Friday 2 March 2012

Pembinaan insinerator di KL melalui tender terbuka



LENGGONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan supaya tawaran pembinaan insinerator di Kuala Lumpur dengan jangkaan kapasiti antara 800 tan dan 1,000 tan sampah dibuka secara tender terbuka kepada kontraktor tempatan dan luar negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata pembinaan insinerator itu bagi menampung keperluan pelupusan sisa pepejal yang semakin mendesak di ibu negara dan kontraktor yang mempunyai keupayaan dalam teknologi berkenaan boleh menghantar tender serta kertas cadangan mereka kepada kerajaan.
"Perdana Menteri telah menetapkan supaya tawaran (pembinaan insinerator) diberi secara tender terbuka. Kita beritahu sedunia, kita mahu kriteria yang kita mahukan, jadi sila hantar tender. Kita akan kaji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Medan Selera Dataran Lenggong di sini hari ini.
Beliau berkata apabila semua tender diterima dan ditutup, pakar yang berkenaan akan mengkaji semula tawaran kontraktor bagi mengenal pasti teknologi yang terbaik dan meneliti kos pembiayaan.

Katanya berdasarkan lawatannya ke dua negara, pembinaan insinerator bagi pelupusan sampah yang berada tidak jauh dari bandar dengan kapasiti 800 tan hingga 1,000 tan sampah sehari memerlukan kos pembiayaan tidak kurang RM500 juta.

Beliau berkata penggunaan insinerator berteknologi tinggi seperti yang diguna pakai di Korea Selatan, Jepun dan Singapura didapati tidak akan memberi kesan tidak sihat kepada rakyat.

Chor berkata setakat ini negara mempunyai empat insinerator iaitu di Langkawi, Tioman, Pulau Pangkor dan Cameron Highlands manakala insinerator di Labuan akan dibina tidak lama lagi.
Beliau turut berharap kerajaan negeri Perak akan menyertai pengurusan sisa pepejal yang diuruskan oleh kerajaan Persekutuan supaya mempunyai satu sistem mampan.

Pada 20 September tahun lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri akan berunding dengan kementerian itu bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu pengurusan sisa pepejal kerana ada beberapa terma mengenai perkara teknikal yang ditetapkan kerajaan negeri tidak secocok dengan terma-terma penswastaan.

Dalam perkembangan lain, Chor berkata kementeriannya memperuntukkan RM26.25 juta kepada pihak berkuasa tempatan negeri Perak bagi tahun ini termasuk melalui Geran Tahunan dan Sumbangan Membantu Kadar bagi tujuan pelaksanaan 124 projek.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...