Latest

Loading...

Friday, 16 March 2012

Fasa kedua jalur lebar negara


KUALA LUMPUR 14 Mac - Telekom Malaysia Bhd (TM) akan memulakan fasa kedua pemasangan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) bermula 2013 yang memfokuskan kawasan-kawasan tumpuan aktiviti ekonomi baharu serta ibu-ibu negeri seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (TM), Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, pemasangan di fasa kedua itu berdasarkan permintaan di sesuatu lokasi dan ia berbeza dengan fasa pertama sebelum ini yang dipasang secara menerus ke kawasan tumpuan ekonomi.

Katanya lagi, fasa kedua itu juga akan dibiayai oleh TM berbanding sebelum ini yang dibiayai kerajaan menerusi usahasama awam swasta (PPP) yang akan selesai pada penghujung tahun ini.

"Kami masih belum merancang sepenuhnya fasa kedua ini, syarikat terlebih dahulu akan menilai keperluan dan permintaan data (Internet) di sesuatu kawasan tersebut sebelum memasangnya," katanya kepada pemberita pada majlis memeterai perjanjian kerjasama antara TM dan REDtone Marketing Sdn Bhd (REDtone) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang, Pengerusi TM, Datuk Dr. Halim Shafie,

Pengerusi REDtone International Bhd., Datuk Ibrahim Che Mat, Timbalan Pengerusi REDtone International Bhd, Datuk Wira Syed Ali Syed Abbas Alhabshee, Pengarah Urusan REDtone International Bhd, Datuk Wei Chuan Beng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone, Lau Bik Soon dan Ketua Pegawai Kewangan TM, Datuk Bazlan Othman.

Kata Zamzamzairani lagi, pada fasa pertama, pemasangan perkhidmatan HSBB lebih ditumpukan ke kawasan-kawasan yang menyumbang kepada 70 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti Lembah Klang, Iskandar, Johor dan Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.

Jelas beliau lagi, syarikatnya sentiasa mempelawa mana-mana syarikat telekomunikasi yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan TM bagi meluaskan perkhidmatan HSBB.

REDtone merupakan syarikat keempat selepas Maxis, Celcom dan P1 yang menjalinkan kerjasama tersebut. Menurut perjanjian itu, TM akan menyediakan perkhidmatan HSBB (akses dan transmisi) kepada Redtone sekali gus membolehkan mereka mempunyai akses kepada 1.3 juta premis yang menerima liputan HSBB di seluruh negara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...