Thursday 4 August 2011

Gentian optik hubung 2 negara




KUALA LUMPUR 3 Ogos - Symphonet Sdn. Bhd., (Symphonet), syarikat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menjalin kerjasama dengan PT Interkoneksi Internet Indonesia (3i) untuk membangun dan membina sistem kabel fiber optik lebih 20 terabit sesaat menghubungkan selatan Malaysia dengan Indonesia.
Di bawah usahasama itu, kedua-dua syarikat terbabit akan membangun, membina, memiliki, menjalankan operasi dan mengekalkan sistem kabel dasar laut dengan sambungan kepada lokasi-lokasi dan titik hubung antarabangsa seperti Los Angeles, London, Hong Kong dan Timur Tengah.
Kabel dasar laut itu akan dibina melalui laluan antara Johor dan Jakarta dengan cawangan ke Singapura, Batam, Jambi, Pulau Bangka dan India yang akan dikenali sebagai Sistem Kabel Johor-Jakarta (JJCS), selepas nama konsortium.
Ketua Pegawai Eksekutif Symphonet, Datuk Baharum Salleh (gambar) berkata, konsortium itu sudah bersedia untuk melaksanakan projek yang dijangka mengambil masa selama setahun.
''Kami berhasrat untuk mengambil potensi pertumbuhan data, suara dan pasaran jalur lebar di Indonesia dan negara-negara jiran,'' katanya.
Katanya, JJCS akan menyediakan keperluan akses terus dan laluan berbeza-beza antara Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Laluan berbeza itu akan mengelak beberapa kawasan-kawasan gangguan gempa bumi dan syarat-syarat berbahaya untuk kabel-kabel dasar laut.
Sistem kabel itu sepanjang 1,200 kilometer dan akan menggunakan teknologi Dense Wavelength Division Multiplexing dengan kapasiti rekaan 30Tbps.
Perkhidmatan itu dijadualkan bermula pada suku keempat 2012 dan direka untuk menyokong permintaan tinggi bagi internet, data, video dan trafik suara.
''Ia adalah masa terbaik memandangkan syarikat-syarikat telekomunikasi serantau menunjukkan permintaan untuk laluan alternatif tambahan ke Indonesia, Eropah, Timur Tengah, China dan Amerika Syarikat,'' tambah Baharum.
Menurut beliau, peruntukan sambungan terus ke Johor akan memberi peningkatan kepada Iskandar sebagai hab selatan kepada Malaysia dan menyediakan keupayaan laluan Indonesia untuk keluar dari negara itu tanpa terlalu bergantung kepada laluan sedia ada.
''Kami gembira dengan kerjasama ini untuk memenuhi pertumbuhan permintaan kualiti tinggi bagi infrastruktur telekomunikasi berkelajuan tinggi di rantau ini khususnya untuk jalur lebar berkelajuan tinggi, IPVPN, VOIP, Skype, Google dan aplikasi rangkaian sosial lain, selain penggunaan tinggi peranti mudah alih yang mendapat permintaan tinggi,'' menurut Ernest Rares, Pengarah Urusan PT Interkoneksi Internet Indonesia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...