Monday 11 July 2011

Rakyat diminta tidak bazirkan ubat hospital kerajaan




KUALA LUMPUR 11 Julai — Rakyat harus bijak menggunakan ubat-ubatan yang diberi hospital kerajaan khususnya, kerana ia bukan saja berkualiti tetapi juga dibeli dengan peruntukan yang besar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, tahun lepas, kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.6 bilion untuk membeli ubat.
"Dalam pembelian ubat, kerajaan mencari nilai dan kualiti terbaik, justeru orang ramai juga perlu diberikan kesedaran tentang ubat yang diambil mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Antara Rantau Fasa Ketiga berkenaan Urus Tadbir yang Baik untuk Ubat-ubatan, di sini hari ini.
Untuk itu katanya, kerajaan sentiasa memastikan orang ramai mendapat maklumat mengenai harga dan sumber ubat yang diberi kepada mereka.
Mengulas mengenai program memulangkan ubat yang tidak digunakan, Dr. Hasan berkata, pada masa ini program tersebut menerima sambutan menggalakkan.
"Jika dipulangkan, kita akan dapat melupuskan ubat-ubat itu mengikut prosedur yang betul dan juga dapat membuat kajian berkenaan faktor ubat tersebut tidak digunakan.
"Selain itu, jika ubat itu masih berada dalam keadaan baik dan belum dibuka ia akan digunakan semula sekali gus dapat menjimatkan kos kerajaan,” katanya.
Mesyuarat lima hari sehingga Jumaat itu yang dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia disertai 12 negara bagi membincangkan sistem pentadbiran dan pengurusan ubat-ubatan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...