Monday 1 August 2011

Tidak jejas ekonomi



PUTRAJAYA 31 Julai - Malaysia masih mampu mempertahankan kedudukan ekonominya ekoran kebergantungan kepada ekonomi Asia seperti China, India dan Timur Tengah yang nyata `kebal’ dengan krisis hutang Eropah dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Pertumbuhan kukuh ekonomi China dan India serta negara-negara Timur Tengah yang merupakan rakan dagangan Malaysia menunjukkan mereka tidak terjejas dengan kesan rantaian ekonomi dari Eropah dan AS.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop optimis Malaysia masih mampu mengekalkan pertumbuhan antara lima hingga enam peratus pada tahun ini.
‘‘China diramal mencatatkan pengembangan ekonomi antara sembilan hingga 11 peratus, begitu juga India iaitu di antara lapan hingga sembilan peratus.
‘‘Pertumbuhan kukuh ini dijangka sedikit sebanyak mampu mempengaruhi ekonomi negara,’’ katanya dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Nor Mohamed dalam mengulas perkara itu percaya, masalah yang berlaku di negara-negara maju tidak akan menyebabkan dunia terjebak dalam kemelesetan ekonomi secara berganda.
Ini kerana katanya, Eropah sedang bertungkus-lumus menyelesaikan krisis hutang dan AS pula masih mampu mencatatkan pertumbuhan tetapi pada kadar yang cukup perlahan.
Menteri itu memberitahu, pertumbuhan perlahan di AS disebabkan oleh kadar pengangguran yang cukup tinggi iaitu 17 peratus.
‘‘AS kini berhadapan dengan situasi yang cukup mencabar dan masalah pengangguran menjadi ancaman kepada kuasa besar ekonomi itu,’’ ujarnya.
Mengulas masalah dan krisis yang berlaku di Eropah dan AS, beliau menyifatkan situasi kini seolah-oleh berpihak kepada benua Asia.
Sambil mengaitkan ia dengan sejarah, beliau berkata, kegemilangan ekonomi negara-negara maju sudah berakhir dan kembali kepada asal seperti yang berlaku pada kurun ke-12, 13 dan 14, yang mana menyaksikan kebangkitan rantau Asia dengan China menguasai ekonomi melalui perdagangan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...