syarikat (AS),'' tambahnya.
Economist Intellingence Unit pula mengunjurkan krisis ekonomi telah mendedahkan kelemahan paling serius di zon euro.
Kebarangkalian perpisahan di kalangan zon Eropah adalah rendah tetapi sekiranya ia berlaku akan mengakibatkan ketidakstabilan dalam ekonomi global.
Bank-bank boleh goyah dan dolar AS akan melonjak, sekali gus menjejaskan pemulihan ekonomi negara kuasa besar itu. Malah memberi kesan kepada China, yang mana mata wangnya akan ditambat dengan dolar AS.
Dalam tinjauan itu, beberapa responden turut berpendapat tarikh akhir berhubung had hutang Kerajaan AS pada 2 Ogos lalu turut mewujudkan kebimbangan.
Malah, Economist Intelligence Unit mengunjurkan kejatuhan dolar AS disebabkan kebimbangan mengenai defisit fiskal yang besar, mengakibatkan kebanyakan pelabur menjauhi mata wang itu adalah sangat tipis.
Mengulas mengenai risiko terhadap perniagaan dalam tempoh enam bulan lagi, sejumlah 42 peratus responden dari Asia Pasifik mengakui risau dengan ekonomi dan risiko pasaran dan 31 peratus lagi khuatir mengenai inflasi dan kelemahan dalam permintaan produk dan perkhidmatan.
Sejumlah besar responden melihat risiko politik akan memberi kesan buruk.
Para eksekutif di Asia Pasifik lebih bimbangkan mengenai risiko inflasi berbanding responden dari Eropah dan Amerika Utara dan 16 peratus pula bimbang kekurangan tenaga mahir akan memberi kesan kepada perniagaan mereka.
Tinjauan itu membuat kesimpulan bahawa ekonomi global akan kekal perlahan disebabkan beberapa kejutan seperti harga minyak dan bencana alam yang menjejaskan Jepun.
Tetapi Economist Intelligent Unit percaya masih ada jalan keluar daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi sekali lagi.

Wednesday 3 August 2011

Kajian dapati pengguna Internet Explorer miliki IQ yang rendah



NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Satu kajian baharu mendapati para pengguna perisian Internet Explorer (IE) adalah bodoh kerana mereka memiliki purata tahap kecerdasan intelektual (IQ) cuma 80, lapor sebuah akhbar semalam.
Internet Explorer (IE) yang mula digunakan pada awal 1990-an merupakan sistem operasi komputer popular ciptaan firma Microsoft yang diterajui bilionair, Bill Gates.
Kajian tersebut dilakukan oleh firma perunding Kanada, AptiQuant yang menguji 101,326 orang berusia 16 tahun dan ke atas dari pelbagai negara termasuk AS, Kanada, Britain, Australia serta New Zealand.
Mereka diminta mengambil ujian IQ manakala sistem operasi dan lokasi komputer mereka direkodkan menerusi alamat protokol Internet (IP).
Kajian mendapati mereka yang menggunakan IE rata-ratanya hanya memiliki IQ cuma sekadar 80.
Menurut skala IQ, kepintaran manusia normal ialah 100 manakala angka 80 dan ke bawah menunjukkan seseorang itu mengalami terencat akal.
Kajian sama mendapati pengguna sistem operasi Firefox atau Google Chrome memiliki IQ melepasi tahap normal iaitu sekitar 110.
Pengguna sistem operasi Opera atau Camino dikategorikan sebagai paling bijak dengan tahap IQ sekitar 120.
Kajian tersebut merumuskan bahawa IE masih popular dalam kalangan jutaan pengguna kerana ia mudah dan seseorang itu tidak memerlukan IQ yang tinggi untuk menggunankannya.

Risda sedia perkasakan industri getah Sabah



KOTA MARUDU 2 Ogos — Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sedia memainkan peranan penting untuk membantu memperkasakan pembangunan industri getah di Sabah, terutama memajukan tanah pekebun kecil.
Pengerusi Risda Holding Sdn. Bhd. Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, Sabah memerlukan satu mekanisme yang lebih dinamik untuk memperkasakan industri getahnya dan Risda mempunyai pengalaman dan kepakaran untuk membantu mencapai matalamat itu.
"Pihak kami (Risda) telahpun membuat tinjauan ke seluruh negeri dan memperoleh maklumbalas positif daripada para pekebun kecil getah terhadap program dan rancangan pembangunan Risda.
"Ramai pekebun kecil getah di negeri ini berminat untuk mendapatkan bantuan Risda bagi membangunkan tanah-tanah mereka.
"Untuk tujuan itu, 48,000 hektar kebun getah individu di Sabah akan terlibat secara langsung melalui 14 program pembangunan yang akan dilaksanakan Risda di Sabah," katanya kepadaBernama di sini.
Program pembangunan itu termasuk pembangunan tanah dan tanam semula, iaitu bantuan menanam semula menggantikan getah tua dengan klon getah bermutu tinggi.
Selain itu, program tersebut juga meliputi usaha mempelbagaikan sumber pendapatan para pekebun kecil getah melalui industri kampung dan penempatan hasil, selain program latihan sawit pekebun kecil.
"Risda sedia menimbang permohonan daripada para pekebun kecil yang memiliki tanah berstatus CL (commercial lease) dan LA (land application, terutama sekali yang memperolehi communal grant," katanya.
Menurut Pengerusi Risda Holding itu, Sabah mempunyai kawasan tanaman getah seluas 70,000 hektar.
Terdahulu, Abdul Rahim, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Manis, merasmikan mesyuarat agung kedua Koperasi Pekebun Kecil Bumiputra Sabah Berhad (Kospeb), Kota Marudu.
Dalam ucapannya, beliau meminta kepimpinan Kospeb merancang aktiviti perniagaan yang lebih kreatif serta berdaya saing bagi mempelbagaikan sumber pendapatan koperasi serta meningkatkan taraf hidup para anggota.
"Kospeb perlu mengeksploitasi segala potensi dalam industri getah, termasuklah menceburi aktiviti penghasilan produk-produk yang mempunyai nilai tambah berasaskan hasil kayu getah seperti alat perabot dan papan nipis.
Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kospeb juga perlu memainkan peranan aktif untuk membantu mengeluarkan masyarakat luarbandar daripada belenggu kemiskinan, katanya.

Tuesday 2 August 2011

Prestasi harga emas diunjur terus melonjak



PELABURAN dalam emas diunjurkan mampu memberikan pulangan sehingga 24 peratus setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan harga logam berharga itu dijangkakan mencecah AS$2,100 seauns menjelang 2014.
Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank (Stanchart), Steve Brice, berkata permintaan bagi emas dijangkakan terus meningkat terutama dari China serta India berikutan peningkatan pendapatan boleh guna di kedua-dua negara itu.

Beliau berkata, keadaan ekonomi global yang tidak menentu berikutan masalah hutang di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang berlarutan juga menggalakkan bank pusat seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing.

“Kami yakin dengan prestasi harga emas berikutan permintaannya dijangka terus meningkat kerana pelabur melihat komoditi itu sebagai pelaburan lindung nilai,” katanya pada taklimat media mengenai jangkaan pelaburan separuh kedua di Kuala Lumpur, semalam.

Brice berkata, pihaknya menjangkakan harga emas mampu mencecah paras AS$1,650 seauns menjelang akhir tahun ini.

Keadaan persekitaran kadar faedah benar yang negatif di AS juga mendorong kepada peningkatan permintaan emas kerana kebiasaannya ia sangat tinggi ketika kadar faedah benar adalah negatif, jelasnya.
“Dalam tempoh Disember 2007 hingga kini, emas mencatatkan pulangan terkumpul sebanyak 43 peratus,” katanya.

Harga emas terus didagangkan kukuh mencecah AS$1,632.30 seauns Jumaat lalu berikutan data ekonomi yang lemah di AS.

Bagaimanapun, harganya jatuh 0.7 peratus kepada AS$1,615.19 pada sesi dagangan semalam berikutan persetujuan pemimpin kongres AS untuk menaikkan had hutang dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi mengelak potensi gagal membayar hutang.

Selain emas, Brice berkata, pelaburan pasaran ekuiti juga dijangka memberi pulangan baik dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Beliau berkata, di sebalik keadaan tidak menentu di pasaran dunia, pasaran ekuiti masih mencatatkan prestasi baik berbanding kelas aset lain.

“Pada separuh pertama tahun ini, pasaran ekuiti mampu mencatatkan aliran meningkat walaupun ada beberapa berita buruk di pasaran seperti krisis hutang di Eropah dan AS, gempa bumi di Jepun serta krisis politik di Asia Barat.

“Ini bermakna terdapat kecairan di dalam pasaran kewangan dunia ketika ini yang menggalakkan aktiviti pelaburan,” tambahnya.

Beliau berkata pasaran ekuiti di China, Korea, Taiwan dan Jepun dijangka menarik perhatian pelabur asing kerana harga sahamnya sangat murah serta menawarkan pulangan yang menarik jika dibandingkan dengan pasaran saham lain.

Monday 1 August 2011

Tidak jejas ekonomi



PUTRAJAYA 31 Julai - Malaysia masih mampu mempertahankan kedudukan ekonominya ekoran kebergantungan kepada ekonomi Asia seperti China, India dan Timur Tengah yang nyata `kebal’ dengan krisis hutang Eropah dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Pertumbuhan kukuh ekonomi China dan India serta negara-negara Timur Tengah yang merupakan rakan dagangan Malaysia menunjukkan mereka tidak terjejas dengan kesan rantaian ekonomi dari Eropah dan AS.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop optimis Malaysia masih mampu mengekalkan pertumbuhan antara lima hingga enam peratus pada tahun ini.
‘‘China diramal mencatatkan pengembangan ekonomi antara sembilan hingga 11 peratus, begitu juga India iaitu di antara lapan hingga sembilan peratus.
‘‘Pertumbuhan kukuh ini dijangka sedikit sebanyak mampu mempengaruhi ekonomi negara,’’ katanya dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Nor Mohamed dalam mengulas perkara itu percaya, masalah yang berlaku di negara-negara maju tidak akan menyebabkan dunia terjebak dalam kemelesetan ekonomi secara berganda.
Ini kerana katanya, Eropah sedang bertungkus-lumus menyelesaikan krisis hutang dan AS pula masih mampu mencatatkan pertumbuhan tetapi pada kadar yang cukup perlahan.
Menteri itu memberitahu, pertumbuhan perlahan di AS disebabkan oleh kadar pengangguran yang cukup tinggi iaitu 17 peratus.
‘‘AS kini berhadapan dengan situasi yang cukup mencabar dan masalah pengangguran menjadi ancaman kepada kuasa besar ekonomi itu,’’ ujarnya.
Mengulas masalah dan krisis yang berlaku di Eropah dan AS, beliau menyifatkan situasi kini seolah-oleh berpihak kepada benua Asia.
Sambil mengaitkan ia dengan sejarah, beliau berkata, kegemilangan ekonomi negara-negara maju sudah berakhir dan kembali kepada asal seperti yang berlaku pada kurun ke-12, 13 dan 14, yang mana menyaksikan kebangkitan rantau Asia dengan China menguasai ekonomi melalui perdagangan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...