Saturday 23 July 2011

Loji geoterma siap 2014




TAWAU 22 Julai - Pembinaan loji geoterma pertama di negara ini yang bernilai RM300 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang 2014.
Pengarah Projek itu, Ir. Andrew Amalados berkata, fasa pertama projek berkenaan di kawasan Apas di sini akan dimulakan pada Oktober ini.
"Hasil daripada penyelidikan mendapati kawasan berkenaan mempunyai potensi menjanakan kuasa tenaga elektrik dengan baik. Ia antara lain untuk membantu Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dengan menyalurkan kira-kira 30 Megawatt elektrik sehari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Perundingan Pihak-Pihak Berkepentingan di sini, semalam.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Jimmy Wong; Pemimpin Kemajuan Rakyat Apas, Naim Ahmad; Pengarah Pengurusan Integra Carbon, Azhar Anas dan Pengurus SESB Zon Selatan, Rudy Thadeus.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan 250 penduduk kampung.
Tambah Andrew, tapak projek yang dirancang adalah antara kawasan Hutan Simpan Andassy dan Taman Bukit.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek berkenaan tidak akan menyebabkan pencemaran yang membahayakan penduduk setempat dan keindahan alam semula jadi.
"Ia tidak akan memberi kesan negatif kerana loji itu hanya menghasilkan wap air tidak seperti bahan api yang lain.
"Selain itu antara kelebihan geoterma ialah ia tidak menggunakan kawasan yang luas dan mampu menjimatkan bahan api lain seperti arang batu, minyak diesel dan gas," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...