Sunday 3 July 2011

Apple dan Microsoft berjaya dalam lelongan



MONTREAL 2 Julai - Sebuah konsortium diketuai syarikat gergasi, Apple dan Microsoft berjaya menewaskan Google dan Intel dalam satu jualan lelong untuk mendapatkan 6,000 paten produk teknologi maklumat bernilai AS$4.5 bilion (RM13.5 bilion) milik syarikat Kanada, Nortel yang muflis.
Nortel berkata, konsortium terdiri daripada Apple, EMC, Ericsson, Microsoft, Research in Motion dan Sony bersetuju membayar dalam bentuk tunai untuk mendapatkan portfolio paten pelbagai produk termasuk teknologi tanpa wayar dan semikonduktor.
Harga sebanyak AS$4.5 bilion itu merupakan jumlah tiga kali ganda apa yang diramalkan oleh para penganalisis untuk jualan paten berkenaan.
''Perjanjian penjualan itu masih memerlukan kelulusan mahkamah Kanada dan Amerika Syarikat (AS) yang akan diadakan pada 11 Julai ini,'' kata Nortel dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu menandakan kekalahan Google yang sebelum ini membida sebanyak AS$900 juta (RMM2.7 bilion) untuk membeli paten berkenaan dalam usaha meningkatkan portfolio bahan intelektualnya.
''Keputusan ini mengecewakan semua pihak yang mempercayai inovasi terbuka memberi faedah kepada pengguna dan mempromosikan persaingan dan kreativiti.
''Kami akan terus berusaha mengurangkan kebanjiran proses litigasi paten yang mengancam pengguna dan pencipta berinovasi,'' kata Timbalan Presiden Kanan Google, Kent Walker dalam satu kenyataan.
Google ketika ini disaman oleh syarikat gergasi perisian, Oracle berhubung teknologi yang digunakan dalam sistem operasi telefon pintar Android.
Ancaman saman tersebut menyebabkan Google cuba mendapatkan portfolio paten Nortel yang merupakan peneraju teknologi tanpa wayar dan fiber-optik sebelum ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...