Tuesday 21 February 2012

Penjualan tenaga solar, biogas di Pajam kepada TNB 28 Mac



NILAI: Tenaga solar dan biogas yang dihasilkan menerusi Fasa 1 projek tenaga boleh baharu, Integrated Renewable Energy Park, di tapak pelupusan sampah Pajam dekat sini yang siap pada Disember 2011, akan mula dijual kepada Tenaga Nasinal Bhd (TNB) mulai Mac depan.

Tenaga boleh baharu menerusi fasa kedua projek itu yang dijangka siap pada 31 November depan, pula akan dijual kepada TNB pada 8 Januari 2012.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata projek fasa satu menghasilkan lima megawatt tenaga solar dan satu megawatt biogas, manakala fasa kedua pula menghasilkan lapan megawatt tenaga solar dan satu megawatt biogas.
TNB akan membuat pengagihannya tenaga berkenaan di kawasan sekitar Nilai dan Pajam, katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek Taman Tenaga Boleh Baharu itu petang semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan projek ini merupakan usaha yang baik bagi menambah pengeluaran tenaga boleh baharu seperti solar dan biogas.

Projek yang dibangunkan Cypark Resources Bhd (CRB) itu adalah projek pertama yang menjana dua jenis tenaga boleh baharu iaitu tenaga solar dan biogas di tapak pelupusan sampah Pajam seluas 32.5 hektar.

Projek itu juga akan menjadi penyumbang utama dalam mencapai hasrat untuk mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon dioksida menjelang tahun 2020.
Mohamad berkata, selain Pajam, dua lagi kawasan yang dikenal pasti untuk menjayakan projek yang sama iaitu tapak pelupusan sampah Bukit Palong, Port Dickson seluas 14.22 hektar dan Kuala Sawah, Rantau seluas 11.38 hektar.

Katanya, projek di Bukit Palong dan Kuala Sawah mampu mengeluarkan tenaga boleh baharu sebanyak lima megawatt tenaga solar dan satu megawatt biogas.

"Kerja tapak di Bukit Palong dan Kuala Sawah bermula awal bulan depan dan dijangka siap Jun depan. Apabila semua tapak pelupusan sampah di kawasan pihak berkuasa tempatan di Seremban, Nilai, Port Dickson dan Rembau ditutup, sebuah tapak pelupusan sampah baharu seluas 81.25 hektar akan dibuka di Bukit Nanas, Port Dickson (berhampiran Kualiti Alam Sdn Bhd), menerusi fasa 1 dan dibuka Julai depan.

"Tapak pelupusan sampah di Bukit Nanas yang turut diurus oleh CRB, juga akan dibangunkan untuk mengeluarkan tenaga boleh baharu," katanya.

Mohamad berkata, apabila kesemua projek ini dilaksanakan sepenuhnya, Negeri Sembilan akan menjadi pertama dan terbesar di negara ini yang mengeluarkan tenaga boleh baharu.

"Yang pentingnya di sini, kita dapat bersama-sama membantu negara mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan pada masa yang sama, kita juga dapat menjayakan dasar teknologi hijau yang telah kita lancarkan tahun lalu," katanya. -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...