Thursday 9 February 2012

4 lembaga pengarah Yahoo letak jawatan



YAHOO! mengumumkan pengunduran beberapa ahli Lembaga Pengarahnya bagi memberi laluan pemulihan kepada syarikat Internet itu, yang kini sedang berusaha mendapatkan semula penguasaan pasaran serta keyakinan daripada pelabur.

Pengerusinya, Roy Bostock mengumumkan beliau bersama tiga lagi pengarah yang lama berkhidmat dengan syarikat itu akan meletakkan jawatan dalam syarikat itu, bagi memberi laluan kepada Pengarah Eksekutifnya barunya, Scott Thompson.
Yahoo! sebelum ini berusaha keras untuk mengubah penampilannya daripada hanya sebagai enjin carian internet kepada ‘syarikat media digital utama’, selepas terjejas dengan kemunculan Google.
Pengumuman pengunduran beberapa ahli Lembaga Pengarah itu adalah seminggu selepas Jerry Yang, pengasas bersama Yahoo! pada 17 tahun lalu, meletakkan semua jawatan dalam syarikat berpangkalan di California itu.

Yang, 43, antara adalah bilionair dotcom terawal, pernah menganggotai Lembaga Pengarah Yahoo!; Yahoo! Japan dan Alibaba Group Holding Ltd.

Yang memegang jawatan Ketua Eksekutif Yahoo! dari Jun 2007 hingga Januari 2009, dan dalam tempoh itu beliau dan Bostock menolak tawaran Microsoft untuk membeli syarikat itu, yang membangkitkan kemarahan di kalangan pemegang sahamnya.

Bostock dan Yang telah menjadi sasaran kemarahan pemegang sahamnya sehingga menyebabkan harga saham Yahoo! menjunam hampir separuh daripada harganya apabila pemimpin syarikat itu menolak tawaran pembelian Microsoft.
Yang kemudian menyerahkan teraju syarikat itu kepada bekas eksekutif Autodesk, Carol Bartz yang mana usahanya untuk memulihkan semula syarikat tidak kesampaian apabila beliau dipecat September lalu oleh Lembaga Pengarah, yang beliau disifatkan ‘bodoh’ selepas disingkirkan.

Bostock berkata, beliau telah memutuskan untuk tidak dipilih semula dalam mesyuarat pemegang saham akan datang, bersama tiga ahli Lembaga Pengarah lain iaitu Vyomesh Joshi, Arthur Kern dan Gary Wilson.

Beliau berkata, Lembaga Pengarah syarikat telah melantik dua Pengarah Bebas: bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Rovi Corp, Alfred Amoroso dan bekas Ketua Pegawai Operasi eBay, Maynard Webb.

Bostock berkata, kajian semula strategik terhadap Yahoo! telah mencapai ‘kemajuan yang ketara’ yang telah memasukkan pelbagai perbincangan dengan rakan kongsi berpotensi.

“Kami telah berjumpa dengan pelabur berpotensi dan mengkaji cadangan mengenai pelaburan ekuiti dalam syarikat, walaupun pada masa ini belum ada apa-apa cadangan yang disifatkan oleh jawatankuasa sebagai sesuatu yang menarik kepada pemegang saham kami,” katanya.

Bostock, menerusi suratnya kepada pemegang saham, berkata Yahoo! sedang dalam ‘perbincangan aktif’ bersama rakan kongsinya di Asia dalam menstruktur semula syarikat induknya, Alibaba Group dan Yahoo! Japan.

“Walaupun kami terus menumpukan kepada sumber yang penting bagi perbincangan ini, kami tidak berada dalam kedudukan untuk memberikan sebarang butiran lanjut atau memberi jaminan bahawa mana-mana urus niaga transaksi akan dicapai buat masa ini," katanya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...