Friday 18 May 2012

Malaysia sekali lagi pilihan Kaspersky


PENERAJU utama pembangunan perisian keselamatan kandungan dunia, Kaspersky Lab membuka Pusat Pengetahuan Serta Keselamatan Sistem Maya pertama di Asia Pasifik di Petaling Jaya, Selangor.
Ia dibuka di ibu pejabat Kaspersky Malaysia di Petaling Jaya yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai kepentingan pemeliharaan persekitaran teknologi maklumat (IT) mereka.

Pengarah Rangkaian Jualan Asia Tenggara Kaspersky Lab, Jimmy Fong berkata, pemilihan Malaysia sebagai lokasi utama di rantau ini dilakukan berikutan kehadiran kukuh syarikat itu di negara ini yang bertapak sekian lama.
“Malaysia sesuai bagi pembangunan pusat pengetahuan kerana industri IKS di negara ini juga mampu pergi jauh,” katanya ketika melancarkan pusat terbabit di Petaling Jaya. Ia turut dihadiri Pengarah Jualan Korporat APAC Kaspersky Lab, Gun Suk Ling.

Sementara itu, Gun berkata, pusat itu menawarkan pengetahuan berkaitan perlindungan komprehensif menerusi pendekatan strategik bagi memastikan keselamatan IT untuk semua pelanggan korporatnya.

“Syarikat sudah melakukan penyelidikan menyeluruh terhadap keperluan perlindungan anti malware terutama kepada perniagaan PKS yang menyediakan rangkaian produk keselamatan khusus untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata, pusat terbabit juga mampu memberi pemahaman kepada PKS mengenai produk yang mudah diguna dan diurus, infrastruktur dan perlindungan IT bertaraf dunia yang hanya menggunakan sumber operasi minimum.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...