Thursday 8 September 2011

Malaysia sebaris negara maju utama



KEDUDUKAN daya saing Malaysia melonjak ke tempat ke-21 daripada ke-26 sebelum ini, sekali gus meletakkannya sebaris negara maju utama dalam senarai 25 negara paling berdaya saing di dunia.

Di kalangan negara di Asia Pasifik, Malaysia adalah yang keenam paling berdaya saing selepas Singapura, Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Australia, manakala di kalangan negara ASEAN pula di tempat kedua selepas Singapura.

Di tempat ke-21 itu, Malaysia mengatasi lima negara yang sebelum ini berada di kedudukan lebih baik iaitu Israel (ke-22), Luxembourg (ke-23), Korea (ke-24), New Zealand (ke-25) dan Emiriah Arab Bersatu (ke-27).
Dua puluh negara yang berada di atas Malaysia kebanyakannya adalah negara maju dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita tinggi serta berada dalam kategori pembangunan di tahap inovasi.

Sepuluh negara teratas adalah Switzerland, Singapura, Sweden, Finland, Amerika Syarikat, Jerman, Belanda, Denmark, Jepun dan United Kingdom dengan kebanyakannya telah berada pada tahap menghasilkan barangan dan perkhidmatan inovatif bertaraf global menggunakan kaedah dan teknologi terkini.

Mengikut Laporan Daya Saing Global (GCR) 2011-2012 yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Geneva, Switzerland, semalam, peningkatan kedudukan daya saing Malaysia itu adalah hasil daripada penambahbaikan menyeluruh yang dicapainya.

Kedudukan daya saing 142 negara yang dikaji WEF itu adalah berdasarkan kepada Indeks Daya Saing Global (GCI yang diukur menggunakan 12 teras utama.
Teras itu Institusi, Infrastruktur, Persekitaran Ekonomi Makro, Kesihatan dan Pendidikan Sekolah Rendah, Pendidikan Tinggi dan Latihan, Kecekapan Pasaran Barangan, Kecekapan Pasaran Buruh, Pembangunan Pasaran Kewangan, Kesediaan Teknologi, Saiz Pasaran, Kecanggihan Perniagaan serta Inovasi.

Dalam kajian terbaru WEF itu, Malaysia mencatatkan penambahbaikan dalam sembilan daripada 12 teras indeks berkenaan dengan teras yang menunjukkan peningkatan ketara termasuk Kecekapan Pasaran Buruh, Persekitaran Ekonomi Makro, Institusi, Kecekapan Pasaran Barangan serta Pendidikan Tinggi dan Latihan.

Mengulas pencapaian itu, bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Malaysia menunjukkan prestasi membanggakan apabila kedudukannya meningkat lima anak tangga berbanding tahun lalu dengan mencatatkan skor 5.08 daripada maksimum tujuh mata berbanding 4.88 tahun lalu.

Beliau berkata, skor lebih tinggi itu menggambarkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan perubahan positif dalam persepsi responden.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...