Tuesday 22 May 2012

Yahoo jual pegangan saham Alibaba



YAHOO Inc akan menjual kembali sehingga separuh daripada pegangan saham yang dimilikinya dalam Alibaba Group, syarikat milik usahawan Internet Jack Ma, kepada syarikat China itu pada harga AS$7.1 bilion.
Susulan langkah itu, sebahagian daripada hasil jualan itu akan diagihkan kepada pemegang sahamnya.

Idea itu memerlukan tempoh perbincangan beberapa tahun antara kedua-dua syarikat itu dalam pemilikan Alibaba membabitkan sebahagian atau seluruh 40 peratus saham firma e-commerce China yang dibeli Yahoo pada 2005 dengan kos AS$1 bilion.

Di bawah perjanjian itu, Yahoo akan menjual separuh sahamnya dalam Alibaba bagi sekurang-kurangnya AS$6.3 bilion secara tunai dan sehingga AS$800 juta bagi saham terpilih baru Alibaba.

Kepentingan Yahoo dalam Alibaba, yang mana dimilikinya secara bersama Softbank Corp, dianggap aset berharga bagi syarikat internet di Amerika Syarikat (AS).

Sesetengah pelabur menyarankan supaya Yahoo mencairkan aset pegangannya itu dan memulangkan hasilnya kepada pemegang sahamnya. 
Yahoo dalam kenyataannya berkata, ia akan memulangkan ‘sebahagian besar daripada semuanya’ hasil tunai selepas cukai yang diraihnya itu kepada pemegang sahamnya.


Yahoo berkata, ia akan meningkatkan rancangannya membeli balik sahamnya kepada AS$5 bilion.

Penganalisis berkata, kebanyakan daripada nilai Yahoo ‘terkunci’ dalam asetnya di Asia, justeru dengan menjualnya akan memudahkan penstrukturan pemilikannya dan menyenangkan pelabur untuk membuat penilaian mengenai operasi teras Yahoo di AS.

Sumber rapat dengan perjanjian itu berkata, Yahoo sudah menyediakan insentif kepada Alibaba Group, pemilik ruang pasaran dalam talian popular China iaitu Taobao, untuk mengadakan tawaran awam permulaan menjelang akhir 2015.

Ia menyenaraikan unit Alibaba.com Ltd pada 2007.

Yahoo, yang merosot pendapatannya lebih 20 peratus tahun lalu, membawa masuk bekas Presiden PayPal, Scott Thompson sebagai Ketua Eksekutifnya pada Januari, lima bulan selepas Carol Bartz dipecat. 

Namun begitu, Thompson meletak jawatan awal bulan ini selepas beliau menokok tambah biografi miliknya dengan menyatakan beliau memiliki Ijazah Sains Komputer. Ross Levinsohn kini pemangku Ketua Eksekutifnya.

Yahoo dikritik kerana kegagalannya mengambil tindakan agresif sejak beberapa tahun lalu untuk mengembalikan keuntungan dalam pendapatan pengiklanannya bagi menghadapi saingan Google Inc dan Facebook.

Ma sebelum ini mencuba beberapa kali untuk membeli semula 40 peratus kepentingan dalam syarikat miliknya itu daripada Yahoo namun ditolak.

Hubungan yang rapuh di antara kedua-dua syarikat itu mencapai kemuncaknya tahun lalu apabila timbul laporan Alibaba menyerahkan Alipay, antara set berharga Alibaba kepada syarikat yang dikawal Ma, tanpa pengetahuan Yahoo

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...