Friday 22 June 2012

Rizab gas ditemui di Afrika Timur


PENEMUAN besar rizab gas di luar pantai Afrika Timur menjadikan wilayah itu sebagai peserta utama arena tenaga global.

Ia bakal membawa masuk berbilion dolar pelaburan yang akan mengubah keseluruhan ekonominya.
Di luar pantai Lautan Hindi Afrika, syarikat multinasional berjaya menemui gas selepas melakukan penerokaan telaga petroleum di wilayah berkenaan.
Rancangan pelaburan bernilai puluhan bilion itu mengatasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) sesetengah negara pemilik sumber berkenaan, iaitu bermula dengan Kenya sebagai kuasa ekonomi rantau itu hingga ke Mozambique.

Wilayah pantai Afrika Barat yang mengunjur sehingga ke Seychelles memiliki 441.1 trilion kaki padu gas asli, mengikut Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (AS).

Jumlah itu 50 peratus lebih tinggi daripada Arab Saudi.

“Penemuan gas di luar pantai Mozambique dan Tanzania berkelas dunia, dengan potensi lebih banyak lagi untuk ditemui termasuk prospek penemuan minyak.
“Penemuan itu pencetus penubuhan loji gas asli cecair (LNG) serta menjadikan zon itu sama seperti Northwest Shelf di Australia yang menghasilkan 23 bilion meter padu gas setahun,” kata Ketua Eksekutif firma perunding minyak Global Pacific, Duncan Clarke.

Anandarko, syarikat berpangkalan di Houston bulan ini mengumumkan penemuan baru di utara Mozambique yang menjadikan anggaran sumber boleh ditemui semulanya kepada sehingga 60 trilion kaki padu.

Syarikat itu mencadangkan pelaburan AS$15 bilion (RM47 bilion) membina kemudahan LNG. KDNK Mozambique tahun lalu AS$12 bilion (RM39 bilion).

Firma Thailand, PTT Exploration and Production bulan lalu mengumumkan urus niaga membeli Cove Energy, yang mana 8.5 peratus kepentingannya dalam lapangan gas Mozambique kini terbuka untuk dijual.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...