Wednesday 29 June 2011

Jalan Jempangah - Montenior batu 60 dinaik taraf



BEAUFORT 28 Jun - Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan sebanyak RM18 juta untuk menaik taraf jalan raya sepanjang lapan kilometer di antara Jimpagah-Montenior Batu 60 dekat sini.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, projek itu akan dapat mempertingkatkan lagi sistem perhubungan jalan raya di kedua-dua kawasan tersebut.
''Usaha menaik taraf jalan ini bukan sahaja bakal memberi manfaat kepada pengguna jalan di situ tetapi juga kepada lebih 2,000 penduduk di Jimpagan dan Montenior," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat dan melancarkan majlis pecah tanah bagi melaksanakan projek tersebut di sini semalam.
Hadir sama, Pegawai Daerah Beaufort Wong Foo Then; Naib Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Kimjus Duim dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Beaufort, Mohd. Ishak Ibrahim.
Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, jalan raya itu merupakan antara projek yang telah lama diperjuangkan, justeru tidak timbul soal siapa yang menyuarakan tuntutan bagi melaksanakannya.
"Tidak timbul soal pemimpin mana yang memperjuangkan tuntutan ini, apa lagi parti pembangkang yang hanya tahu bercakap namun tidak berupaya melaksanakannya.
"Apa yang penting bagi rakyat di kawasan ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengotakan janjinya untuk melaksanakan projek ini yang dijangka siap pada pertengahan Disember pada 2012," katanya.
Menurut Lajim, pembinaan jalan itu akan membantu mempercepatkan tempoh perjalanan penduduk yang sebelum ini hanya bergantung kepada sistem perhubungan kereta api.
Jelas beliau, ia juga akan memudahkan penduduk di kampung tersebut dan sekitarnya bagi memasarkan hasil pertanian mereka ke kawasan luar.
''Projek ini menyaksikan satu lagi mercu tanda pembangunan yang diperjuangkan sekian lama oleh kerajaan dan pemimpin BN," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...