Saturday 30 June 2012

Diberhenti kerja dapat RM3,600



KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mewujudkan Tabung Kebajikan Pekerja dengan peruntukan awal RM80 juta untuk membiayai sara hidup pekerja yang diberhentikan.
Apabila dilaksanakan, pekerja yang diberhentikan akan diberi elaunbulanan RM600 selama enam bulan untuk sara hidup sementara mencari pekerjaan baru.


Bagaimanapun, pekerja yang diberhentikan kerja kerana masalah disiplin atau berhenti melalui skim pemberhentian sukarela (VSS), tidak layak memohon elaun berkenaan. Menurut sumber, tabung itu adalah bantuan kebajikan sementara bagi membantu pekerja yang diberhentikan sehingga kerajaan melaksanakan Skim Insurans Pengangguran yang kini di peringkat kajian.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Berkaitan Tabung Bantuan Kehilangan Pekerjaan oleh Kementerian Sumber Manusia bersama kepemimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), di Putrajaya semalam.

“Tabung itu adalah bantuan kebajikan sementara sehingga Skim Insurans Pengangguran dapat dilaksanakan. Mengikut statistik Kementerian Sumber Manusia yang dibentangkan pada mesyuarat itu, seramai 8,400 pekerja diberhentikan kerja setakat ini,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Selasa lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pihaknya sedang mengkaji mewujudkan satu mekanisme bagi membela nasib pekerja diberhentikan, termasuk bantuan kewangan sementara dalam tempoh pengangguran seperti amalan negara maju.

Subramaniam berkata, antara aspek dikaji adalah dari segi perundangan yang menjurus kepada melindungi pekerja dan bukan mempertahankan pekerjaan mereka.

Sumber itu berkata, pemberian elaun bulanan akan dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan MTUC secara dasarnya bersetuju dengan kewujudan tabung berkenaan.

MTUC juga dikatakan akan membincangkan secara terperinci mekanisme pelaksanaan serta syarat tambahan lain sebelum kembali bermesyuarat dengan kementerian.

Selain itu, kementerian difahamkan akan menghantar satu memorandum mengenai tabung itu kepada Jemaah Menteri sebelum keputusan susulan dibuat, antaranya tarikh pelaksanaan.








No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...