Wednesday 22 June 2011

Toyota rancang upah pekerja kontrak



Usaha tingkatkan jumlah pengeluaran kenderaan terjejas akibat gempa bumi, tsunami

TOYOTA dan pengeluar kereta Jepun lain semalam telah merancang untuk mengupah beribu-ribu pekerja kontrak di negara itu untuk meningkatkan jumlah pengeluaran yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu.

Toyota berkata pihaknya akan mengupah sehingga 4,000 pekerja kontrak di kilangnya di Jepun.

“Bagi pengeluaran domestik, syarikat menjangkakan pengeluaran akan mula pulih sekitar Oktober, menggantikan kelewatan yang disebabkan gempa bumi besar di timur Jepun,” kata Toyota dalam satu kenyataan.

“Dalam usaha mengurangkan kesan akibat gempa bumi, syarikat merancang untuk mengupah 3,000 hingga 4,000 pekerja kontrak seluruh negara bermula pertengahan Julai.”

“Mereka akan menjadi pekerja kontrak baru pertama Toyota sejak Disember 2009,” kata jurucakap Kayo Doi.

Jawatan yang ditawarkan adalah untuk bahagian pembuatan dan pemasangan di beberapa kilang Toyota, katanya.

Honda merancang untuk mengupah kira-kira 1,000 pekerja kontrak baru dan pembaharuan kontrak dengan pekerja sedia ada kerana ia melihat untuk meningkatkan pengeluaran pada separuh kedua tahun ini, kata jurucakap itu.
Sementara itu, Nissan pula bercadang menambah jumlah kakitangan kontraknya sehingga 200 orang di lima kilangnya menjelang akhir Julai.

Di tengah-tengah ketidaktentuan jangkaan berkaitan pembekalan dan jualan, pengeluar kereta Jepun masih berhati-hati dalam mengupah pekerja secara sepenuh masa.

Pada minggu lalu, Honda berkata, pihaknya menjangkakan keuntungan bersihnya akan jatuh sebanyak 64 peratus pada tahun fiskal ini daripada tahun lalu berikutan kesan gempa bumi pada Mac lalu dan pengukuhan yen.

Awal bulan ini, Toyota berkata pihaknya menjangkakan keuntungan bersih bagi tahun fiskal ini jatuh sebanyak 31 peratus kepada AS$3.5 bilion kerana pengukuhan yen dan juga kesan kepada pengeluarannya berikutan bencana alam pada Mac lalu. Bagaimanapun, pihaknya melihat pemulihan pada separuh kedua.

Kejadian gempa bumi serta tsunami, yang menyebabkan 23,000 terkorban atau hilang, memusnahkan keseluruhan bandar dan melumpuhkan kemudahan penjanaan elektrik termasuk loji nuklear.

Berikutan kekurangan tenaga dan bahagian-bahagian tertentu, pengeluar kereta dan firma Jepun lain mengumumkan gangguan pengeluaran tempatan dan luar negara, sementara memperlahankan pengeluaran atau menutup kilang. Toyota menjangka pengeluaran dijangka akan pulih sepenuhnya menjelang November.

Ia berkata, bencana alam itu yang menyumbang kepada kejatuhan 77 peratus keuntungan bersih pada suku keempat akan mengurangkan pengeluaran globalnya sebanyak 450,000 unit dan memberi kesan kepada keuntungan operasinya sebanyak 360 bilion yen.

Saham Toyota tutup 0.94 peratus tinggi pada 3,205 yen di Tokyo, Honda pula 1.07 peratus tinggi pada 2,928 yen dan Nissan meningkat 3.14 peratus kepada 820 yen.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...