Monday 11 July 2011

Sime Darby sasar produk super luxury


CHENGDU, China 10 Julai - Kumpulan Sime Darby merancang mengukuhkan kehadirannya di rantau China dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan menumpukan kepada pengedaran kereta-kereta mewah dan terlalu mewah (super luxury) melalui 32 jenama antarabangsa kendaliannya.
Antara jenama kereta mewah dan terlalu mewah yang berada di bawah Sime Darby Motors ketika ini ialah BMW, MINI, Rolls-Royce, Land Rover, Lamborghini, Jaguar dan McLaren.
Sime Darby Motor merupakan pengedar dan penjual eksklusif bagi kereta Mclaren di Hong Kong.
Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Datuk Lawrence Lee berharap pasaran di rantau China seperti China, Hong Kong dan Macau dapat menyumbang sekurang-kurangnya 30 peratus keuntungan kepada Sime Darby Motors untuk beberapa tahun akan datang.
Contohnya, kata beliau, Sime Darby Motors di China tahun lalu berjaya menjual 170,000 buah kereta BMW pelbagai model berbanding jumlah keseluruhan pasaran kereta mewah yang direkodkan sebanyak 700,000.
“Sebenarnya pasaran kereta mewah dan terlalu mewah di China khususnya serta Macau dan Hong Kong amat besar dan berpotensi berkembang, oleh sebab itu kami merancang untuk mengukuhkan kehadiran kami melalui jenama-jenama mewah antarabangsa,” katanya di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, dengan pembukaan rasmi bilik pameran BMW terkini di sini baru-baru ini, pembukaan sebuah lagi bilik pameran di Chongqing akan dilakukan dalam tempoh 18 bulan akan datang melibatkan pelaburan RMB120 juta (RM60 juta).
Mengulas lanjut katanya, model BMW 5 Series merupakan model paling laris dengan jualan sebanyak 3,100 buah di China pada sepanjang tahun lalu.
Manakala bagi pasaran Hong Kong pula, sebanyak 4,308 buah kereta BMW telah terjual sepanjang tahun lalu berbanding 2,823 buah yang terjual pada tahun 2009 dan merupakan jenama peneraju di negara tersebut.
Bagi pasaran Macau pula, Sime Darby telah berjaya menjual 604 buah kereta BMW dan MINI pada tahun 2010, peningkatan 73 peratus berbanding tahun sebelumnya dan merupakan peneraju jualan bagi model 1 Series, 3 Series, Series X dan Z4 Series.
“Kami melihat peluang untuk berkembang di China dan negara-negara berdekatan amat berpotensi untuk diterokai dan merupakan kesempatan yang tidak boleh dilepaskan” katanya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...