Thursday 24 May 2012

Google muktamad ambil alih Motorola


GOOGLE memuktamadkan janji niaga bernilai AS$12.5 bilion bagi mengambil alih Motorola Mobility, iaitu pengeluar utama telefon pintar dan peralatan berkaitannya.

Ini sekali gus meletakkan gergasi Internet itu pada kedudukan yang sama tinggi untuk bersaing dengan Apple.
“Pengambilalihan membolehkan Google merancakkan ekosistem Android, selain meningkatkan persaingan pengkomputeran mudah alih,” kata gergasi Internet berpangkalan di California itu dalam satu kenyataan.
Ketua Eksekutifnya, Larry Page, berkata Google mengambil alih “sebuah syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) yang terunggul, dengan rekod pencapaian inovasi lebih 80 tahun.”

Janji niaga itu digelar “Googorola” susulan kelulusan diberikan pihak kawal selia di China, AS dan Eropah, sungguhpun berhadapan kebimbangan sekatan bagi Android, sistem operasi percuma ciptaan Google untuk peranti mudah alih.

Syarat yang dikenakan Kementerian Perdagangan China, termasuk Google menggunakan perisian Androidnya untuk telefon pintar dan komputer tablet dengan percuma dan terbuka untuk tempoh lima tahun.

Badan kawal selia di AS dan di negara lain menekankan bahawa mereka akan membuat pemantauan bagi memastikan Mountain View yang berpangkalan di California itu tidak menggunakan Motorola Mobility untuk mendapatkan kelebihan secara tidak adil dalam pasaran.
Google mengambil alih 17,000 paten menerusi pengambilalihan Motorola Mobility dan mengukuhkan portfolio patennya dalam usaha menguasai pasaran telefon pintar dan tablet yang sedang berkembang pesat.

Sistem Android itu menguasai 51 peratus pasaran sistem operasi telefon mudah alih di AS dalam tempoh tiga bulan berakhir Mac.

Bagaimanapun, dalam pasaran tablet global, iPad telah menguasai lebih perkongsian pasaran berbanding pesaing yang digerakkan Android pada awal 2012, demikian menurut firma penyelidikan IDC.

Penganalisis berkata, Google berkemungkinan berpuas hati dengan portfolio patennya serta operasi jualan telefon pintar dan peralatan lain.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...