Wednesday 22 June 2011

MAS beli 10 lagi Boeing 737-800



PENERBANGAN Malaysia (MAS) akan membeli 10 lagi pesawat Boeing Generasi Akan Datang 737-800 bernilai kira-kira RM2.4 bilion. 

Pembelian itu diumumkan Naib Presiden Jualan Pesawat Boeing, Marlin Dailey serta Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz pada Pameran Udara Paris ke-49 semalam.

Tengku Azmil berkata, keputusan MAS melaksanakan opsyen bagi membeli 10 pesawat tambahan itu adalah satu lagi langkah penting bagi mengukuh dan membangunkan nilai bagi perkhidmatan penerbangannya serta menyokong strategi transformasi perniagaannya.

“Pesawat Generasi Akan Datang 737-800 dengan kelebihan ekonomi, termasuk kecekapan penggunaan bahan api yang tidak tiada tandingannya itu adalah pilihan yang tepat untuk menyokong perniagaan dan pelanggan kami,” katanya.

Dengan pengesahan pembelian itu, MAS bakal memiliki 45 pesawat jenis itu dengan lima daripadanya sudah diserahkan Boeing dan kini digunakan untuk operasinya di sekitar Asia.

Bagi pengesahan pembelian sebelum ini, MAS bakal menerima 20 pesawat jenis itu hingga 2015, manakala 10 pesawat lagi pada 2016. Sepuluh pesawat yang disahkan pembeliannya semalam itu pula akan diterimanya selepas 2016.

Tengku Azmil berkata, pihaknya gembira dengan pemilikan pesawat Boeing 737-800 itu kerana ia mendapat maklum balas baik daripada penumpang yang berpuas hati dengan dalamannya termasuk ruang bagasi yang lebih luas dan kerusi kulit yang menarik.
Sementara itu, Dailey berkata, MAS kini menjadi sebagai pengendali penting keluarga Generasi Akan Datang Boeing 737-800.

“Pesawat Boeing 737-800 MAS, iaitu yang pertama di Asia, mampu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api sehingga empat peratus, menambah jarak penerbangan dan mengurangkan pengeluaran karbon dioksida pada tahap minimum serta bunyi bising ketika berlepas,” katanya.

Pesawat Generasi Akan Datang Boeing 737-800 adalah paling berteknologi tinggi dalam pasaran pesawat satu lorong.

Ia boleh membawa sehingga 189 penumpang, 771 kilogram lebih ringan dan boleh terbang lebih jauh sehingga 583 kilometer walaupun membawa lebih 12 penumpang daripada pesawat pesaingnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...