Saturday 12 May 2012

Gabung mohon lesen perkhidmatan 4G



PERSAINGAN sembilan pengendali perkhidmatan telekomunikasi tempatan mendapatkan lesen perkhidmatan 4G dijangka berakhir apabila buat pertama kalinya mereka bakal bekerjasama bagi mewujudkan antara tiga hingga empat pakatan untuk membangunkan ekosistem teknologi itu di negara ini.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata pihaknya mengenalpasti syarikat terbabit dan meminta mereka mengemaskinikan pelan perniagaan akhir bagi menentukan kerjasama strategik yang bakal dilaksanakan kelak.
Katanya, model baru dilaksanakannya bagi pembangunan infrastruktur rangkaian 4G itu dilihat menarik dengan menggalakkan konsep satu rangkaian telekomunikasi dikongsikan antara dua hingga tiga syarikat telekomunikasi. 

“Menerusi galakan ini, kita tidak semestinya memiliki sehingga sembilan rangkaian 4G untuk setiap penyedia perkhidmatan di negara ini, tetapi memadai dengan hanya ada dua atau tiga rangkaian saja. 

“Kita boleh melaksanakan model baru seperti ini kerana rangka kerja perundangan membenarkannya dan keupayaan teknologi yang industri miliki pada masa kini. 

“Daripada gambaran awal, kami melihat sekitar tiga hingga empat pakatan berpotensi diwujudkan dan ini perkembangan baik dalam industri kerana mereka hanya perlu bersaing dari segi penyediaan perkhidmatan bukannya infrastruktur,” katanya selepas pelancaran Ekspo GoMobile di Kuala Lumpur, semalam. 
Mohamed Sharil berkata, menerusi model itu beliau berharap dapat menyelesaikan isu lesen spektrum 4G dalam tempoh dua bulan, bergantung kepada kesediaan peserta industri terbabit memuktamadkan kerjasamanya. 

Katanya, tiada tempoh jangkaan perkhidmatan 4G akan diperkenalkan kepada pengguna kerana sebaik saja lesen dikeluarkan, syarikat telekomunikasi masih memerlukan masa mengenal pasti lokasi pemancar, menempah perkakasan dan menetapkan lokasi liputan perkhidmatan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama dalam pakatan itu mungkin akan membabitkan beberapa kaedah perkongsian strategik khususnya membabitkan aset pemancar 4G di kalangan syarikat telekomunikasi. 

Katanya, antara yang dipertimbangkan konsep perkongsian aktif bagi rangkaian akses radio (RAN), meliputi langkah syarikat telekomunikasi bersama-sama berkongsi kos keseluruhan pembinaan infrastruktur pemancar, tapak dan teknologinya. 

“Maka, kos pembangunan infrastruktur kini berkurangan dan ia meningkatkan liputan rangkaian serta membolehkan mereka mengoptimumkan sumber aset yang dimilikinya itu,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...