Saturday 16 July 2011

Pusat bantuan Cyber999 tingkat keselamatan siber di Malaysia



BERMULA September ini, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan baik pulih dan perlindungan sistem perkomputeran secara profesional di Klinik CyberSecurity yang dikendalikan oleh pusat keselamatan siber negara, CyberSecurity Malaysia.
Perkhidmatan itu akan diuruskan sekumpulan profesional sistem perkomputeran berikutan meningkatnya jumlah aduan berkaitan jenayah siber yang diterima CyberSecurity Malaysia.

Ia akan melengkapi perkhidmatan pusat bantuan Cyber999 yang disediakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu berhubung insiden membabitkan jenayah penggunaan internet di negara ini.

Ketua Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri, berkata klinik CyberSecurity yang pertama akan dibuka di Mines, Seri Kembangan dengan rancangan meluaskan perkhidmatan berkenaan ke seluruh negara akan dibuat secara berperingkat selepas itu.

“Kami akan mengenakan caj ke atas perkhidmatan yang diberikan, tetapi ramai masih boleh membuat aduan secara percuma menerusi pusat bantuan Cyber999.

“Ini adalah bagi membendung peningkatan ketara jenayah keselamatan siber di Malaysia sejak kebelakangan ini,” katanya pada taklimat mengenai senario keselamatan siber negara untuk separuh pertama 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
Husin berkata, berdasarkan data yang dikumpul CyberSecurity Malaysia, pihaknya menerima 7,404 aduan berhubung jenayah siber untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, meningkat 147 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, daripada analisis, arah aliran insiden yang dilaporkan sepanjang tahun ini dilihat hampir menyamai arah aliran tahun lalu dari segi kategori.

“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, semua kategori membabitkan insiden keselamatan sekuriti mencatatkan peningkatan ketara, dengan kes membabitkan penipuan internet mendahului senarai diikuti kes membabitkan ‘spam’, pencerobohan maklumat dan lain-lain,” katanya.

Berdasarkan perangkaan CyberSecurity Malaysia, 2,820 kes jenayah membabitkan penipuan internet diterima setakat tahun ini, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 870 kes yang diterima sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, kes ‘phishing’ berkaitan penipuan perbankan internet adalah yang paling tinggi dengan 1,708 aduan diikuti penipuan pekerjaan sebanyak 362 kes, 92 kes pemalsuan maklumat dan 79 kes lagi membabitkan ‘Nigerian Scam’.

Husin berkata, peningkatan jumlah jenayah keselamatan siber itu berkait rapat dengan pertambahan penggunaan internet di Malaysia sekali gus mendedahkan pengguna kepada pelbagai ancaman siber.

“Ini tidak bermakna kita perlu menolak perkembangan teknologi kerana bagi negara sedang membangun, rakyat perlu menggunakannya. Justeru, usaha perlu giat dilakukan untuk meningkatkan kesedaran sekuriti siber di kalangan pengguna internet di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Husin berkata CyberSecurity Malaysia telah membangunkan perisian ‘DontPhishMe’ yang bermatlamat menyediakan perlindungan kepada pengguna perkhidmatan perbankan internet di negara ini.

Katanya, perisian itu telah menerima maklum balas baik dari peserta industri dan pengguna di mana versi terkininya, DontPhishMe 1.6.0 boleh dimuat turun secara percuma oleh orang ramai.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...