Sunday 25 September 2011

Debaran Palestin tunggu jadi ahli PBB



RAMALLAH: Penduduk Palestin tidak dapat menyembunyikan kegembiraan menyaksikan usaha bersejarah mereka memohon keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, walaupun persoalan mengenai hasil yang bakal diperoleh daripada usaha itu dan masa depan negara merdeka Palestin belum dapat dipastikan.

Malam kelmarin, berpuluh-puluh ribu penduduk memenuhi pusat bandar di seluruh Tebing Barat untuk bersama menyokong Presiden Mahmoud Abbas ketika pemimpin Palestin itu menggesa Perhimpunan Agung PBB (UNGA) meluluskan permohonan berkenaan.

Ketika Abbas mengibarkan salinan permohonan rasmi dari podium PBB, beribu-ribu penduduk melaungkan Allah Maha Besar dan Dengan jiwa serta darah, kami akan mempertahankan Palestin!
Keseronokan, keraian dan sikap optimis, jelas bertentangan dengan masalah yang membelenggu wilayah Palestin sejak sekian lama, dengan rundingan damai masih tergantung manakala wilayah itu sendiri terbahagi antara Parti Fatah yang lebih sekular pimpinan Abbas dan Hamas.

Di wilayah Gaza yang ditadbir Hamas, suasana berjalan seperti biasa sedangkan di bandar utama Tebing Barat, keriangan penduduknya dipaparkan dalam tiga akhbar utama wilayah itu di bawah tajuk besar.

Presiden Abbas: Saat kemerdekaan Palestin, kata tajuk utama akhbar Al-Quds di atas gambar Abbas menunjukkan permohonan rasmi itu. Akhbar Al-Ayyam pula gah dengan tajuk Presiden: Palestin Bangkit Semula disertakan dengan gambar kartun helang dengan dada diwarnakan bendera Palestin di atas logo Palestin.

Dalam akhbar Al-Hayat al-Jadida, pengulas Adel Abdul Rahman memuji Abbas berhubung ucapannya di PBB, menggariskan peningkatan populariti presiden itu di Tebing Barat.
Ucapan Presiden Abu Mazen (nama gelaran Abbas) hebat dan berani, sebagai pemimpin pergerakan pembebasan dan sebagai presiden penduduk Arab Palestin dan sebagai negarawan, tulisnya.

Dalam Al-Ayyam, pengulas Hassan al-Batan berkata, Abbas sudah boleh ketawa kepada pengkritiknya dan menggoyahkan reputasi bersubahat dengan Israel dan Amerika Syarikat. Malah ruangan lidah pengarang Al-Quds menyifatkan Abbas menunjukkan kesetiaannya bersama penduduk Palestin.

Dengan menentang tekanan hebat untuk menggugurkan permohonan, Abbas menunjukkan beliau lebih mengutamakan kepentingan penduduk Palestin dan tiada tolak ansur dalam mendapatkan hak mereka, tidak kira apa bentuk tekanan atau daripada siapa ia datang.

Berbeza dengan suasana di Tebing Barat, keadaan di Semenanjung Gaza tidak banyak berubah, dengan wilayah ditadbir Hamas itu menentang keras tindakan itu.

Di kalangan penduduk Palestin sendiri, keterujaan dicemari ramalan Amerika akan menghalang permohonan itu daripada diluluskan, sama ada dengan memujuk negara anggota Majlis Keselamatan supaya mengambil sikap berkecuali atau mengundi menentangnya, atau cuma menggunakan kuasa veto ke atas permohonan itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...