Monday 27 February 2012

Kerja naik taraf Lebuhraya Pan Borneo diaktif semula


SIPITANG: Kerajaan Persekutuan akan mengaktifkan semula kerja menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo yang menelan belanja RM423 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata projek menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo sepanjang lebih 1,000 kilometer itu akan dimulakan pertengahan tahun ini secara berperingkat.

Katanya, lebuh raya itu membabitkan laluan Semantan, Kuching, Miri, Lawas di Sarawak yang kemudian merentasi pelbagai daerah di Sabah termasuk Sindumin, Beaufort, Kimanis, Kota Kinabalu dan Tawau.
"Jika semuanya berjalan lancar, lebuh raya ini dijangka siap pada 2015," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek jalan raya di sini hari ini.

Shaziman berkata, projek utama yang akan dilaksanakan di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo itu ialah menaik taraf Jalan Miri-Pandaruan bernilai RM100 juta manakala pakej kedua pula membabitkan Jalan Miri-Pandaruan ke Sungai Tujuh berharga RM42 juta.

Selain itu, katanya, projek berkenaan turut membabitkan kerja menaik taraf Jalan Mengkalap-Lawas ke Sindumin di Sabah bernilai RM108 juta dan Lebuhraya Sindumin ke Kota Kinabalu bernilai RM120 juta.

Tuesday 21 February 2012

Penjualan tenaga solar, biogas di Pajam kepada TNB 28 Mac



NILAI: Tenaga solar dan biogas yang dihasilkan menerusi Fasa 1 projek tenaga boleh baharu, Integrated Renewable Energy Park, di tapak pelupusan sampah Pajam dekat sini yang siap pada Disember 2011, akan mula dijual kepada Tenaga Nasinal Bhd (TNB) mulai Mac depan.

Tenaga boleh baharu menerusi fasa kedua projek itu yang dijangka siap pada 31 November depan, pula akan dijual kepada TNB pada 8 Januari 2012.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata projek fasa satu menghasilkan lima megawatt tenaga solar dan satu megawatt biogas, manakala fasa kedua pula menghasilkan lapan megawatt tenaga solar dan satu megawatt biogas.
TNB akan membuat pengagihannya tenaga berkenaan di kawasan sekitar Nilai dan Pajam, katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek Taman Tenaga Boleh Baharu itu petang semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan projek ini merupakan usaha yang baik bagi menambah pengeluaran tenaga boleh baharu seperti solar dan biogas.

Projek yang dibangunkan Cypark Resources Bhd (CRB) itu adalah projek pertama yang menjana dua jenis tenaga boleh baharu iaitu tenaga solar dan biogas di tapak pelupusan sampah Pajam seluas 32.5 hektar.

Projek itu juga akan menjadi penyumbang utama dalam mencapai hasrat untuk mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon dioksida menjelang tahun 2020.
Mohamad berkata, selain Pajam, dua lagi kawasan yang dikenal pasti untuk menjayakan projek yang sama iaitu tapak pelupusan sampah Bukit Palong, Port Dickson seluas 14.22 hektar dan Kuala Sawah, Rantau seluas 11.38 hektar.

Katanya, projek di Bukit Palong dan Kuala Sawah mampu mengeluarkan tenaga boleh baharu sebanyak lima megawatt tenaga solar dan satu megawatt biogas.

"Kerja tapak di Bukit Palong dan Kuala Sawah bermula awal bulan depan dan dijangka siap Jun depan. Apabila semua tapak pelupusan sampah di kawasan pihak berkuasa tempatan di Seremban, Nilai, Port Dickson dan Rembau ditutup, sebuah tapak pelupusan sampah baharu seluas 81.25 hektar akan dibuka di Bukit Nanas, Port Dickson (berhampiran Kualiti Alam Sdn Bhd), menerusi fasa 1 dan dibuka Julai depan.

"Tapak pelupusan sampah di Bukit Nanas yang turut diurus oleh CRB, juga akan dibangunkan untuk mengeluarkan tenaga boleh baharu," katanya.

Mohamad berkata, apabila kesemua projek ini dilaksanakan sepenuhnya, Negeri Sembilan akan menjadi pertama dan terbesar di negara ini yang mengeluarkan tenaga boleh baharu.

"Yang pentingnya di sini, kita dapat bersama-sama membantu negara mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan pada masa yang sama, kita juga dapat menjayakan dasar teknologi hijau yang telah kita lancarkan tahun lalu," katanya. -

Monday 20 February 2012

Minyak biodiesel B5 dijamin sesuai untuk bot nelayan



TANJONG KARANG: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, hari ini, memberi jaminan bahawa biodiesel B5 selamat digunakan untuk enjin bot nelayan.

"Kerajaan berjaya menyakinkan syarikat petroleum dan pengeluar enjin bagi memberikan jaminan enjin untuk penggunaan bahan api B5," katanya ketika melancarkan program B5 untuk sektor perikanan Wilayah Tengah di Jeti Bagan Pasir, di sini, hari ini.
Beliau berkata, adunan lima peratus metil ester sawit dengan 95 peratus diesel petroleum bagi menghasilkan B5, mampu meningkatkan prestasi enjin dan mengurangkan pengeluaran asap.
Pelaksanaan program B5 membuktikan keprihatinan kerajaan memperkenalkan minyak sawit sebagai bahan bakar alternatif bagi mengurangkan dan seterusnya menggantikan diesel petroleum, katanya.

Dompok berkata, pengenalan biodiesel juga adalah strategi serampang dua mata kerajaan bagi mengukuhkan atau menstabilkan harga minyak sawit yang diperoleh daripada sumber tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak lebih 50 peratus, bagi menjamin persekitaran negara yang mesra alam

Saturday 18 February 2012

Pelajar Asia lebih maju


SYDNEY: Pelajar di Barat tertinggal sehingga tiga tahun berbanding pencapaian murid di Shanghai, China, kata laporan sebuah badan pemikir bebas, semalam.
Menurut Institut Grattan, kejayaan sistem pendidikan Asia bukan sekadar hasil sikap ibu bapa yang tegas dan mendesak.

Institut itu mendapati, Asia Timur menjadi pusat kecemerlangan sekolah dengan empat daripada sistem terbaik dunia berada di rantau itu.
Empat pusat kecemerlangan utama itu ialah Hong Kong, Korea Selatan, Shanghai dan Singapura.

Pengarah Program Pendidikan Sekolah Grattan, Ben Jensen, berkata di Shanghai, purata kemampuan pelajar matematik berusia 15 tahun adalah dua atau tiga tahun lebih tinggi berbanding pelajar sama di Australia, Amerika Syarikat dan Eropah.

“Ia memberi kesan besar. “Selain kuasa ekonomi, pencapaian tinggi dalam pendidikan juga berpindah dari Barat ke Timur,” katanya.
Kajian sama mendapati, pelajar di Korea Selatan setahun lebih ke depan berbanding pelajar AS dan Kesatuan Eropah dalam kemahiran membaca, selain tujuh bulan lebih maju berbanding Australia.

Penilaian dibuat menggunakan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa ditetapkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang berpangkalan di Paris, Perancis.
Piawaian OECD menjadi penanda aras antarabangsa dalam bidang pendidikan.

Kajian mendapati, banyak negara OECD meningkatkan pembiayaan untuk sekolah sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, ia sering mengecewakan dan kejayaan tidak semestinya terhasil dengan perbelanjaan lebih banyak wang.

Sekolah Australia, misalnya, menikmati peningkatan perbelanjaan besar beberapa tahun lalu tetapi prestasi pelajar masih tercicir, manakala Korea Selatan meningkat walaupun peruntukan untuk pelajar lebih rendah berbanding purata OECD.

“Ia adalah hasil budaya yang bersungguh-sungguh, produk ajaran Confucius dan amalan ‘ibu garang’ yang mendesak anak-anak supaya berjaya dalam pembelajaran,” kata laporan itu.

Grattan berkata, Hong Kong dan Singapura menunjukkan peningkatan ketara dalam kemahiran membaca sepanjang dekad lalu, manakala ujian dijalankan tidak kondusif untuk hafalan kerana ia memerlukan pelajar menyelesaikan masalah.

Sistem terbaik, kata Grattan, memberi fokus berterusan kepada pembelajaran dan pendidikan guru berbanding perbelanjaan besar.

Friday 17 February 2012

Sabah bukan lagi negeri termiskin: Najib



LAHAD DATU: Sabah yang mengalami perubahan besar dalam lanskap pembangunan dan ekonomi sejak mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia pada 1963, bukan lagi negeri termiskin malah berpotensi untuk maju ke depan, kata Datuk Seri Najib Razak.

"Waktu itu (1963) mungkin lebih 70 peratus rakyat Sabah boleh dikatakan miskin, daif dan papa kedana. Namun selepas sekian lama, Sabah tidak lagi merupakan negeri yang miskin.
"Mengikut perangkaan, purata pendapatan per kapita negeri ini kini berada di tengah-tengah negeri terkaya dan termiskin," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Akuakultur di Kampung Nala, Tungku, 60 kilometer dari sini, hari ini.
Najib berkata, ia adalah hasil agenda pembangunan negara yang jelas dan berkesan termasuk yang terbaru iaitu Program Transformasi Negara yang bakal merubah masa depan rakyat.

"Transformasi pembangunan negara ini kita lancarkan kerana kita mahu ubah segala-galanya macam Kampung Nala ini (yang sebelum ini kawasan bakau saja).

"Kita tidak akan berhenti setakat ini, kita akan teruskan sehingga kita sifarkan miskin tegar yang ada. Dulu ada 30,000 rakyat Sabah yang miskin tetapi hari ini hanya tinggal 7,000," katanya

Angry Birds ke facebook


PENCINTA Angry Birds kini boleh mengimpikan watak burung biru, kuning, merah, hijau dan hitam mereka tanpa perlu menggunakan iPhone atau Android apabila Rovio yang membangunkan game bersedia memperkenalkannya pada laman sosial popular, facebook.
Belum ada tarikh pelancarannya diumumkan, tapi berkemungkinan besar ia akan diperkenalkan 14 Februari ini.
Ia dijangka terus menemui 800 juta pengguna facebook setakat ini.

Angry Birds mula diperkenalkan pada 2009 dan sudah mencatatkan 700 juta pindah turun, malah dengan pengenalan di facebook, Rovio menjangkakan jumlah terbabit naik kepada satu bilion.

Friday 10 February 2012

Mark Zuckerberg layak terima bonus dua kali setahun



BEBERAPA Eksekutif utama Facebook, termasuk Ketua Eksekutifnya, Mark Zuckerberg (atas) layak untuk menerima bonus dua kali setahun sehingga 45 peratus berbanding gaji pokok dan pendapatan mereka yang lain, mengikut maklumat laporan syarikat itu kepada penguat kuasa, semalam.

Facebook Inc dalam laporannya kepada Securities and Exchange Commission berkata, ia akan membayar Zuckerberg, 27, gaji kasar AS$500,000 (RM1.5 juta) setahun manakala sasaran bonus 45 peratusnya dibayar berdasarkan prestasi.
Ketua Pegawai Operasinya, Sheryl Sandberg akan menerima gaji pokok AS$300,000 (RM902,550) dan sasaran bonusnya juga adalah 45 peratus.
David Ebersman akan terus berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan menerima gaji pokok AS$300,000 (RM902,550).

Timbalan Presiden Kejuruteraannya, Mike Schroepfer pula akan menerima gaji pokok AS$275,000 (RM827,337).

Kedua-duanya juga mempunyai sasaran bonus 45 peratus.

Selain itu, durian runtuh yang bakal diterima Zuckerberg dan eksekutifnya yang lain adalah daripada saham Facebook yang dimiliki.
Syarikat itu berkata, minggu lalu, ia merancang untuk mendapatkan AS$5 bilion (RM15 bilion) dalam IPOnya.

Jika berjalan lancar, Facebook akan mencecah nilai AS$100 bilion (RM300 bilion).

Eksekutif lain, Timbalan Presiden dan Peguam Umumnya, Theodore Ullyot akan menerima gaji pokok AS$275,000 (RM824,777), menurut laporan itu

Thursday 9 February 2012

4 lembaga pengarah Yahoo letak jawatan



YAHOO! mengumumkan pengunduran beberapa ahli Lembaga Pengarahnya bagi memberi laluan pemulihan kepada syarikat Internet itu, yang kini sedang berusaha mendapatkan semula penguasaan pasaran serta keyakinan daripada pelabur.

Pengerusinya, Roy Bostock mengumumkan beliau bersama tiga lagi pengarah yang lama berkhidmat dengan syarikat itu akan meletakkan jawatan dalam syarikat itu, bagi memberi laluan kepada Pengarah Eksekutifnya barunya, Scott Thompson.
Yahoo! sebelum ini berusaha keras untuk mengubah penampilannya daripada hanya sebagai enjin carian internet kepada ‘syarikat media digital utama’, selepas terjejas dengan kemunculan Google.
Pengumuman pengunduran beberapa ahli Lembaga Pengarah itu adalah seminggu selepas Jerry Yang, pengasas bersama Yahoo! pada 17 tahun lalu, meletakkan semua jawatan dalam syarikat berpangkalan di California itu.

Yang, 43, antara adalah bilionair dotcom terawal, pernah menganggotai Lembaga Pengarah Yahoo!; Yahoo! Japan dan Alibaba Group Holding Ltd.

Yang memegang jawatan Ketua Eksekutif Yahoo! dari Jun 2007 hingga Januari 2009, dan dalam tempoh itu beliau dan Bostock menolak tawaran Microsoft untuk membeli syarikat itu, yang membangkitkan kemarahan di kalangan pemegang sahamnya.

Bostock dan Yang telah menjadi sasaran kemarahan pemegang sahamnya sehingga menyebabkan harga saham Yahoo! menjunam hampir separuh daripada harganya apabila pemimpin syarikat itu menolak tawaran pembelian Microsoft.
Yang kemudian menyerahkan teraju syarikat itu kepada bekas eksekutif Autodesk, Carol Bartz yang mana usahanya untuk memulihkan semula syarikat tidak kesampaian apabila beliau dipecat September lalu oleh Lembaga Pengarah, yang beliau disifatkan ‘bodoh’ selepas disingkirkan.

Bostock berkata, beliau telah memutuskan untuk tidak dipilih semula dalam mesyuarat pemegang saham akan datang, bersama tiga ahli Lembaga Pengarah lain iaitu Vyomesh Joshi, Arthur Kern dan Gary Wilson.

Beliau berkata, Lembaga Pengarah syarikat telah melantik dua Pengarah Bebas: bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Rovi Corp, Alfred Amoroso dan bekas Ketua Pegawai Operasi eBay, Maynard Webb.

Bostock berkata, kajian semula strategik terhadap Yahoo! telah mencapai ‘kemajuan yang ketara’ yang telah memasukkan pelbagai perbincangan dengan rakan kongsi berpotensi.

“Kami telah berjumpa dengan pelabur berpotensi dan mengkaji cadangan mengenai pelaburan ekuiti dalam syarikat, walaupun pada masa ini belum ada apa-apa cadangan yang disifatkan oleh jawatankuasa sebagai sesuatu yang menarik kepada pemegang saham kami,” katanya.

Bostock, menerusi suratnya kepada pemegang saham, berkata Yahoo! sedang dalam ‘perbincangan aktif’ bersama rakan kongsinya di Asia dalam menstruktur semula syarikat induknya, Alibaba Group dan Yahoo! Japan.

“Walaupun kami terus menumpukan kepada sumber yang penting bagi perbincangan ini, kami tidak berada dalam kedudukan untuk memberikan sebarang butiran lanjut atau memberi jaminan bahawa mana-mana urus niaga transaksi akan dicapai buat masa ini," katanya

Wednesday 8 February 2012

Lamborghini mahu keluar model SUV



PENGELUAR kereta sport mewah, Lamborghini kini mula bergerak jauh daripada tumpuan perniagaannya sebelum ini apabila ia bercadang untuk mengeluarkan model kenderaan sports utiliti (SUV) mewah.
Jenama Itali yang dimiliki oleh Volkswagen itu, merancang untuk mengumumkan pelancaran model kenderaan itu pada pameran auto, di Beijing pada 2016, kata dua sumber yang tahu mengenai strategi itu.
Berdepan risiko kemungkinan timbul perasaan terasing peminat kereta sports gentian karbon Aventador bernilai 313,000 euro (RM1.239 juta) itu, Lamborghini berharap dapat mengulangi kejayaan dalam jualan Porsche Cayenne bagi pasaran pesat berkembang bagi pacuan empat roda mewah.

“SUV ini akan dilihat menarik, tetapi ia perlu menjadi antara model yang terpantas dari segi kelajuannya serta ekstrem.

"Jika ia seperti BMW X5, ia seperti satu pengkhianatan. Orang ramai akan menjadi sangat kecewa,” kata Presiden Kelab Pemilik Lamborghini terbesar dunia yang berpangkalan di Los Angeles, Andrew Romanowski.

“Porsche membuktikan bahawa ia berfungsi, yang mampu memberi kejutan besar kepada industri , dan sekarang semua orang tertunggu-tunggu,” kata Pengarah Penyelidikan di IHS Automotive berpangkalan di Frankfurt, Christoph Stuermer.
Menjelang 2015, jualan SUV mewah dijangka meningkat kira-kira 20 peratus di Eropah Barat, 30 peratus di Amerika Syarikat dan 50 peratus di China, menurut unjuran sebuah syarikat perundingan.

Cayenne menjadi model terlaris bagi Porsche sejak ia dilancarkan sedekad lalu, dengan 59,000 unit dijual tahun lalu dan pada harga 121,000 euro (RM476,544) bagi versi turbo berprestasi tinggi.

Lamborghini, yang mencatat kerugian sejak 2009, meningkatkan penghantarannya sebanyak 23 peratus kepada 1,602 kenderaan tahun lalu.

Bagi membangunkan model baru itu, Lamborghini merangka rancangan untuk sedan empat pintu sejajar pameran kereta Estoque pada 2008.

Slogan closer to the road diperkenalkan pada tahun yang sama dan masih digunakan dalam produk video pada 2011.

Lamborghini Club America mengeluarkan keahlian gentian karbon kepada pelakon, Nicolas Cage, hos rancangan bicara, Jay Leno dan kira-kira 4,000 yang lain.

Romanowski memberi amaran walaupun kenderaan yang sempurna dihasilkan, ia boleh menjejaskan jenamanya jika pengeluaran adalah terlalu tinggi.

Tuesday 7 February 2012

Mark Zuckerberg ‘penggodam’



JUTAWAN dan ketua eksekutif laman sosial terkemuka, Facebook, Mark Zuckerberg menggelarkan dirinya sebagai seorang ‘penggodam.’ Bagi orang biasa, perkataan itu mempunyai maksud jahat, penjenayah yang mencuri-dengar peti suara persendirian atau penjahat tanpa identiti yang melumpuhkan laman web dan memecah-masuk akaun emel.

Bagi Facecook, penggodam mempunyai maksud yang berbeza. Ia adalah nilai yang diterapkan dalam budaya syarikat itu.

Ia menjelaskan percubaan idea baru walaupun menemui kegagalan dan bagi menggalakkan produk baru dengan cepat walaupun tidak sempurna.

Pendekatan penggodam itu menjadikan Facebook sebagai sebuah syarikat internet paling bernilai dunia.
Zuckerberg menjelaskan, penggodam percaya setiap sesuatu boleh menjadi lebih baik dan tiada yang lengkap sepenuhnya.

“Mereka hanya perlu membaikinya lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan golongan yang selalu berkata ia adalah mustahil atau sependapat dengan status quo,” katanya.

Zuckerberg berkata demikian dalam esei 479 patah perkataan bertajuk ‘The Hacker Way’ yang dimasukkannya sebagai sebahagian dokumen syarikat yang difailkan kepada pegawai kerajaan bagi rancangan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat pengendali laman sosial itu.

Syarikat itu menyasarkan meraih AS$5 bilion daripada IPO itu yang akan meletakkan nilai Facebook sehingga AS$100 bilion.

Pemuda berusia 27 tahun yang mempunyai kepentingan AS$28.4 bilion dalam janji niaga itu menggunakan ‘H-word’ sebanyak 12 kali dalam esei berkenaan, manakala perkataan ‘pemegang saham’ hanya digunakan sekali saja.

Jika beliau mengetahui akan kebimbangan pelabur dengan tidak memasukkan rujukan itu dalam manifesto IPOnya, mungkin beliau dengan mudah boleh menyifatkan Facebook sebagai ‘lincah’ atau ‘tangkas.’

Secara simbolik, ia tidak menjadi petanda yang baik bagi Facebook mahupun pelabur,” kata Profesor Madya Undang-undang Jenayah di Drexel University, Robert D’Olivio yang mengkaji jenayah komputer.

“Saya rasa mungkin ia menunjukkan bahagian dirinya yang tidak matang. Beliau sepatutnya lebih mengetahui,” katanya.

Dengan menggunakan perkataan itu, Zuckerberg juga dilihat sebagai cuba mendapat pengiktirafan.

Baginya, Steve Jobs dan pengasas banyak syarikat teknologi utama dunia adalah juga penggodam.

“Perkataan ‘penggodam’ mempunyai tanggapan buruk yang digambarkan dalam media sebagai orang yang mencerobohi komputer,” kata Zuckerberg.

“Realitinya, menggodam hanya bermaksud membina sesuatu dengan pantas atau menguji tahap sesuatu perkara dilakukan,” katanya.

Untuk berlaku adil, maksudnya sudah menjadi kompleks. Penggodam jahat memusnahkan sesuatu dengan niat yang jahat. Mereka menceroboh peti suara mangsa jenayah dan selebriti untuk mencari cerita panas yang baru.

Mereka menceroboh sistem keselamatan untuk mencuri data kad kredit. Minggu ini saja, ahli kumpulan Anonymous menggodam laman web penguat kuasa undang-undang seluruh dunia dan mendapat capaian maklumat risikan kerajaan dan maklumat sensitif lain.

Penggodam baik pula kadang-kadang melakukan godaman. Tetapi mereka melakukannya atas nama inovasi. Mereka memanggil diri mereka sebagai penggodam ‘topi putih’ bagi melawan penjenayah godaman ‘topi hitam.’

Selalunya, mereka diupah bagi mendedahkan kelemahan di syarikat besar.

Kevin Mitnick, yang didapati bersalah dan dipenjara pada 1990-an kerana menggodam komputer, kini bekerja sebagai perunding keselamatan.

Ia adalah sama sekali berbeza dengan kehidupannya sebelum ini yang mana beliau menghabiskan masa bertahun-tahun mencuri rahsia daripada syarikat besar dunia.

“Saya memecah-masuk komputer bagi mencari kelemahannya, sebelum orang jahat melakukannya,” katanya.

Bagi Mitnick, ‘Hacker Way’ yang dimaksudkan Zuckerberg ialah mengenai usaha mencari cara bijak mengatasi masalah. Ia juga bermaksud mengenal pasti kegunaan baru bagi sesuatu yang sudah lama.

Nathan Hamblen, yang berkhidmat dengan laman web Meetup.com pula berkata, godaman terbaik adalah dikalangan mereka yang melakukan sesuatu tanpa disangka-sangka, sesuatu yang mengejutkan sehingga tiada yang lain berfikir mengenainya.

Perkataan ‘godam’ bermula sejak separuh abad lalu, ketika pakar komputer di Massachusetts Institute of Technology melakukan penyesuaian sistem telefon dan komputer.

“MIT adalah Mesopotamia aktiviti godaman. Ia adalah tempat di mana budaya menggodam bermula,” kata penulis buku Hackers: Heroes of the Computer Revolution yang diterbitkan pada 1984, Steven Levy.

Komuniti penggodam yang kecil ketika akhir 50-an dan 60-an mengukur satu sama lain melalui kebolehan kreatif dan teknikal mereka dan memakai gelaran itu sebagai penghormatan, lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan Zuckerberg kini.

“Merekalah yang melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan kepada komputer,” katanya.

Ada dikalangan mereka yang melakukannya sebagai suka-suka. Pada 1970, sebelum menubuhkan Apple, Steve Jobs dan rakannya Steve Wozniak menemui cara menceroboh sistem telefon untuk membuat panggilan percuma.

Dalam satu percubaan itu, kedua-dua Steve itu memanggil Vatican hanya untuk mengetahui siapa yang akan mengangkat telefon.

“Wozniak berpura-pura menjadi Henry Kissingger yang mahu bercakap dengan pope.

“Kami berada pada persidangan di Moscow dan kami perlu bercakap dengannya,” mimik Woz.

Beliau dimaklumkan bahawa ketika itu jam 5.30 pagi dan pope masih tidur,” menurut tulisan Walter Isaacson dalam biografi terbarunya mengenai Jobs.

Godaman hanya bermula menjadi sesuatu yang buruk sekitar tahun 80-an dan 90-an. Ada yang menyalahkan Robert Morris, pelajar sains komputer yang menemui kelemahan perjalanan dalaman internet dan melepaskan virus ‘cacing’ komputer pertama pada 1988.

“Beliau menyebabkan internet menjadi mesin pengisar,” kata D’Olivio.

Morris adalah orang pertama didakwa di bawah akta penipuan dan penyalahgunaan komputer persekutuan yang diluluskan dua tahun sebelumnya.

Filem seperti ‘War Games’ pada 1983 juga meningkatkan kebimbangan awam mengenai godaman.

Dalam filem itu, seorang penggodam hampir mencetuskan perang dunia yang seterusnya, dengan memikirkan ia hanya satu permainan komputer.

“Ia terjadi kerana Hollywood dan kerana tiada perkataan lain di luar sana,” kata Andrew Howard, 28, seorang saintis di Georgia Tech Research Institute.

Tahun 80-an dan 90-an juga adalah waktu yang mana penggunaan komputer mula berkembang.

Bagaimanapun ia masih lagi menjadi misteri bagi kebanyakan orang.

Mereka memikirkan, “bagaimana ia bekerja? Adakah sesiapa yang akan menembusinya?”

Manifesto ‘penggodam’ Zuckerberg adalah manifesto bagi Levy, yang menyusun ‘The Hacker Ethic’ dalam bukunya mengenai budaya itu.

Antara prinsipnya ialah, ‘penggodam patut dinilai dengan kerja godaman mereka’ dan ‘selalu menekankan pendekatan praktikal.’

Pendekatan praktikal itu penting bagi Facebook. Zuckerberg masih menghabiskan berjam-jam menulis kod komputer, walaupun beliau sudah mempunyai beratus orang jurutera.

Cara itu membantu laman sosial Zuckerberg berkembang.

Apabila MySpace berhenti daripada melakukan inovasi, penggunanya berpindah kepada Facebook yang lebih bersih, mudah dan selalu mengalami perubahan.

Ia menyebabkan News Corp menjual MySpace pada AS$35 juta Jun lalu.

Sementara itu, pengguna Facebook meningkat dengan mendadak kepada 845 juta walaupun laman web itu mengalami perubahan dan melakukan rekaan semula dengan peraturan keselamatan baru.

Zuckerberg dan yang lain mungkin boleh lagi membersihkan perkataan itu.

Meetup Hamblen percaya bahawa ia sudah pun berlaku.

“Orang ramai tidak takutkan teknologi, iaitu penyebab kepada ketakutan kepada penggodam,” katanya.

“Apabila orang ramai boleh menyesuaikan diri dengan teknologi, godaman akan menjadi cara melihat sesuatu dan menggunakannya dengan cara bijak,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...