Tuesday 18 December 2012

Lelong.my sasar urus niaga RM500j tahun depan



Interbase Resources Sdn Bhd atau Lelong.my, menyasar peningkatan urus niaga jualan menerusi laman webnya tahun depan kepada RM500 juta daripada purata tahunan antara RM200 juta hingga RM250 juta kini.

Pengarah Urusannya Richard Tan, (gambar) berkata syarikat itu yakin dapat mencapai sasaran itu menerusi kerjasama barunya dengan Telekom Malaysia Bhd (TM).




Kerjasama itu membabitkan gabungan terbarunya, Web Store Lelong.my, yang ditampilkan dalam aplikasi MarketingTools TM.


Ia disasarkan untuk penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam operasi perniagaan mereka.

“Penggunaan e-dagang berkembang dengan pesat dalam tempoh dua tahun lalu apabila kaji selidik oleh Paypal baru-baru ini menyasar nilai e-dagang sebanyak RM1.9 bilion pada 2011 meningkat kepada RM3.5 bilion pada 2015 bagi Malaysia.

Semua perniagaan

“Ia bukan lagi satu pilihan, ia adalah suatu yang perlu ada bagi semua perniagaan, sama ada kecil atau besar,” katanya kepada media selepas majlis pemeterian dengan TM di Kuala Lumpur, semalam.
Katanya, kini, Lelong.my mempunyai kira-kira 10,000 penjual aktif dan menyasar meningkatkan bilangan ini sebanyak 5,000 penjual baru dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Naib Presiden Eksekutif TM bagi PKS, Azizi A Hadi, berkata Web Store Lelong.my adalah yang ketiga ditampilkan dalam MarketingTools TM selepas Infoblast dan SME Priority Listing oleh Internet Yellow Pages.

“MarketingTools, yang dilancarkan pada Mei tahun ini, berjaya menarik lebih 2,000 pengguna PKS dan dengan kerjasama baharu ini, kami menyasar mendapatkan 5,000 PKS baru dalam aplikasi ini dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.

Web Store Lelong.my menyediakan penyelesaian e-dagang standard antarabangsa berkuasa yang membantu perniagaan meningkat ke paras seterusnya tanpa sebarang perkakasan atau pengetahuan teknikal

Thursday 6 December 2012

SKMM lulus lesen 4G


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meluluskan peruntukan jalur spektrum 2600 mega hertz (MHz) kepada lapan syarikat telekomunikasi tempatan, sekali gus menandakan bermulanya era 4G iaitu teknologi jalur lebar mudah alih berkelajuan ultra di Malaysia.

Syarikat berkenaan ialah Celcom Axiata Bhd, DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, Packet One Networks (M) Sdn Bhd, REDtone Marketing Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, YTL Communications Sdn Bhd serta sebuah peserta baru industri itu, Puncak Semangat Sdn Bhd.

Menerusi teknologi jalur lebar berkelajuan lebih 100 mega bit sesaat (Mbps) yang dijangka mula ditawarkan tahun depan itu, pengguna bakal menikmati perkhidmatan mudah alih terbaik setanding negara maju seperti aliran video definisi tinggi (HD), pengendalian aplikasi masa sebenar yang lebih baik serta sambungan pantas ke peranti mudah alih atau elektronik.


Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata permintaan terhadap perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang lebih berkualiti terus meningkat sejak teknologi 3G dan WiMAX diperkenalkan di negara ini.

Justeru, katanya, sejajar dengan inisiatif yang dilaksanakan di negara maju, kini giliran Malaysia pula memperkenalkan teknologi 4G selepas pasarannya cukup tersedia dengan peranti mudah alih teknologi itu dengan harapan mampu membawa faedah lebih besar kepada ekonomi negara.

SKMM komited mencari keseimbangan bagi memenuhi permintaan pengguna, pelabur dan pemegang kepentingan industri. Kami percaya keseimbangan itu terletak kepada persaingan sihat dan promosi pembangunan industri yang menyokong perkembangan perkhidmatan sedia ada serta menyediakan peluang kepada peserta baru.

Dengan teknologi baru itu, orang ramai akan menambah baik gaya hidup digital mereka manakala komuniti perniagaan pula akan menikmati pengalaman lebih baik menerusi perkhidmatan perkomputeran awan, tele-kerja, tele-persidangan dan aplikasi lain, katanya dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, semalam.
Mohamed Sharil berkata, penyedia perkhidmatan diharapkan dapat menggunakan peruntukan spektrum 2600 MHz itu untuk meluaskan kapasiti rangkaian jalur lebar mudah alih masing-masing bagi memenuhi permintaan pengguna selain menggalakkan inovasi baru.

Katanya, penyedia perkhidmatan juga dijangkakan menjalinkan perkongsian pintar membabitkan spektrum, rangkaian akses radio serta prasarana telekomunikasi yang mampu mengurangkan jumlah menara telekomunikasi di negara ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...