Tuesday 18 September 2012

DiGi lancar khidmat 4G tahun depan




Shah Alam: DiGi Telecommunications Sdn Bhd akan melancarkan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi mudah alih 4G menjelang tahun depan sekali gus menepati matla-matnya menjadi penyedia utama internet mudah alih di negara ini.




Pengenalan rangkaian itu juga selaras program transformasi perniagaan yang dilaksanakan syarikat sekali gus menjadikannya antara pemain terawal memperkenalkan perkhidmatan itu.


Bagaimanapun, Ketua Eksekutif, Henrik Clausen, berkata pelancaran itu bergantung kepada pemberian lesen spektrum untuk rangkaian 4G yang akan diumumkan kerajaan awal tahun depan.





DiGi sedang menaik taraf rangkaiannya kepada 4G bagi membolehkan kami melancarkan pelbagai produk menarik kepada pelanggan sejurus kami memperoleh lesen spektrum daripada kerajaan.




Buat masa ini hampir separuh daripada 5,500 pencawang 2G dan 3G kami di seluruh negara sedang di naik taraf untuk menyokong rangkaian 4G, katanya ketika ditemui BH, di sini, baru-baru ini.




Mengikut laporan sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan lesen 4G atau evolusi jangka panjang yang hanya boleh digunakan selepas 1 Januari 2013.




Spektrum tambahan

Sembilan syarikat dimaklumkan pengawal selia berkenaan yang mereka mungkin menerima 20Mhz daripada spektrum 2.6 gigahertz (Ghz) untuk perkhidmatan 4G tetapi lokasi blok akan ditentukan kelak.




Syarikat berkenaan termasuk DiGi, Celcom, Maxis, U Mobile, Asiaspace Sdn Bhd, Packet One Network (M) Sdn Bhd, REDtone International Bhd, YTL Communications Sdn Bhd dan pemain baru industri iaitu syarikat yang dikaitkan dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, tokoh korporat Bumiputera yang tersenarai sebagai antara individu paling kaya di Malaysia.




Kerajaan mahu memberikan spektrum berkenaan kepada semua peserta selular supaya mereka boleh mempunyai spektrum tambahan yang memberikan lebih kapasiti dan kelajuan untuk perkhidmatan mereka.




Lebih pantas




Rangkaian 4G yang baru itu akan membolehkan pengguna menggunakan multimedia mudah alih dengan kelajuan sehingga 10 kali lebih pantas berbanding rangkaian 3G (generasi ketiga).




Mengulas mengenai program transformasi perniagaan, Henrik berkata, program tiga tahun bermula tahun lalu dijangka mengubah fokus utama DiGi daripada penyedia telekomunikasi bagi segmen panggilan suara kepada internet.




Katanya, setakat Jun tahun ini, DiGi mempunyai 5.413 juta pelanggan internet dan pelancaran rangkaian 4G dan barisan produk berdaya saing dijangka memacu peningkatan jumlah pelanggan bagi segmen itu.




Program transformasi antara lain dapat mengukuhkan rangkaian dan pengedaran DiGi dan meningkatkan keupayaan kami dalam menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, katanya.




Untuk itu, katanya, DiGi memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM700 juta hingga RM750 juta yang kebanyakannya dilabur untuk meningkatkan keupayaan rangkaiannya.




Buat masa ini, DiGi menguasai 27.6 peratus pasaran telekomunikasi mudah alih di negara ini dengan jumlah pelanggan setakat Jun mencecah 10.229 juta orang.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...