Friday 1 July 2011

Aeroangkasa tarik pelaburan RM1b



INDUSTRI aeroangkasa mampu menarik pelaburan mencecah RM1 bilion pada tahun ini dan bakal menjadi antara bidang penting untuk tempoh akan datang, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pihaknya kini giat menjalankan promosi mengenai Pusat Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia (MIAC).
Beliau berkata, kini MAS Engineering & Maintenance, syarikat milik Penerbangan Malaysia (MAS) adalah syarikat kelima terbesar dunia dalam bidang MRO.

Susulan itu, katanya, ia berpotensi besar untuk terus berkembang dan memberikan manfaat kepada generasi muda.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan saling bekerjasama rapat dengan MITI untuk mempromosi Malaysia sebagai hab industri aeroangkasa.

“Oleh itu, kami percaya mampu menarik pelaburan lebih RM1 bilion untuk sepanjang tahun ini dengan setakat April lalu menerima pelaburan bernilai RM41.8 bilion,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai MIAC daripada MAHB di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dan Pengarah Kanan MIDA, Azman Mahmud.

MIAC membabitkan kawasan seluas 480 hektar di LTSAAS menawarkan empat bidang perkhidmatan seperti pengeluaran komponen dan alat ganti, MRO, sistem sepadu dan avionik serta pusat kecemerlangan untuk latihan aeroangkasa.

Sementara itu, Bashir berkata, industri aeroangkasa adalah bidang berteknologi tinggi dengan potensi menarik pelaburan besar.

Katanya, rantau Asia Pasifik juga menunjukkan pertumbuhan besar dari segi pembelian pesawat untuk 
tempoh 10 tahun akan datang, justeru memberikan peluang untuk MAHB menyediakan kemudahan MRO di negara ini. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...