Thursday 14 July 2011

Jana elektrik RM1b tenaga solar




KUALA LUMPUR 13 Julai - Berjaya Corp. Bhd. (BCorp) merancang membina sebuah stesen jana kuasa elektrik berasaskan tenaga solar bernilai RM1 bilion di Bukit Tagar, Rawang, Selangor.
Kertas kerja pembinaan stesen yang pertama di Malaysia mampu menghasilkan 100 megawat tenaga elektrik, telah dihantar kepada kerajaan untuk mendapat kelulusan.
Pengerusinya, Tan Sri Vincent Tan berkata, pembinaan stesen jana kuasa itu merupakan salah satu inisiatif BCorp untuk menceburi perniagaan baharu terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, projek masa depan itu perlu mendapat sokongan kerajaan terutamanya dalam mengkaji semula tarif kadar tetap elektrik yang dijana bagi memberi pulangan yang baik.
''Kadar tarif sekarang sangat rendah dan tidak menggalakkan pertumbuhan industri ini. BCorp boleh membangunkan stesen berkenaan bersendirian tetapi sokongan kerajaan dalam aspek tarif amat diperlukan.
''Semakan semula tarif mampu membantu industri ini berkembang dan mengurangkan kos alatan seperti panel sistem solar dan sebagainya,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara BCorp dengan POSCO Engineering & Construction Co. Ltd. (POSCO E&C), di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif POSCO E&C, Chung Dong-Hwa, Duta Korea Selatan, Lee Yong-joon dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Land Bhd., Francis Ng Sooi Lin.
Mengulas mengenai MoU tersebut, Tan berkata, BCorp merancang untuk meluaskan perniagaan pembinaan dan pembangunan di luara negara dan POSCO E&C yang merupakan syarikat pembinaan kelima terbesar di Korea Selatan dilihat mampu memberi tunjuk ajar yang baik.
''Tujuan MoU ini adalah memberi ruang kepada BCorp untuk mempelajari industri pembinaan, pembangunan hartanah dan juga tenaga boleh diperbaharui.
''Perjanjian ini adalah kerjasama awal antara kedua-dua syarikat dan belum mempunyai perancangan mengenai projek baharu secara bersama.
''Sebelum ini kami telah mengadakan kerjasama dengan POSCO E&C bagi membangunkan sebuah pusat peranginan dan komersial projek iaitu Berjaya Jeju Resort di Korea Selatan. Mereka merupakan kontraktor utama dan bakal memiliki pegangan dalam projek berkenaan,'' jelasnya.
Sementara itu, Dong-Hwa berkata, fasa satu projek Berjaya Jeju Resort yang melibatkan pembinaan infrastruktur awal bernilai AS$30 juta (RM90.8 juta) dijangka siap sebelum akhir tahun ini.
''Projek berkenaan mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak AS$2.9 bilion (RM8.77 bilion) dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi,'' katanya.
Ditanya tentang perancangan POSCO E&C di Malaysia, Dong-Hwa berkata, syarikatnya telah menghantar bidaan bagi projek memanjangkan laluan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Aliran Ampang.
''Kami turut berminat menyertai projek My Rapid Transit (MRT) dan akan menghantar bidaan kepada kerajaan,'' kata beliau.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...