Saturday 18 February 2012

Pelajar Asia lebih maju


SYDNEY: Pelajar di Barat tertinggal sehingga tiga tahun berbanding pencapaian murid di Shanghai, China, kata laporan sebuah badan pemikir bebas, semalam.
Menurut Institut Grattan, kejayaan sistem pendidikan Asia bukan sekadar hasil sikap ibu bapa yang tegas dan mendesak.

Institut itu mendapati, Asia Timur menjadi pusat kecemerlangan sekolah dengan empat daripada sistem terbaik dunia berada di rantau itu.
Empat pusat kecemerlangan utama itu ialah Hong Kong, Korea Selatan, Shanghai dan Singapura.

Pengarah Program Pendidikan Sekolah Grattan, Ben Jensen, berkata di Shanghai, purata kemampuan pelajar matematik berusia 15 tahun adalah dua atau tiga tahun lebih tinggi berbanding pelajar sama di Australia, Amerika Syarikat dan Eropah.

“Ia memberi kesan besar. “Selain kuasa ekonomi, pencapaian tinggi dalam pendidikan juga berpindah dari Barat ke Timur,” katanya.
Kajian sama mendapati, pelajar di Korea Selatan setahun lebih ke depan berbanding pelajar AS dan Kesatuan Eropah dalam kemahiran membaca, selain tujuh bulan lebih maju berbanding Australia.

Penilaian dibuat menggunakan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa ditetapkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang berpangkalan di Paris, Perancis.
Piawaian OECD menjadi penanda aras antarabangsa dalam bidang pendidikan.

Kajian mendapati, banyak negara OECD meningkatkan pembiayaan untuk sekolah sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, ia sering mengecewakan dan kejayaan tidak semestinya terhasil dengan perbelanjaan lebih banyak wang.

Sekolah Australia, misalnya, menikmati peningkatan perbelanjaan besar beberapa tahun lalu tetapi prestasi pelajar masih tercicir, manakala Korea Selatan meningkat walaupun peruntukan untuk pelajar lebih rendah berbanding purata OECD.

“Ia adalah hasil budaya yang bersungguh-sungguh, produk ajaran Confucius dan amalan ‘ibu garang’ yang mendesak anak-anak supaya berjaya dalam pembelajaran,” kata laporan itu.

Grattan berkata, Hong Kong dan Singapura menunjukkan peningkatan ketara dalam kemahiran membaca sepanjang dekad lalu, manakala ujian dijalankan tidak kondusif untuk hafalan kerana ia memerlukan pelajar menyelesaikan masalah.

Sistem terbaik, kata Grattan, memberi fokus berterusan kepada pembelajaran dan pendidikan guru berbanding perbelanjaan besar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...