Monday 19 March 2012

TM maju sistem kabel gentian optik dasar laut kedua



TELEKOM Malaysia Bhd (TM) akan memajukan satu lagi projek mega dalam industri telekomunikasi negara apabila merancang membina sistem kabel gentian optik dasar laut utama yang kedua menghubungkan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, tahun depan. 

Perancangan projek kabel dasar laut merentasi Laut China Selatan yang terbaru itu membuktikan komitmen TM mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab IP serantau dan TM sebagai hab pertukaran maklumat utama Asia ke peringkat global.
Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa, berkata ia dirancang bagi meningkatkan kapasiti trafik data TM ke Sabah dan Sarawak yang sebelum ini disokong oleh Sistem Gentian Optik Bumi Trans Borneo.
Katanya, perancangan itu selaras dengan pelan meningkatkan keupayaan saluran data dan protokol internet (IP) TM ke Sabah dan Sarawak yang turut membabitkan langkah menaik taraf sistem utama kabel dasar laut sedia adanya serta kabel penghubung ke kawasan liputan kepada gentian optik. 

“Semua rancangan menaik taraf kabel kami sudah bermula, apabila semua sistem kabel utama dasar laut berkapasiti tinggi ini bersedia kelak, ia akan memudahkan kami memajukan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di kawasan ekonomi berimpak tinggi di Sabah dan Sarawak. 

“Secara asasnya semua kabel dasar laut utama di Sabah dan Sarawak ini sudah menggunakan gentian optik, cuma kabel saluran keluarnya saja masih belum ada gentian optik, jadi bagi cabang keluar ini kami mungkin akan utamakan lokasi seperti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlebih dulu. 

“Kos pembangunan dan pelan sistem kabel dasar laut kedua ini masih belum dimuktamadkan kerana ia akan dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada media, dalam temubual eksklusif di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
Kini, sambungan kabel utama gentian optik dasar laut peringkat global TM adalah meliputi ke Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Hong Kong dan Singapura. 

Tahun lalu TM membelanjakan 1.4 bilion bagi pembangunan projek HSBB lebih rendah berbanding sekitar RM1.6 bilion hingga RM1.8 bilian yang dibelanjakan pada 2010, dengan perkongsian pelaburan kerajaan kira-kira 50 peratus.

Katanya, tahun ini TM memperuntukkan sekitar 1.3 bilion hingga 1.5 bilion untuk pembangunan HSBB atau lebih dikenali sebagai UniFi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...