Wednesday 14 March 2012

20 aplikasi percuma


MAXIS Berhad (Maxis), penyedia perkhidmatan telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia terus komited memperkaya lagi pengalaman pelanggannya apabila memperkenalkan 20 aplikasi eksklusif untuk digunakan di atas pelbagai platform telefon pintar termasuk iPhone, Android dan tablet.
Aplikasi ini boleh dipindah turun secara percuma daripada Maxis Apps di alamat maxis.com.my/apps atau boleh terus ke Apps Store atau Android Market.

Naib Presiden dan Ketua Produk, Peranti, Inovasi & Perayauan Maxis, T Kugan berkata, semua aplikasi yang dibangunkan dan diperkenalkan sesuatu yang sangat berkaitan dengan kehidupan seharian mereka.
“Antara yang popular ialah Maxis Movies yang dipindah turun lebih 150,000 pelanggan. Ia memudahkan pelanggan yang kaki wayang, yang bukan sekadar mendapat maklumat mengenai filem malah boleh menempah terus tiket menggunakan telefon bimbit mereka. “Lebih menguntungkan lagi bagi pengguna apabila mereka mendapat satu tiket percuma dengan setiap belian satu tiket,” katanya pada majlis Jelajah Pengalaman Media Maxis Apps di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Kugan, semua aplikasi terbabit dibangunkan rakyat tempatan kecuali PayPal yang bukan saja memiliki aplikasi sendiri, tetapi turut menjadi pihak ketiga bagi penggunaan aplikasi membabitkan transaksi kewangan seperti Maxis Movies. Walaupun tidak mengulas mengenai jumlah pembangun aplikasi tempatan yang terbabit setakat ini, Maxis komited memupuk pertumbuhan kandungan tempatan dengan kerjasama pemaju aplikasi tempatan.

Kugan berkata, 31 peratus pelanggan Maxis menggunakan telefon pintar, 35 peratus lebih gemar menggunakan aplikasi mudah alih dan 65 peratus menggunakan web mudah alih.
“Maxis memiliki lapan juta pelanggan Internet mudah alih yang dicatatkan pada 31 Disember 2011. Pendapatan Maxis dari perkhidmatan bukan suara ialah 43.5 peratus. Itu menunjukkan pelanggan lebih gemar mencapai Internet menggunakan peranti mudah alih. Dan Maxis Apps nilai tambahan yang menjadikan pengalaman mudah dan menarik,” katanya lagi.

Selain Maxis Movie, turut diperkenalkan semalam ialah Maxis F1, Maxis Customer Service, Maxis BPL, Maxis Roam, Maxis One Music, Maxis PayPal, Maxis Mobile Speed Test, Maxis Holidays, Maxis Currency Converter, Maxis Rewards, Maxis QR dan FINDER301.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...