Friday 9 March 2012

P1 peruntuk RM900j jayakan pelan evolusi


PACKET One Network (Malaysia) Sdn Bhd (P1), penyedia perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar 4G WiMAX pertama di Malaysia, memperuntukkan sehingga RM900 juta bagi perbelanjaan modalnya dalam tempoh tiga tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Michael Lai berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan pelan evolusi syarikat berkenaan, P1 2.0 Evolution yang menyasarkan melonjakkan P1 untuk muncul sebagai antara syarikat telekomunikasi terunggul di negara ini.

“Sepanjang tempoh itu, P1 2.0 Evolution memberi penekanan terhadap tiga elemen utama iaitu menawarkan pakej ‘Best of Both Worlds (BBW)’, memperkenalkan teknologi 4G Time Division Long Term Evolution (TD LTE) serta menyediakan produk yang mampu meningkatkan kecekapan pelanggant,” katanya pada taklimat media di Petaling Jaya, semalam.
Lai menjelaskan pakej BBW akan dilancarkan akhir bulan ini, dan P1 adalah satu-satunya syarikat telekomunikasi di Malaysia yang menawarkan jalur lebar gentian optik bersama dengan perkhidmatan tanpa wayar 4G.

“Kombinasi eksklusif ini direka bagi memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi di lokasi tetap, pada masa sama masih memerlukan kemudahan jalur lebar tanpa wayar 4G apabila mereka keluar,” katanya.

Tambahnya, memandangkan permintaan bagi jalur lebar mudah alih semakin tinggi, P1 juga mengambil peluang untuk menyediakan teknologi 4G TD LTE iaitu satu standard teknologi antarabangsa bagi telekomunikasi 4G generasi seterusnya menjelang 2013.

“TD LTE menjanjikan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan terpantas yang akan mengubah cara pengguna melihat penggunaan data mudah alih seterusnya mewujudkan peluang kepada pemaju aplikasi inovatif dan usahawan untuk memasuki pasaran,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...