Tuesday 19 July 2011

Toyo Tire labur RM1.2 bilion




IPOH 18 Julai - Syarikat dari Jepun, Toyo Tire & Rubber Co. Ltd (Toyo Tire) akan melabur sebanyak RM1.2 bilion untuk membina kilang baharu di Perak dalam usahanya mengembangkan operasi di pasaran Asia Tenggara.
Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perancangan Toyo Tyre sudah di peringkat akhir dan syarikat itu cuma menunggu kelulusan lokasi yang telah dikenal pasti dari Kerajaan Negeri Perak.
''Dua minggu lepas saya berada di ibu pejabat Toyo Tire di Osaka, Jepun untuk berjumpa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kenji Nakakura dan beliau beri maklumat tentang perancangan syarikat untuk mengembangkan operasi di Perak dengan pelaburan sebanyak AS$400 juta (RM1.2 bilion).
''Toyo Tire sudah beli 100 peratus saham pembuat tayar tempatan, Silverstone Bhd. (Silverstone). Jadi, Nakakura datang ke Perak untuk berjumpa Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk bincang soal tanah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Nakamura yang turut disertai Zambry di sini hari ini.
Pada tahun lepas, Toyo Tire dilaporkan membeli syarikat Silverstone dengan perjanjian itu dikatakan bernilai RM470 juta.
Ia merupakan sebahagian perancangan besar Toyo Tire untuk berkembang di pasaran Asia Tenggara dengan memasuki pasaran besar yang dimiliki oleh Silverstone.
Di samping pertemuan dengan Nakakura, Mustapa hari ini mengadakan perbincangan dengan wakil syarikat Vale International SA (Vale) yang melabur sebanyak RM8.6 bilion pada fasa pertama untuk membina pusat pengedaran serantau di tanah seluas 470 hektar di Manjung.
''Saya difahamkan terdapat beberapa fasa. Vale akan membina satu pusat pengedaran serantau pada fasa pertama dan mungkin terlibat dalam bidang pembuatan. Jeti akan dibina pada bila-bila masa selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri.
''Jika syarikat Vale terus bergiat dalam bidang pengilangan, pelaburan syarikat tersebut tentunya akan bertambah dan ini akan menyumbang kepada penambahan pendapatan kepada negara dan peluang kerja kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, Zambry berkata, dengan kemunculan pelabur-pelabur baru di Perak termasuk Toyo Tire menunjukkan pelaburan itu satu realiti dan bukan sekadar kenyataan retorik.
Pada sidang akhbar itu, beliau turut mengumumkan bahawa syarikat Maegma Steel akan mengembangkan operasinya di Perak dan pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat selepas syarikat tersebut menyelesaikan beberapa perkara teknikal.
Dalam siri pertemuan itu, Mustapa turut mengadakan mesyuarat meja bulat dengan 20 syarikat yang terlibat dalam perindustrian dan pengilangan di Perak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...