Thursday 30 June 2011

IAEA sahkan kilang nadir bumi Lynas selamat




KUALA LUMPUR: Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) merumuskan kilang nadir bumi Lynas Corporation Ltd di Gebeng, Pahang, selamat tetapi syarikat Australia itu perlu melakukan penambahbaikan terhadap beberapa aspek teknikal sebelum meneruskan operasi ke peringkat seterusnya.



Laporan hasil kajian pakar agensi pemantauan nuklear itu menyatakan ia tidak menemui sebarang "ketidakpatuhan piawaian keselamatan radiasi antarabangsa" dalam projek itu.
Bagaimanapun, pasukan pakar IAEA itu mengenal pasti 10 perkara yang perlu diperbaiki sebelum fasa pelesenan seterusnya projek itu.
Laporan itu juga menyatakan undang-undang dan peraturan Malaysia berhubung soal radiasi adalah menyeluruh dan menepati piawaian IAEA.


Pembinaan kilang bernilai RM700 juta oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation Ltd, di kawasan perindustrian Gebeng itu menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.


Susulan kontroversi itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengumumkan satu panel pakar akan menjalankan kajian secara menyeluruh mengenai projek itu.


Beliau berkata, panel pakar itu terdiri daripada empat pakar dari IAEA dan lima pakar dunia dalam bidang berkenaan.
Skop kajian panel pakar itu meliputi pengangkutan, radiasi, perlindungan (pekerjaan, awam dan alam sekitar), penilaian keselamatan, sisa buangan dan menutup kilang dan memulihkan alam sekitar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...