Saturday 23 July 2011

SESB laksana projek biomas bernilai RM164.9j


KOTA KINABALU 22 Julai - Sabah bakal menerima pertambahan kapasiti janaan bekalan elektrik sebanyak 20 megawatt (MW) menerusi kerjasama Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dengan dengan syarikat Eco Biomass Power Sdn. Bhd.
Kerjasama antara kedua-dua syarikat itu dibuat bagi melaksanakan projek pembaharuan tenaga bernilai RM164.9 juta.
Pengarah Urusan SESB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, projek tersebut yang mampu meningkatkan kapasiti janaan elektrik di Sabah, dijangka dilaksanakan pada hujung tahun depan.
"Ini merupakan projek biomas keempat di Sabah selepas THS Power (Tawau), Seguntor Power dan Kinabio Power di Sandakan yang masing-masing mempunyai kapasiti janaan sebanyak 10 MW," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Baharin berkata, menerusi kerjasama itu, Eco Biomass Power bersetuju membekalkan bekalan elektrik yang dijana melalui sisa kelapa sawit atau sisa buangan buahan kepada SESB melalui sistem grid Sabah selama 21 tahun.
Beliau menjelaskan, tenaga yang boleh diperbaharui (RE) merupakan salah satu sumber tenaga selain minyak diesel, hidro, gas dan arang batu.
Katanya, mengikut dasar tenaga yang boleh diperbaharui, sasaran penggunaan RE ialah sebanyak lima peratus daripada kapasiti janaan negara.
"Di Sabah, SESB sebelum ini telah menandatangani lima perjanjian pembelian tenaga yang boleh diperbaharui sejak 2002 lagi dengan lima syarikat penjana bebas (IPP).
"Ketika ini, kita sedang mengadakan perbincangan dengan 10 buah syarikat untuk membangunkan stesen jana kuasa berasaskan RE seperti biomas, biogas, hidro dan geoterma," ujarnya.
Baharin berkata, setakat ini sebanyak 32MW telah disalurkan ke sistem Grid Sabah oleh tiga syarikat yang menggunakan sumber biomas dan satu syarikat menggunakan hidro.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...