Saturday 13 August 2011

Hong Leong kena jual satu lesen bank



HONG Leong Bank Bhd yang mengambil alih aset dan liabiliti EON Capital Bhd (EONCap) membabitkan urus niaga bernilai RM5.06 bilion Mei lalu, kini mempunyai pilihan sama ada menjual lesen bank pelaburan milik MIMB Investment Bank Bhd, anak syarikat EONCap kepada Hong Leong Investment Bank atau pihak lain.
Penjualan itu perlu bagi memenuhi syarat perbankan di negara ini yang hanya membenarkan setiap institusi perbankan mempunyai satu lesen bank pelaburan. Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Yvonne Chia, berkata pihaknya kini mempunyai dua lesen bank pelaburan berikutan pengambilalihan EONCap itu.
“Ketika ini kami mempunyai pilihan menjualkannya kepada Hong Leong Investment. Pada masa sama kami juga mempunyai beberapa pihak yang berminat untuk membelinya. Bagaimanapun saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai hal ini,” katanya selepas majlis pelancaran penukaran cawangan EON Bank kepada Hong Leong Bank di Kuala Lumpur, semalam.

Penukaran cawangan itu menandakan selesainya proses integrasi 145 cawangan EON Bank kepada Hong Leong Bank, sekali gus menjadikan Hong Leong Bank sebagai bank kedua terbesar dari segi rangkaian di negara ini dengan mempunyai 329 cawangan dan lebih 1,400 terminal layan diri.

Pengambilalihan EONCap oleh Hong Leong menyaksikan MIMB Investment Bank. EON Bank Bhd dan EONCAP Islamic Bank Bhd menjadi sebahagian daripada Hong Leong Group, sekali gus meningkatkan kedudukan Hong Leong Bank sebagai kumpulan perbankan keempat terbesar di Malaysia dengan jumlah asetnya yang mencecah RM140 bilion.
Mengenai integrasi perniagaan perbankan Islamnya, Chia berkata, pihaknya bakal mengumumkan proses integrasi antara Hong Leong Islamic Bank dan EONCAP Islamic Bank dalam tempoh terdekat.

“Proses integrasi perniagaan bagi perbankan Islam itu tidak boleh dilakukan sama seperti yang dilaksanakan untuk bank konvensional kerana kedua-dua entiti itu mempunyai undang-undang dan lembaga pengarahnya yang berasingan,” jelasnya.

Sementara itu, Chia berkata, pihaknya mengambil masa tidak sampai 100 hari untuk menyelesaikan proses integrasi semua cawangan EON Bank kepada Hong Leong Bank.

Bersempena pencapaian itu, bank itu melancarkan kempen empat bulan bertemakan ‘Lebih Baik Bersama 329 Cawangan’ dengan menawarkan pelanggannya dari setiap cawangan peluang memenangi hadiah utama deposit akaun simpanan dengan kadar faedah 329 peratus setahun.

Kempen yang akan berakhir pada 30 November ini itu turut menawarkan hadiah lain termasuk 329 unit set televisyen paparan kristal cecair dan 32,900 baucar wayang bagi para pelanggan kad kredit.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...