Saturday 10 March 2012

Dua unit Tarbin Penjana TNB bernilai RM80 juta dibina di Kubota


TAWAU: Dua unit Tarbin Penjana TNB bernilai RM 80 juta yang dibina di Kubota di sini dijangka akan menambah keupayaan janaan bekalan elektrik daripada kira-kira 65 megawatt ketika ini, hinggalah kepada 130 megawatt.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Datuk Pang Yuk Ming berkata, tambahan janaan bekalan itu juga akan meningkatkan kadar simpanan bekalan elektrik di daerah ini, sebaik ia beroperasi pada Ogos depan.

Menurutnya, set janakuasa yang sedia ada ketika ini hanya mampu menjana bekalan elektrik di antara 50 hingga 65 megawatt, yang diakibatkan oleh masalah enjin yang terlalu lama dan tidak efisyen.

Dengan adanya kedua-dua unit tarbin itu katanya, bekalan elektrik bakal dapat dijana melebihi keperluan pengguna, yang dijangka meningkat kepada 80 hingga 90 megawatt, hasil pembangunan yang kian pesat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Mengenai Peningkatan Kapasiti Penjanaan Di Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, beliau yang kemudiannya turut mengadakan lawatan ke tapak pembinaan janakuasa di Kubota turut menyatakan bahawa pembinaan tersebut tidak akan menjejaskan penduduk berhampiran.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh SESB ujarnya, kadar pencemaran bunyi dan gegaran di kawasan itu akan berada di tahap yang rendah, sekaligus tidak akan menjejaskan penduduk di sekitarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SESB, Ir. Abd Razak Salim berkata, pembinaan janakuasa tarbin itu adalah antara terkandung di dalam pelan jangka sederhana SESB bagi menangani pertambahan permintaan pengguna.

Ia katanya akan dapat memenuhi keperluan sementara menunggu Projek Stesen Janakuasa LNG di Lahad Datu siap beroperasi pada 2015.

Hadir sama ialah Pengurus SESB Zon Tawau, Rudy Thaddeus.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...