Monday 4 June 2012

WiMAX P1 labur RM40j luas pasaran ke Sabah


GREEN Packet Berhad, penyedia jalur lebar 4G pertama berasaskan teknologi WiMAX P1, melabur sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta tahun ini bagi meluaskan perkhidmatannya ke Sabah yang dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya, Puan Chan Cheong berkata, peruntukan pelaburan itu diambil menerusi perbelanjaan modal (Capex) berjumlah RM205 juta bagi tempoh 12 bulan operasinya.

“Kami kini dalam usaha meluaskan pasaran P1 dengan menjadikan Kota Kinabalu sebagai lokasi operasi kami pertama di Malaysia Timur. “Kami akan mula beroperasi selepas Julai nanti dan penembusan kami di Sabah adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk meningkatkan bilangan pelanggan kepada 500,000 pengguna berbanding 400,000 orang ketika ini,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan kewangan kumpulan itu di Petaling Jaya.
Kumpulan itu mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) sebanyak RM3.9 juta pada suku pertama tahun ini dengan peningkatan 153 peratus bagi tempoh tahun ke tahun, disumbangkan perniagaan tunjang utama kumpulan itu, P1 iaitu sebanyak 85 peratus kepada keseluruhan Ebitda kumpulan, kira-kira RM3.3 juta.

“Pendapatan kumpulan sehingga 31 Mac lalu ialah sebanyak RM128 juta dengan peningkatan lima peratus dari tahun ke tahun. Green Paket Solution pula menyumbang kira-kira RM22 juta manakala P1 mencatat sumbangan yang tinggi kira-kira RM85 juta.

“Kami menyasarkan untuk meletakkan P1 sebagai perkhidmatan penyelesaian nilai tambah di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini susulan daripada permintaan tinggi daripada segmen ini yang membawa kepada peningkatan teknologi jalur lebar,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...