Thursday 28 July 2011

Chery Alado Automobile labur RM300j



CHERY Alado Automobile Sdn Bhd bercadang melabur RM300 juta bagi membina kilang pemasangan kenderaan jenama Chery di negara ini.

Selain untuk pasaran tempatan, kenderaan yang akan dipasang di kilang itu akan turut dieksport ke pasaran Indonesia serta Thailand, sekali gus menjadikan negara ini sebagai hab bagi pemasangan kenderaan jenama China itu di Asia Tenggara.
Ketua Eksekutif Chery Alado Automobile, Paul Ng, berkata syarikat itu sudah mengemukakan cadangannya bagi pembinaan kilang itu kepada kerajaan dan sedang menunggu kelulusan.


“Kami sudah menghantar cadangan kepada kerajaan dan sedang menunggu keputusannya. Pada masa sama, kami turut meninjau kawasan yang sesuai untuk tapak kilang itu,” katanya ketika taklimat kepada media bagi mengumumkan perkara itu di Petaling Jaya, semalam.

Ng berkata, pemilihan Malaysia sebagai pusat bagi pemasangan kenderaan Chery dengan kapasiti enjin 1,800cc ke atas itu didorong oleh beberapa faktor yang menarik dan meyakinkan seperti kestabilan politik serta prospek ekonominya yang mantap, dengan unjuran pertumbuhan antara lima hingga enam peratus setahun.

Pasaran kenderaan negara yang merekodkan pertumbuhan serta perkembangan positif setiap tahun juga menjadi faktor penting Chery Alado memutuskan membina kilang pemasangan model Chery itu di sini, katanya.

Chery Alado, anak syarikat Chery Alado Holding Sdn Bhd yang dikuasai ekuitinya oleh Chery Automobile Co Ltd, Alado Corp Sdn Bhd serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mula membawa masuk kenderaan jenama China itu di pasaran tempatan sejak 2006.
Pada 2008 ia memulakan pemasangan tempatan (CKD) jenama itu bermula dengan model kenderaan pelbagai guna (MPV), Chery Eastar, diikuti dengan kenderaan utiliti sukan (SUV), Tiggo pada 2009.

Pemasangan itu bagaimanapun dibuat di kilang milik pihak ketiga di Johor Bahru.

Mengenai unjuran jualan bagi tahun ini, Ng berkata, syarikat menyasar menjual sehingga 4,000 unit unit berbanding 3,300 unit yang dicatatkan tahun lalu.

Katanya, unjuran jualan lebih tinggi itu dibuat berdasarkan permintaan tinggi, sehingga 300 unit sebulan untuk model Eastar, selain disokong oleh peningkatan bilangan pusat servis serta wakil pengedarnya yang kini masing-masing berjumlah 27 dan 35 di seluruh negara.

Bagi pengenalan model baru pula, katanya, Chery Alado akan melancarkan dua model baru menjelang akhir tahun ini, iaitu, kenderaan 14 penumpang dikenali sebagai Transcom dan pikap menjelang akhir tahun ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...