Saturday 10 March 2012

Malaysia cukup solar


BARU-BARU ini, Panasonic Energy Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) iaitu syarikat penghasilan solar Panasonic Corporation yang ditubuhkan di Malaysia pada Disember 2011 mengadakan majlis pecah tanah dan pertukaran Perjanjian Sewaan Tanah dengan kerajaan negeri Kedah.
Ia menyaksikan Panasonic menghasilkan kemudahan prasarana penghasilan solar baru yang akan dibina secepat mungkin selain berhasrat dapat memulakan operasinya menjelang Disember 2012.
Prasarana itu yang dinamakan Pusat Solar Bersepadu, pertama dibina di Asia (luar Jepun) bakal mengeluarkan produk menyeluruh berkaitan solar yang belum pernah diteroka mana-mana syarikat sebelum ini.

Pusat Solar Bersepadu yang bakal dibina di Taman Teknologi Kulim itu mampu menghasilkan Panasonic Heterojunction Dengan Lapisan Nipis Pada Dasarnya (HIT) iaitu modul solar yang menawarkan kecekapan penukaran cahaya kepada sumber elektrik.


Ia secara tidak langsung memberi ciri cemerlang bagi pergantungan suhu yang dapat memastikannya lebih berkuasa walaupun ketika musim panas yang menyerap tenaga solar pada suhu tinggi.

Panasonic memilih Malaysia sebagai pangkalan baru berdasarkan sokongan kerjasama pelaburan negara ini serta prasarana yang baik dan kualiti tenaga kerja cemerlang.

Pusat Solar Bersepadu baru ini akan melaksanakan penghasilan wafer solar bersepadu, sel solar dan modul dengan anggaran kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 300 megawatt (MW).

Serentak itu, Panasonic akan melabur RM1.84 bilion dalam membangunkan kemudahan ini.

Dengan peningkatan kesedaran alam sekitar di peringkat global dan pengenalan sistem subsidi serta skim Feed-in-Tariff (FiT) di pelbagai negara, pasaran solar dijangka meningkat.

Permintaan yang kukuh dijangka berkembang dalam sektor kediaman yang menjadi sasaran utama bagi modul solar Panasonic HIT.

Presiden Panasonic, Masato Ito berkata, sebaik saja kemudahan penghasilan baru ini bermula, kapasiti pengeluaran syarikat itu akan menjadi 1.5 kali lebih besar berbanding sekarang.

“Dengan adanya kemudahan asas ini, kami berharap dapat meneruskan sumbangan kepada pembangunan Malaysia, seterusnya mengembangkan perniagaan kami di peringkat global,” katanya.

Pusat Solar Bersepadu terbabit mendapat sokongan padu kerajaan negeri yang mengharapkan penggunaan solar dapat dimanfaatkan masyarakat Kedah.

Exco Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Kulim Technology Park Corporation, Datuk Amiruddin Hamzah memaklumkan, lokasi yang dipilih Panasonic bersesuaian bagi penggunaan solar yang membantu teknologi hijau pada masa depan.

“Dengan peningkatan kesedaran alam sekitar, jangkaan terhadap penjanaan tenaga solar akan meningkat di seluruh dunia.

Berdasarkan hubungan rapat dan mesra yang terjalin dengan Panasonic Corporation, negeri Kedah dan kerajaan Malaysia akan menyokong perniagaan solar dan pangkalan penghasilan baru ini,” katanya.

Pangkalan baru ini bukan saja membantu Panasonic meningkatkan pengeluaran modul solar dan memenuhi permintaan pasaran, tetapi ia juga mengukuhkan kos daya saing dengan menyediakan pengeluaran wafer, sel dan modul bersepadu Panasonic yang pertama bagi syarikat itu.

Panasonic bukan hanya memasarkan modul solar saja tetapi turut disertakan dengan sistem penyimpanan bateri dan pelbagai peranti lain.

Tambahan lagi, Panasonic akan mempercepatkan pembangunan perniagaan solar secara global dengan kerjasama Penyelesaian Perniagaan Tenaga Komprehensif yang turut didatangkan bersama kumpulan syarikat Panasonic.

Pengarah Urusan Panasonic Asia Pasifik, Yorihisa Shiokawa berkata, Panasonic memberi fokus kepada perniagaan tenaga global yang kompetitif.

“Kami mendapati harga untuk produk berkaitan solar kini menurun di peringkat global dan ia sepatutnya dimanfaatkan masyarakat negara ini untuk mendapatkan tenaga alternatif yang berkos kompetitif,” katanya.

Beliau memaklumkan, Panasonic bakal menawarkan penyelesaian bersepadu bagi tenaga solar termasuk produk rumah yang secara tidak langsung memberi manfaat bagi penggunaan tenaga mesra alam.

“Ketika dunia tercari-cari penggunaan tenaga baru, solar adalah penyelesaian terbaik manakala Malaysia juga mempunyai pancaran matahari yang cukup,” kata Shiokawa.

Yoshikiwa turut memaklumkan, penyelesaian Panasonic lebih tertumpu kepada penggunaan bagi kawasan kediaman biasa berbanding rumusan China yang lebih mementingkan penggunaan industri berskala besar.

“Panasonic memahami keperluan rumah amat penting bagi pengguna biasa,” katanya.
Majlis pecah tanah pangkalan solar Panasonic dirasmikan wakil Menteri Besar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Rasul.


Cahaya solar ke atmosfera bumi

Cahaya matahari yang memancar ke atmosfera bumi menghasilkan kira-kira 1,366 watt semeter persegi (W/m2).

Bagaimanapun, faktor seperti latitud, musim tahunan dan cuaca akan mengurang�kan perolehan tenaga pada paras bumi.

Apabila bergerak merentasi atmosfera, enam peratus sinaran matahari akan dipantulkan manakala 16 peratus lagi diserap lalu menghasil�kan sinaran puncak pada khatulistiwa yang berukuran 1,020 W/m� sebelum keadaan atmosfera purata (awan, debu atau pencemaran) mengurang�kan jumlah cahaya pada kadar 20 peratus melalui pantulan dan tiga peratus melalui penyerapan.

Keadaan atmosfera bukan saja mengurangkan jumlah cahaya yang mencapai permukaan bumi tapi juga mempengaruhi kualiti melalui penyerakan cahaya dan pengubahan spek�trumnya.

Contohnya, di Amerika Utara, proses cahaya yang dinamakan penyuriaan purata berukuran antara 125 dan 375 W/m� iaitu kuasa yang boleh diperoleh dan bukan kuasa yang dibekalkan.

Panel fotovolta pada masa kini mengubah kira-kira 15 peratus cahaya matahari secara terus kepada elektrik, maka panel matahari di Amerika Syarikat mengeluarkan secara purata 19 ke 56 W/m� atau 0.45-1.35 kWh/m�/hari.

Hanya sedikit kebimbangan timbul iaitu masalah kekaburan, satu kesan pencemaran yang menyebabkan hanya sedikit cahaya matahari dipancarkan ke permukaan bumi.

Ia berkait rapat dengan pencemaran zarah dan pemanasan global serta kebanyakan kerisauan pada isu perubahan iklim sejagat tapi mencetuskan kebimbangan penyokong tenaga matahari kerana potensi kekurangan tenaga matahari yang ada pada masa hadapan.


Penggunaan solar di Malaysia

Solar yang juga termasuk dalam kategori sumber tenaga diperbaharui, antara lain boleh diperoleh menerusi penggunaan cahaya matahari dengan memasang panel solar seperti kaca di bangunan industri, komersial, perumahan dan bangunan awam.

Panel itu berfungsi menghasilkan bekalan elektrik untuk menggerakkan peralatan dalam unit kediaman atau bangunan berkenaan.

Umum mengetahui bekalan tenaga elektrik di unit kediaman atau bangunan komersial ketika ini dibekalkan stesen atau loji tenaga kuasa yang kebanyakannya berasaskan minyak sebagai penjana utamanya.

Setakat ini, tenaga solar adalah pilihan terbaik dalam mendapatkan sumber tenaga alternatif di negara kita yang sememangnya terkenal sebagai negara yang mempunyai sumber cahaya matahari yang banyak.

Bagaimanapun, galakan peng�gunaannya boleh dimulakan dengan memberi penumpuan khusus kepada beberapa projek hartanah dan komersial yang lestari bagi memperkenal�kan konsep perumahan atau bangunan yang menggunakan tenaga solar di Malaysia.

Usaha berkenaan perlu dilakukan secara kolektif, sama ada daripada kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak swasta kerana kelebihan menggunakan tenaga solar ini memberi manfaat kepada semua pihak.

Antara usaha yang boleh dilakukan kerajaan termasuk memperkenalkan dasar yang jelas dan PBT memberi insentif dalam bentuk pengurangan dari segi cukai pintu kepada kediaman atau bangunan berasaskan ‘kediaman hijau’ atau ‘bangunan hijau’.

Pelaksanaan mekanisme tarif pembayaran bagi janakuasa tenaga boleh diperbaharui atau FiT di bawah Akta Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) yang diwartakan, dijangka turut membantu meningkatkan lagi penggunaan tenaga solar di dalam negara.

Pelaksanaan mekanisme FiT menerusi Akta Tenaga Boleh Diperbaharui itu diumumkan kerajaan pada Bajet 2011 lalu bagi membolehkan bekalan elektrik yang dihasilkan premis perumahan dan penyedia bebas dijual kepada syarikat utiliti bekalan elektrik seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Melalui undang-undang tenaga diperbaharui itu, individu yang menjana tenaga solar ini akan mendapat pulangan sehingga lima kali ganda tenaga elektrik yang dijual kepada TNB dan pembayaran ini dijamin kerajaan selama 21 tahun.

Ia turut mampu diperluaskan meliputi kawasan sesebuah pekan seperti yang diamalkan di Jepun yang menyaksikan penghuni di kawasan itu menggunakan kuasa solar sepenuhnya dalam mendapat�kan bekalan elektrik dengan menggunakan sistem solar yang disambungkan ke grid tenaga luar.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...