Wednesday 3 August 2011

Risda sedia perkasakan industri getah Sabah



KOTA MARUDU 2 Ogos — Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sedia memainkan peranan penting untuk membantu memperkasakan pembangunan industri getah di Sabah, terutama memajukan tanah pekebun kecil.
Pengerusi Risda Holding Sdn. Bhd. Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, Sabah memerlukan satu mekanisme yang lebih dinamik untuk memperkasakan industri getahnya dan Risda mempunyai pengalaman dan kepakaran untuk membantu mencapai matalamat itu.
"Pihak kami (Risda) telahpun membuat tinjauan ke seluruh negeri dan memperoleh maklumbalas positif daripada para pekebun kecil getah terhadap program dan rancangan pembangunan Risda.
"Ramai pekebun kecil getah di negeri ini berminat untuk mendapatkan bantuan Risda bagi membangunkan tanah-tanah mereka.
"Untuk tujuan itu, 48,000 hektar kebun getah individu di Sabah akan terlibat secara langsung melalui 14 program pembangunan yang akan dilaksanakan Risda di Sabah," katanya kepadaBernama di sini.
Program pembangunan itu termasuk pembangunan tanah dan tanam semula, iaitu bantuan menanam semula menggantikan getah tua dengan klon getah bermutu tinggi.
Selain itu, program tersebut juga meliputi usaha mempelbagaikan sumber pendapatan para pekebun kecil getah melalui industri kampung dan penempatan hasil, selain program latihan sawit pekebun kecil.
"Risda sedia menimbang permohonan daripada para pekebun kecil yang memiliki tanah berstatus CL (commercial lease) dan LA (land application, terutama sekali yang memperolehi communal grant," katanya.
Menurut Pengerusi Risda Holding itu, Sabah mempunyai kawasan tanaman getah seluas 70,000 hektar.
Terdahulu, Abdul Rahim, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Manis, merasmikan mesyuarat agung kedua Koperasi Pekebun Kecil Bumiputra Sabah Berhad (Kospeb), Kota Marudu.
Dalam ucapannya, beliau meminta kepimpinan Kospeb merancang aktiviti perniagaan yang lebih kreatif serta berdaya saing bagi mempelbagaikan sumber pendapatan koperasi serta meningkatkan taraf hidup para anggota.
"Kospeb perlu mengeksploitasi segala potensi dalam industri getah, termasuklah menceburi aktiviti penghasilan produk-produk yang mempunyai nilai tambah berasaskan hasil kayu getah seperti alat perabot dan papan nipis.
Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kospeb juga perlu memainkan peranan aktif untuk membantu mengeluarkan masyarakat luarbandar daripada belenggu kemiskinan, katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...