Friday 24 June 2011

KL Gangster menuju RM11j


KEJAYAAN filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof mencatat kutipan tertinggi mencecah lebih RM10 juta membuktikan filem Melayu masih ada pasaran besar di negara sendiri jika digarap dengan baik.
KL Gangster yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 9 Jun lalu mencatat kutipan kasar RM10.6 juta untuk tempoh 14 hari sehingga kelmarin.
Dengan sambutan hangat daripada orang ramai yang terus ghairah untuk melihat karya kelima arahan Syamsul itu, menyakinkan pihak panggung yang ia mampu mencatat angka RM11 juta sehingga Ahad ini.

Malah, filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd dan dijayakan Aaron Aziz, Adi Putra, Syamsul dan Sheera Iskandar ini dijangka terus bertahan selama sebulan di pawagam walaupun satu demi satu filem baru ditayangkan seperti 3,2,1 Cinta pada 16 Jun dan semalam 23 Jun filem seram Rasuk mula menghantui pawagam dan Sekali Lagi pada 30 Jun.

Produsernya, Datuk Yusof Haslam memanjatkan kesyukuran dan rasa bangga dengan kejayaan buah tangan terbaru anaknya yang mula menunjukkan kejayaan pada hari pertama tayangan dengan angka RM1.5 juta.
Katanya, pihak panggung meramalkan KL Gangster mampu mencecah RM11 juta pada Ahad ini, bahkan menunjukkan minat untuk terus menayangkan filem ini selama sebulan berdasarkan sambutan penonton.

“Sudah tentu kejayaan ini satu kebanggaan buat saya dan Syamsul, tetapi waktu sama memberi cabaran besar kepadanya apabila orang mula memberi harapan yang lebih besar untuk karya-karyanya akan datang.

“Bermula dengan Evolusi KL Drift kemudian Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2 dan Khurafat, ia menunjukkan peningkatan dari satu anak tangga buat Syamsul.

“Selepas ini filem Aku Bukan Tomboy akan ditayangkan pada 11 November manakala filem Jalan Kembali sudah selesai penggambaran dan sedang dalam proses suntingan.

“Syamsul kini dalam persiapan memulakan penggambaran KL Gangster 2 yang dijangka selepas hari raya nanti. Kali ini Syamsul hasilkan prekuel mengenai kisah Malik lakonan Aaron sebelum menjalani hukuman penjara dan mengapa dimasukkan ke penjara. Semuanya akan dikupas nanti,” katanya.

Jika Syamsul muncul dengan watak jahat sebagai Shark dalam KL Gangster, Yusof hanya ketawa apabila dicadangkan membuat penampilan khas sebagai ketua gangster dalam sambungannya nanti.

Katanya, ia satu idea menarik dan mungkin akan dipertimbangkan.

Mengenai rahsia kejayaan KL Gangster, Yusof mengatakan asas paling utama sudah tentu genre dihasilkan sememangnya menjadi tarikan penonton dan lebih penting lagi adalah kualitinya dan promosinya.

“Apa yang mengharukan saya adalah sambutan yang diberikan penonton sebaik saja cerita berakhir kerana mereka akan bertepuk tangan. Ini sesuatu yang jarang berlaku kepada filem Melayu.

“Lebih membanggakan saya ialah filem ini bukan saja diminati kalangan penonton Melayu, malah pelbagai kaum apabila ramai Cina dan India turut pergi menonton,” katanya.

2 comments:

Anonymous said...

Syok tak citernya? ada sape-sape dah tengok bak komen cikit !!!!!

GREATER said...

kalau sudah RM11 juta misti best citernya nie

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...