Tuesday 19 July 2011

Burung walit tawar pulangan lumayan?




KUALA TERENGGANU 18 Julai - Perusahaan burung walit dijangka menyumbang kira-kira RM4 bilion hingga RM5 bilion daripada RM523 bilion anggaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) menjelang tahun 2020 ini.
Pengarah Bahagian Pembangunan Sumber Teknologi Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr. Kamaruddin Md. Isa berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan sambutan yang kian meluas.
Katanya, ia menjadi tarikan kerana harga bagi satu kilogram sarang burung itu mampu mencecah RM5,000 jika dinilai berdasarkan gred, saiz dan ketulenannya.
"Jika dieksport ke negara China pula, harganya dipercayai boleh meningkat sehingga empat kali ganda kerana permintaan di sana sangat tinggi," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita semasa Persidangan dan Latihan Pengurusan Ladang Walit Antarabangsa (Icotos) di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Zolkipli Abdul; Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Alias Daud serta Pengerusi Jawatankuasa yang juga Dekan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi UniSZA, Prof. Dr. Mat Zakaria.
Seminar selama tiga hari yang bermula semalam itu disertai oleh hampir 200 peserta yang terdiri daripada pengusaha-pengusaha burung walit dari dalam dan luar negara.
Selain Malaysia, negara lain yang turut serta dalam program anjuran UniSZA itu ialah Indonesia dan India.
Dalam pada itu, Dr. Kamaruddin berkata, sehingga kini, belum ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa perusahaan burung walit boleh menjejaskan tahap kesihatan manusia.
"Berdasarkan kajian yang kita buat, burung walit tidak mendatangkan apa-apa masalah kesihatan kepada pengusahanya, sebaliknya memberi manfaat kepada mereka," ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, perusahaan burung walit tidak sukar untuk diusahakan kerana ia banyak bergantung kepada lokasi penempatan burung berkenaan.
"Jika lokasi yang dipilih sesuai termasuk berdekatan dengan sumber makanan mereka, maka perusahaan ini tidak akan memakan masa yang panjang," jelasnya lagi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...